Oleh Ahmad Lutfi Othman
Sekitar jam 5 pagi. Menjelang Subuh, Sabtu, 22 September. Saya
terbangun selepas mendapat cukup rehat susulan rutin dialisis yang
meletihkan pada sore tadi.
Sempat menatap mesej yang masuk, sebelum ke bilik air. Dua tiga teman
memaklumkan mereka dalam perjalanan ke Temerloh. Menghadiri sambutan
ulangtahun ketiga Parti Amanah Negara di kampung pahlawan bangsa.
Sememangnya saya berhasrat untuk turut sama menyelit menyaksikan
kemeriahan acara penuh bersejarah itu. Tetapi seperti tekad sama
sebelumnya, keuzuran menghalang dan saya hanya dapat mengikuti
momen-momen menarik itu melalui lintas langsung FB sahaja.
Terima kasih kepesatan teknologi maklumat yang menghubungkan dunia
tanpa sempadan ini. Proses pendemokrasian pun turut bertambah matang.
Tiada yang jauh tidak terjangkau lagi walaupun kepada orang kurang
upaya. Alhamdulillah.
Tiga tahun adalah usia terlalu muda dan mentah. Namun dalam politik,
seminggu pun sudah lama. Pelbagai perubahan boleh dicorakkan. Malah,
Parti Pribumi Bersatu Malaysia lebih junior, tetapi ketuanya menjadi
perdana menteri. Ada parti setahun jagung dapat menumbangkan kerajaan
negeri, seperti beberapa kali berlaku di Sabah.
Sahabat dan bekas bos saya di Harakah, Zin Mahmud, menulis, biarpun
AMANAH berusia tiga tahun, para pemimpin kanan dan pengasasnya sudah
berkecimpung aktif dalam politik sejak 35 tahun lalu dan turut
menggerakkan perubahan besar dalam Pas, pada 1983.
Di samping itu, roh dan semangat perjuangan AMANAH mengalir panas
dalam rantaian panjang siri kesedaran gerakan tajdid dunia Islam bermula
akhir abad ke-19 lagi.
Meskipun ketika detik-detik kritikal pergeseran berkocak dalam Pas
saya kerap berkurung di rumah, saya dapat merasai kegelisahan itu.
Episod demi episod berlangsung secara dramatik. Pecah menuju belah.
Rakan-rakan yang terusir setandan berdepan masa depan yang kabur.
Pastinya tidak mudah merumuskan solusi apabila tersekat di jalan mati.
Mungkin pada awalnya tidak ramai yang suka memilih opsyen menubuhkan
parti Islam yang baru. Allah melorongkan kemudahan untuk masing-masing
bersepakat menerima ilham agar masa tidak dibazirkan masa untuk membuat
eksperimen politik.
Dari Gerakan Harapan Baharu bertukar kulit menjadi wadah siyasah yang
progresif, inklusif dan peduli. Dengan pendekatan Islami yang lebih
segar dan mewangi, Rahmatan lil ‘Alamin. Didukung pemimpin dan aktivis
yang tahan uji, istiqamah, berpengalaman, berminda terbuka, seterusnya
bersedia menempuh cacimaki dan fitnah menghiris, termasuk dari rakan
taulan sendiri.
Kebetulan saya lebih mengenali dan agak akrab dengan beberapa
pimpinan utama pengasas AMANAH. Menyaksikan personaliti yang lasak,
berketrampilan, jujur, pembela golongan marhaen dan tertindas, mudah
didampingi, merendah diri, pemacu perubahan dan tidak asing, malah
serasi dengan sekutu pembangkang yang lain.
Apa pun, ada pihak menyifatkan kelompok 18 “jebon” yang disingkirkan
perwakilan pada Muktamar Pas 2015 itu begitu naif untuk membaca grand
design bagi menghalau mereka keluar.
Ternyata tidak mudah untuk menerima kewujudan sebuah lagi parti
Islam. Apatah pula tidak ketara penyimpangan Pas daripada prinsip asas
agama. Semasa kempen pemilihan parti 2015, jawatan presiden bukan
menjadi sasaran, malah kumpulan “profesional” tidak secara terbuka mahu
mengetepikan Ustaz Abdul Hadi Awang. Dalam pada itu, sudah sekian lama
menjadi pegangan ahli Pas tentang keperluan jamaah Islam yang tunggal.
Babak-babak getir berdepan cemuhan dan kecaman sudah dirakam sejarah.
Sehingga ada “fatwa” halal darah oleh pimpinan Pas, bertaraf tok guru.
Semua insideb itu merancakkan lagi proses percambahan dan kematangan
parti baharu.
