Headlines News :
Home » » Ali XPDC enggan digelar ustaz

Ali XPDC enggan digelar ustaz

Written By zabidi on Tuesday, 18 September 2018 | 9:02 am

PENGHIJRAHAN yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu tidak pernah memadamkan api seni dalam diri vokalis kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail atau Ali XPDC dalam dunia nyanyian.
Meskipun pernah terfikir untuk meninggalkan industri selepas nekad mengubah gaya hidup ke arah mendekatkan dirinya kepada Allah, Ali tidak mahu anugerah tersebut dipersia-siakan begitu sahaja.
Oleh sebab itu, biarpun sering sibuk dengan undangan ceramah sehingga terpaksa terbang ke luar negara, dia masih bergiat aktif dengan kumpulan XPDC melakukan konsert atau memenuhi persembahan nyanyian.

Ditemui usai majlis Tamankan Hati Warga Utusan baru-baru ini, kata lelaki berusia 50 tahun itu, kerjayanya selaku pendakwah dan penyanyi kini seimbang serta bergerak seiring dengan satu niat iaitu untuk menyampaikan mesej yang baik kepada peminat.

WARTAWAN!: Bagaimanakah Ali mengimbangi dua profil karier yang jauh berbeza iaitu selaku penyanyi dan pendakwah dalam satu masa sama?

ALI: Sebenarnya ia tidak jauh beza kerana kedua-duanya merupakan profesion yang saya sayang. Dahulu, ketika awal-awal berhijrah, saya fikir mahu bertenang sahaja dan fokus sepenuhnya dengan usaha mendalami ilmu agama. Namun saya tersedar, suara saya ini juga rezeki. Jadi, apa salahnya ia digunakan untuk jalan serta niat yang betul. Jika dahulu saya menyanyi sekadar menghiburkan, sekarang lebih ke arah menyebarkan mesej yang baik kepada peminat.

Pernahkah anda dicemuh dengan kata-kata seperti tidak layak bergelar ustaz atau sebagainya?

Saya bukan ustaz dan tidak mahu digelar begitu kerana sedar diri ini belum cukup ilmu untuk mendapat gelaran tersebut. Saya cuma berkongsi pengalaman hidup dengan harapan lebih ramai yang turut berhijrah dengan saya. Bukan saya tidak pernah dicemuh atau disindir namun itu cuma dugaan kecil. Saya pernah berdepan peristiwa ada seorang anak muda yang mengatakan dia peminat saya yang datang dan memberitahu bahawa dia suka dengan perubahan saya sekarang. Katanya, jika saya yang tua boleh berubah, mengapa tidak dia. Itu yang membuatkan saya terus bersemangat.

Adakah anda masih bersetuju menyanyikan lagu-lagu lama sewaktu menerima undangan nyanyian?

Boleh, saya tiada masalah kerana itu kenangan. Ia sudah lepas dan berlalu lagipun ramai yang mengenali saya menerusi rangkaian lagu bersama Terarossa dan XPDC.

Apakah imej pendakwah iaitu berjubah dan berkopiah seperti yang anda tampilkan ini dibawa ke pentas nyanyian?

Semuanya bergantung terhadap kesesuaian majlis dan persembahan. Saya tidak meletakkan tahap keimanan seseorang pada imej atau baju semata-mata. Kalau tidak sesuai berjubah, saya pakai sahaja baju-baju persembahan biasa.

Anda ada menyatakan selain peminat, golongan artis juga menjadi antara sasaran untuk diajak ke arah penghijrahan. Apakah cabaran terbesar apabila berdakwah dengan rakan sendiri?

Kita tidak boleh memaksa dan jangan ambil hati. Setiap kali memberi nasihat, saya serahkan kepada mereka sama ada untuk terima atau tidak. Kawan tetap kawan, ia tidak putus tetapi tanggungjawab sebagai pendakwah tetap dilakukan.

Boleh kongsikan perkembangan terkini kerjaya seni anda?

XPDC bakal mengadakan konsert bersama May tidak lama lagi, namun tarikh sidang akhbarnya masih dalam perbincangan. Saya juga bekerjasama dengan Mel Wings, Ejam EYE dan Iwan untuk sebuah album dakwah bertajuk Daie namun ia masih dalam pembikinan.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER