“KALAU macam ni, lama-lama habis duit saya!” getus seorang pembayar zakat.
Masih segar dalam ingatan seorang
pembayar wanita berusia hampir 70 tahun, namun melaram bak anak dara
gayanya. Ratusan ribu wang pelaburannya itu seolah-olah belum cukup
untuk memenuhi ‘dunianya’.
“Memang zakat ni kena setiap tahun ke? Habis la semua simpanan macam ni!” Sekali lagi perkataan ‘habis’ diulang-ulangnya.
Saya menarik nafas sedalam mungkin. Mahu
memberikan jawapan kepada sebuah ketidakfahaman dan minda yang
terpenjara selalunya agak mencabar dan menipiskan kesabaran.
“Ya puan. Zakat diwajibkan selagi kita memiliki
nisab dan berlalu haul setiap tahun. Ini kewajipan yang Allah minta
puan. Harta semua milik-Nya. Kita hanya menguruskan mengikut
kehendak-Nya,” saya cuba menerangkan.
“Macam tu ke? Boleh habis duit macam ni…” Lagi-lagi itulah yang dirisaukan.
Setelah menghimpunkan segala kekuatan saya
kembali menerangkan. Sehelai kertas putih menjadi medium penerangan.
Garis masa dan jumlah harta dilukis. Jarak masa itu berjumlah 40 tahun.
Kerana zakat itu nilainya 1/40 daripada keseluruhan harta. Gambaran
‘tarikh’ sebenar harta itu akan benar-benar ‘habis’ jika hanya
dikeluarkan zakat tanpa penambahan pelaburan.
Syukur, akhirnya dengan coretan itu mengilhamkan
sebuah kesedaran. Garis masa yang bermula dari umur 70 tahun dan akan
berakhir pada umur 110 tahun, merupakan tarikh sebenar hartanya itu akan
benar-benar habis, telah ‘menghabiskan’ hujahnya dan memberi kefahaman
yang usianya lebih dahulu akan ‘habis’ sebelum masa sebenar hartanya
pula akan habis.
MUNAFIK HARTA
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 2-4:
“Sesungguhnya orang yang beriman ialah ketika
disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan
ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada
Tuhanlah mereka bertawakal. Mereka itu adalah orang yang mendirikan
solat dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan
kepada mereka. Itulah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka
akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan
serta rezeki (nikmat) yang mulia.”
Tatkala Allah SWT menyebut tentang ciri-ciri
orang beriman, sentiasa sahaja unsur menafkahkan harta yang direzekikan
itu akan menjadi fokus utama.
Sebenarnya maksud beriman adalah dengan pembuktian. Bukti iman dengan harta adalah dengan ibadah yang dilakukan menerusinya.
Jika ini maksud iman, maka lawannya adalah
kekufuran dan kemunafikan. Jika zakat, infak dan sedekah itu bukti iman,
sebaliknya kedekut dan bakhil pula adalah sebenarnya bentuk
kemunafikan. Munafik harta! Itu yang selayaknya digelar buat mereka yang
masih belum sedar daripada lena. Sesungguhnya iman dan sifat bakhil itu
tidak mungkin bersatu di dalam sebuah jasad.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW
bersabda: “Tidak akan berhimpun di antara debu-debu pada jalan Allah dan
asap dari neraka jahanam dalam dua lubang hidung seorang Muslim itu
selamanya-lamanya. Tidak sama sekali akan berhimpun antara iman dan
sifat kedekut itu di dalam hati seorang Muslim itu selama-lamanya,” -
Riwayat Nasa’ie, Ibn Majah dan Ahmad.
Begitu juga perihal kemunafikan ini dapat
dilihat terutama bagi mereka yang suka menabur janji manis sebelum
memiliki harta, iaitu pasti akan diperuntuk bahagian untuk sedekah dan
infak. Namun hakikatnya tatkala harta telah dimiliki saat itu kebakhilan
datang menyelimuti diri, alasan menderu tanpa henti dan dolak-dalik
menjadi perisai diri.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 75-77:
“Ada antara mereka yang membuat janji dengan
Allah dengan berkata: “Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami
daripada limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah
kami akan menjadi daripada orang yang soleh. Kemudian setelah Allah
memberi kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya, mereka bakhil dengan
pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan
sememangnya mereka orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).
Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka
(berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah
memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka
sentiasa berdusta.”
Lebih parah lagi kemunafikan itu mendalangi dan
meracuni pemikiran masyarakat agar mereka pula tidak berusaha dalam
membangun agama menerusi kewajipan sosial. Ada sahaja komentar dan
serangan negatif diberikan khasnya apabila melibatkan institusi zakat.
Mereka seolah-olah ‘berperang’ menghancurkan sesama saudara Muslim lain
di tengah medan ekonomi umat. Mereka merasakan yang semua harta itu
adalah milik mereka untuk diperlakukan semahunya. Sedangkan hakikatnya,
manusia ini tiada satupun yang dimilikinya kecuali meminjam
segala-galanya daripada Yang Maha Esa.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Munafiqun ayat 7:
“Mereka mengatakan (kepada orang Ansar):
“Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang (Muhajirin) yang
ada di sisi Rasulullah supaya mereka lari (meninggalkan Rasulullah)”.
Padahal kepunyaan Allah segala perbendaharaan langit dan bumi, tetapi
orang munafik itu langsung tidak memahami.”
MASIH BELUM IKHLAS
Secara jujur tanyakan pada diri kita. Berapakah
mahar yang sanggup dibayar bagi memiliki satu tempat dalam syurga Allah?
Apakah telah cukup sumbangan kita hingga layak dipanggil masuk dari
pintu syurga bernama sedekah? Apakah dalam mencari manfaat akhirat, kita
masih lagi bertopang dan beralaskan dunia?
Maimun bin Mihran pernah berkata: “Aku
bersedekah lalu aku mendapati rezeki dan hartaku semakin bertambah.
Lantas sahabatnya bersuara: Aku juga sedemikian, tetapi malangnya rezeki
dan hartaku dirasakan semakin berkurangan!. Maimun menjawab persoalan
sahabatnya dengan berkata:
“Aku bersedekah kerana yakin akan kesan ikhlas
bermuamalah dengan Allah, sedangkan engkau bersedekah dengan niat hanya
untuk mencuba!”
Semoga kita digolongkan dalam kalangan mereka
yang mampu mentalakkan pesona dunia lantas berakad erat dengan akhirat.
Selamatkanlah diri kita dari setiap sisi kemunafikan sama ada harta
mahupun iman!
Post a Comment