Para pemimpin AMANAH, sebagaimana latar tahan uji berdepan tribulasi
sebelumnya, mampu meredah pelbagai gugatan baharu. Dengan sabar mereka
bersama-sama membentuk muafakat pembangkang, Pakatan Harapan,
menggantikan kolisi yang terburai, Pakatan Rakyat. Tidak senang untuk
memposisikan diri di kala rakan sekutu melihatnya sebagai parti kecil
dan kerdil.
Sedari awal, saya sudah menjangka kesulitan AMANAH untuk menuntut
jumlah kerusi pilihan raya yang berpadanan. Apa kayu ukur yang boleh
dijadikan rujukan atau terma rundingan? Bilangan keahlian atau cawangan
di peringkat akar umbi? Personaliti parti yang berpengaruh dan popular?
Jelas AMANAH tidak banyak kelebihan daripada sudut itu.
Benar sekali, kesepakatan rundingan kerusi tidak disambut gembira
oleh ahli-ahli AMANAH. Walaupun Dr Mahathir Mohamad mengisytihar secara
terbuka di hujung konvensyen Pakatan Harapan, Januari 2018, bahawa
kesediaan AMANAH menerima jumlah kerusi Parlimen yang kecil itu telah
menyelamatkan keadaan, rasa terbuku di dada sukar diredakan.
Tanpa kerelaan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, mematuhi ketetapan
kerusi, Pakatan Harapan dibayangkan menemui jalan buntu dan tidak mampu
menawarkan alternatif terbaik buat rakyat.
Rakan-rakan saya di Kuala Lumpur tambah terkilan apabila AMANAH
langsung tidak mendapat sebarang kerusi. Wilayah Persekutuan pula tidak
mempunyai kerusi Dun seperti negeri-negeri lain yang boleh dijadikan
“pampasan” atau tukar ganti.
Dua pemimpin utama AMANAH Wilayah, pengerusi Dr Hatta Ramli dan
timbalannya Tarmizi Mat Jam bertanding di Perak, masing-masing di Lumut
dan Parit. Untuk tempoh yang agak pendek, aktivis parti di Wilayah bagai
anak ayam kehilangan ibu.
Mungkin hasil tarbiyah yang agak panjang, bermula dalam parti lama,
ahli-ahli AMANAH cepat menyesuaikan diri dengan keputusan parti.
Menyedari kudrat sebuah parti baharu dan kepentingan merapatkan saf
menumbangkan regim keleptokrat, PRU14 dihadapi penuh iltizam.
Alhamdulillah, rakyat menggenggam erat, bahkan menggigit kemas tekad
perubahan. Revolusi tanpa-darah terpahat dalam sejarah Malaysia Baharu.
Kemenangan milik semua. Bukan hak parti-parti yang mendapat kerusi
terbanyak. Bukan kepunyaan Pakatan Harapan sendiri.
Tetapi milik rakyat Malaysia seluruhnya. Mereka mungkin tidak kenal
PH, mahupun PKR yang digunakan lambangnya sebagai logo bersama, apatah
lagi parti-parti komponen yang lain. Rakyat nekad untuk menolak Umno-BN.
Rakyat pemberani!
Justeru, saya senang hati sekali melihat Perdana Menteri menyusun
kabinet atas prinsip semua parti dalam PH dilayan sebagai equal partner.
Hampir semua ahli Parlimen AMANAH mendapat kedudukan strategik dalam
pentadbiran kerajaan sebagai menteri dan timbalan menteri. Saya sukar
menduga apa mesej Dr Mahathir apabila melantik Khalid Samad, MP Shah
Alam sebagai Menteri Wilayah selepas tiada seorang pun wakil AMANAH yang
terpilih sebagai calon PH di Wilayah Persekutuan.
Lima menteri, lima timbalan menteri, seorang ketua menteri, dua
Speaker Dun, tiga Exco kerajaan negeri di Perak dan Kedah, masing-masing
dua di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan. Tanggungjawab serta amanah
berat menunggu.
Umno ditimpa masalah tidak terpikul selepas diheret menjadi oposisi,
tanpa kuasa, pengaruh dan dana. AMANAH pula dihadapkan cabaran perit dan
kebijaksanaan untuk menguruskan parti di kala semua pimpinan utama
disibukkan dengan urusan rasmi kerajaan.
Ya, Umno dilanda krisis apabila gagal menangani magik kuasa dan
takhta. Ia menggelonsor terjunam bersama wang berbilion, dengan kuasa
mutlak menguasai kerajaan.
Dr Mahathir, beberapa kali meluahkan rasa tidak puas hati dengan
prestasi jemaah menterinya, mungkin disebabkan masih terlalu junior.
Namun Malaysia yang hampir bankrap dan sarat dengan tinggalan
pelbagai penyelewengan, tidak mampu untuk menunggu masa lebih lama untuk
dirawat dan dipulihkan.
Sudah pasti kritikan Dr Mahathir itu juga terarah kepada
menteri-menteri AMANAH. Mereka perlu cepat belajar, pantas menyesuaikan
diri serta bingkas menimba pengalaman selok-belok pengurusan dan
pentadbiran kerajaan.
