Oleh
Dapat dilihat bahawa terdapat golongan
yang mula berjinak-jinak ke masjid untuk bertarawih dan ada juga yang
mula belajar apakah itu nikmat membayar zakat fitrah walaupun zakat
harta tidak pernah dibayar.
Apa jua pun tujuan mereka untuk mula beramal
yang penting adalah niat yang telah mereka tanamkan sebelum melakukan
sesuatu perbuatan murni itu.
Mari kita
sama-sama muhasabah amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan
Ramadan ini dan cuba meneliti sama ada amalan tersebut dilakukan dengan
penuh keikhlasan untuk mencari keredhaan Allah atau semata-mata untuk
menempatkan diri dalam kalangan masyarakat.
Tidak
guna seseorang itu melakukan sembahyang tarawih 20 rakaat setiap malam
jika tujuan utamanya adalah untuk memberitahu orang ramai bahawa dia
adalah seorang yang warak dan dikongsi di media sosial.
Begitu
juga tiada gunanya seseorang itu membaca al-Quran di masjid sebelum
waktu berbuka hanya untuk memperlihatkan bahawa dirinya itu pandai
mengaji. Kita melihat seseorang yang tarawihnya rompong adalah umpama
orang yang sembahyang tidak lengkap. Itu adalah satu persepsi yang
salah.
Walaupun seseorang individu tidak
bersembahyang tarawih di masjid sepanjang bulan Ramadan tetapi jika
dengan keikhlasan hatinya maka pahala yang dia dapat adalah jauh lebih
mulia dan tinggi daripada orang yang sentiasa bersolat tarawih di masjid
dengan niat untuk menunjuk-nunjuk.
Memperbanyakkan
amalan di bulan Ramadan sedangkan di bulan-bulan lain amalannya hanya
cukup-cukup makan dan kadang-kadang berhutang dengan Allah boleh
diumpamakan seperti berbuat baik hanya ketika orang yang kita takuti
berada di hadapan kita. Ingatlah bahawa Allah maha mengetahui. Salah
satu amalan yang digemari di bulan Ramadan ialah amalan bersedekah.
Amalan ini adalah suatu amalan mulia yang dapat mengurangkan beban
golongan susah.
Abu Hurairah R.A. berkata:
“Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang bersedekah walaupun
bernilai sebutir tamar daripada usaha baik - kerana Allah tidak menerima
kecuali yang baik - sesungguhnya Allah akan menerima dengan tangan
kanan-Nya kemudian dikembangkan sebagaimana kamu mengembangbiakkannya
untuk binatang ternakan sehinggalah menjadi seperti gunung.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Menurut hadis ini, Allah menggalakkan kita bersedekah dengan harta yang baik dan juga dengan keikhlasan yang tinggi.
Tidak
guna kita berebut-rebut ketika bulan Ramadan ini bersedekah kepada
fakir miskin semata-mata untuk mengejar publisiti untuk organisasi kita.
Dalam mengejar keuntungan organisasi, kita perlulah menitikberatkan
elemen etika.
Walaupun pada ketika ini,
telah wujud ganjaran untuk organisasi yang menitikberatkan tanggungjawab
sosial korporat, namun tujuan asalnya adalah bukan untuk
bermegah-megah. Apalah gunanya anugerah tersebut jika sebagai
penerimanya, kita sebenarnya tidak melakukan perbuatan sedekah itu
dengan nilai keikhlasan yang terbaik.
Dalam
kerancakan bulan Ramadan, kita dihujani dengan banyak pilihan ketika
menjelangnya waktu berbuka. Setelah penat bekerja, ada yang mengambil
jalan mudah untuk berbuka di luar ataupun membeli juadah di luar.
Dengan
kesibukan tugasan, kadangkala membuatkan kita tidak mempunyai masa
untuk memasak untuk berbuka puasa. Walau apa pun cara kita berbuka
puasa, kita tidak boleh melupakan perkara fardu yang perlu dibuat
seperti menunaikan tanggungjawab solat Maghrib dan juga tuntutan untuk
tidak membazir ketika berbuka puasa.
Perkara
yang amat menarik hati ketika menjenguk ke gerai-gerai yang menjual
juadah berbuka adalah sikap sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan
untuk mengeksploitasi pelanggan.
Sebagai
contoh, ketika membeli roti jala kita mendapati bahawa kuah kari
tersebut telah dicampurkan dengan terlalu banyak air, perbuatan menjual
makanan yang tidak tahan lama kemungkinan disebabkan perbuatan mengitar
semula makanan dari hari sebelumnya.
Rasulullah
SAW pernah bersabda yang bermaksud “Abu Hurairah berkata: Rasulullah
SAW melarang daripada melakukan jual beli secara campak batu dan juga
jual beli secara penipuan” (Diriwayatkan oleh Muslim).
Kesimpulan
yang boleh didapati daripada hadis tersebut ialah, Rasulullah SAW
melarang umatnya daripada melakukan penipuan dalam menjalankan aktiviti
jual beli.
Pernah suatu ketika Rasulullah
SAW lalu berhampiran seorang lelaki yang menjual makanan yang kering,
lalu baginda benamkan tangannya ke dalam makanan kering itu dan
didapati di bawahnya basah.
Lelaki itu
memberi alasan ia telah terkena hujan, maka diletakkan di bawah. Maka
baginda bersabda: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada golongan
kita.”
Jika kita lihat perbuatan lelaki
tersebut bolehlah dikatakan tidak seberapa dibandingkan dengan perbuatan
segelintir peniaga di bulan Ramadan yang menjual makanan basi yang
boleh mendatangkan mudarat kepada pembeli.
Dengan
bermotifkan keuntungan yang tidak seberapa, peniaga sanggup
mempermainkan etika yang sudah sewajarnya diikuti dan dilaksanakan.
Jika
dilihat dari sudut sejarah, Nabi ialah seorang peniaga yang dikenali
dengan sifat kejujurannya yang amat tinggi dan terpuji. Kejujuran
Baginda menyebabkan beliau digelar ‘al-Amin’.
Oleh
itu, wajarlah bersempena dengan bulan Ramadan ini, peniaga mengambil
kesempatan untuk beramal dengan melakukan kebaikan seperti melebihkan
timbangan dan tidak berkira mengenai harga ketika menjual kerana
perniagaan itu juga suatu ibadah.
Akhir
sekali, sorotilah kehidupan Rasulullah yang bersederhana dalam melakukan
aktiviti seharian. Beribadahlah kerana Allah dan bukan kerana manusia.
Jika kita tanamkan sifat taat kepada Allah, maka kehidupan kita akan
dipelihara dari melakukan perkara-perkara mungkar. Selamat menjalani
bulan Ramadan yang penuh dengan ganjarannya.
PENULIS ialah Penasihat Unit Pembangunan Perniagaan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Post a Comment