Oleh
Permintaan yang tinggi daripada pelanggan
itu turut menyebabkan kedai-kedai dobi sedia ada tidak mampu untuk
menampung kapasiti tersebut.
Ketika itu, kedai dobi konvensional menjadi
pilihan kerana ia menawarkan perkhidmatan membasuh, melipat dan
menggosok pakaian untuk menjimatkan masa pelanggan.
Namun, masa telah mengubah trend itu.
Kewujudan kedai dobi layan diri terutamanya yang beroperasi 24 jam sehari memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna.
Secara perlahan-lahan, permintaan terhadap
kedai dobi konvensional mula merudum sehingga memaksa pengusaha
menamatkan operasi perniagaan mereka.
Ada juga pengusaha yang turut beralih
kepada kedai dobi layan diri. Hari ini, kedai dobi layan diri mengambil
alih peranan kedai dobi konvensional.
Bagaimanapun, cabaran untuk mengusahakan kedai dobi layan diri ini rupa-rupanya lebih sukar.
Selain bersaing sesama sendiri, pengusaha
juga perlu memastikan keselamatan pengguna terjamin semasa mereka berada
di premis tersebut.
Penjenayah semakin kejam. Mereka bukan sahaja sanggup mencederakan pelanggan tetapi tergamak membunuh haiwan yang tidak berdosa.
Tindakan dua lelaki yang menangkap dan
memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian
sehingga mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di Taman Gombak Ria,
Kuala Lumpur baru-baru ini tidak boleh dimaafkan.
Klip video daripada televisyen litar
tertutup (CCTV) yang ditularkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia itu
mendapat banyak kritikan dan kata-kata maki hamun netizen.
Kedua-dua lelaki itu telah ditangkap dan dijatuhi hukuman setimpal dengan perbuatan mereka yang keji itu.
Ini yang dikatakan ‘manusia berhati binatang’ atau manusia lebih kejam daripada binatang.
Pada hari yang sama juga, tular video
seorang wanita yang sedang mencuci pakaian seorang diri disamun dua
lelaki bersenjatakan parang di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar
Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa
yang berusia 37 tahun dihampiri seorang lelaki yang berpura-pura
kehilangan baju yang dibasuh di premis tersebut.
Suspek tiba-tiba cuba merampas beg tangan mangsa tetapi wanita tersebut menarik beg tangannya.
Suspek yang berang mengacukan sebilah
parang sebelum wanita terbabit terpaksa akur dan menyerahkan beg
tangannya kerana takut dicederakan.
Tidak lama kemudian, seorang lagi suspek
masuk ke dalam kedai dan meragut barang kemas pada leher, tangan serta
jari mangsa selain merampas kunci kereta Proton Persona sebelum
melarikan diri.
Ini bukan kejadian pertama yang dilaporkan.
Sebelum ini sudah ramai pengguna kedai dobi layan diri menjadi sasaran penjenayah.
Peningkatan kes samun di kedai dobi layan
diri ini berjaya menarik perhatian Naib Pengerusi Kanan Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau menyarankan supaya waktu
perkhidmatan kedai dobi layan diri terutamanya yang beroperasi 24 jam
dikaji semula bagi mengurangkan risiko kejadian samun.
Ramai pelanggan terutamanya wanita
menggunakan perkhidmatan itu selepas waktu kerja termasuk selepas pukul
12 tengah malam agar tidak perlu berebut dengan orang lain.
Pada masa yang sama, pengusaha kedai dobi
diwajibkan memasang CCTV di dalam dan di luar premis perniagaan dalam
usaha membantu mengenal pasti penjenayah.
Individu yang sering mengunjungi pusat dobi
layan diri pada waktu malam pula mengelak daripada bersendirian dengan
membawa teman dan pergi ke tempat lain untuk menghabiskan waktu ketika
menunggu pakaian mereka dicuci.
Langkah drastik perlu diambil segera sebelum berlaku kes samun yang berakhir dengan kematian.
Post a Comment