AMANAH, sebuah parti Islam, dengan keahlian terbuka kepada semua,
meskipun berbeda dengan Pas dan tidak pula berhasrat menjadi Pas 2,0,
tetapi ia perlu mendapat sokongan meluas di kawasan majoriti pengundi
Melayu, sekali gus pesaing kuat Pas.
Diakui AMANAH mendapat tempat dan sokongan menggalakkan di kawasan
bandar dan semi kota, penempatan kelas menengah, tetapi bagaimana
pengaruhnya di kawasan kampung tradisional?
Apa respons penduduk terhadap parti baharu ini di wilayah majoriti
Melayu, terutama di kubu Pas, seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan
sebahagian Pahang?
Dan sememangnya AMANAH diberi kepercayaan menerajui Pakatan Harapan
di Kelantan dan Terengganu, tetapi bukan sahaja gagal memperolehi
sebarang kerusi Dun dan Parlimen, malah kebanyakan calon-calonnya hilang
wang pertaruhan dalam PRU14.
Begitu juga di kerusi-kerusi majoriti Melayu di Kedah dan Pahang. Pas
masih berkuku di sana. Di Pahang, AMANAH gagal memenangi sebarang
kerusi Dun, manakala Pas meraih sepuluh. Di Kedah, Pas secara solo
mengutip 15 kerusi, prestasi paling tinggi sepanjang sejarahnya di
Jelapang Padi itu.
Seorang rakan saya membisik, AMANAH boleh sahaja menang, mungkin
bertambah besar di Pantai Barat, tetapi jika terus kalah di Kelantan,
Terengganu dan kerusi tertentu di Kedah dan Pahang, “maaf, saya tidak
terasa kemanisannya”. Dia seperti tidak berpuas hati dengan perkembangan
AMANAH di empat negeri tersebut.
“AMANAH hanya akan lebih dihormati dan dipandang tinggi jika dapat
menawarkan altenatif terbaik kepada penyokong Pas terutama di
kampung-kampunf, termasuk di kawasan pondok,” ujar rakan saya itu lagi.
“Memang payah menembusi minda dan hati masyarakat Islam yang
konservatif, apatah lagi majoriti para asatizah yang popular masih
bersama pegangan Pas, tapi AMANAH perlu lebih proaktif dan sistematik,
bukan saja melebarkan pengaruh politik tetapi membawa perubahan besar
selari dengan konsep Rahmatan lil ‘Alamin dan maqasid syariah,” kata
seorang sahabat saya yang lain, seorang pensyarah muda di sebuah IPTA.
Alhamdulillah, Mohamad Sabu, dalam pidato presiden di Temerloh, pagi
Sabtu, 22 September itu memaklumkan AMANAH selepas PRU14 menerima
keahlian baru yang mendadak. Menariknya, Kelantan mencatat jumlah paling
ramai. Malah Rusila, kampung Presiden Pas sendiri sudah menerima
tempias meluasnya pengaruh parti yang ditubuhkan pada 16 Srptember 2015.
Dalam majlis sama, Naib Presiden, Mahfuz Omar turut mengisytiharkan
beberapa personaliti popular, antaranya Ustaz Hassan Mahmood Al-Hafiz
dan Ustaz Ghazali Ibrahim, telah menyertai AMANAH. Kedua-duanya boleh
dianggap pendakwah selebriti yang mampu menarik, minat lebih ramai
audien terhadap parti masa depan itu.
Apabila Naib Presiden AMANAH, Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai
menteri agama, ia bukan sahaja kesempatan terbaik buat mempromosi citra
Islam yang indah dan ramah, tetapi juga bebanan tanggungjawab berat
untuk mengubah tanggapan konservatif yang telah berakar sejak berzaman.
Ada yang menganggap ia lanjutan pertarungan Kaum Tua dan Kaum Muda.
Dr Mahathir ada banyak kelemahan dan kesilapan. Bergantung kepada
sisi mana beliau dipandang. Tetapi dalam waktu sukar ini, mewarisi
Malaysia yang pincang dan kronik, dengan segala perjanjian yang
merugikan, peringatan khususnya kepada anggota pentadbiran yang baru,
termasuk daripada AMANAH, belajarlah semaksimum mungkin bergurukan Dr
Mahathir.
Selain pandangan jauhnya, kerajinan, berdisiplin tinggi, dan
ketepatan waktu, dedikasi mempelajari ilmu dan kemahiran baru,
kebijaksanaan mengolah pandangan berbeda, juga ketegasan berdepan siapa
sahaja, termasuk pihak istana dan kuasa besar.
Selagi AMANAH tidak menang di Kelantan, Terengganu …
Written By zabidi on Monday, 24 September 2018 | 11:44 am
Labels:
Politik
Post a Comment