Itu antara ayat yang biasa digunakan ketika menggambarkan emosi seseorang yang ditimpa sesuatu perkara sama ada resah, sedih, duka, hampa, gembira dan sebagainya. Sungguh! Wajah atau muka manusia adalah bukti kehebatan Allah.
Sebarang perubahan emosi dapat segera dikesan pada cerminan wajah, sedangkan tiada satu pun anggota wajah yang berubah apabila si badan mengalami kegembiraan, kesedihan atau ketakutan. Hidung masih tetap di tengah wajah. 

Mulut kekal di atas dagu. Mata tidak juga merapat mendekati satu sama lain. Pipi juga tidak bertambah kembung atau kecut. Kening juga tidak keguguran bulunya. Tapi cerminan emosi dapat dilihat dengan ketara pada wajah. Kita akan tahu bahawa si tuan badan sedang marah, kecewa, sedih atau gembira hanya dengan cerminan wajah. Subhanallah! Ajaib sungguh ciptaan Allah.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa wajah? Bukan tangan, bukan urat ibu jari, bukan kaki, bukan bahu atau anggota badan lain? Walaupun cap jari manusia lebih tepat dalam penentuan identiti seseorang, wajah tetap menjadi pilihan secara ijmak sebagai penentu identiti empunya badan.

Bukan setakat isu identiti, wajah juga boleh menjadikan manusia mabuk. Mabuk memuja wajah kekasih dambaan atau artis pujaan. Kerana sekeping wajah juga manusia sanggup berhabis dan bergolok gadai untuk alatan kosmetik atau pembedahan tukar wajah.

Wajah yang cantik juga menjadi sebab fitnah kemasyhuran seperti ujian Allah kepada Nabi Yusuf a.s. Wajah yang cantik boleh menjadi sumber pendapatan lumayan dengan profesion peragawan, peragawati dan pelakon pujaan. Subhanallah! Hebatnya ciptaan Allah. 

Dalam al-Quran, Allah banyak menggunakan wajah dalam menyampaikan mesej suka, bahagia, sedih, duka dan marah. Ayuh kita telusuri bicara al-Quran tentang wajah manusia:

Ketaatan mutlak pada Allah dilakukan dengan menghadap wajah atau jiwa pada-Nya:

“(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang dia berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita,” (al-Baqarah 2:112).

“Sesungguhnya aku hadapkan wajahku (diriku) kepada Allah yang mencipta langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain),” (al-An’am 6:79).

“Serta (diwajibkan kepadaku): ‘ Hadapkanlah seluruh wajahmu (dirimu) menuju (ke arah mengerjakan perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi daripada orang musyrik,” (Yunus 10:103).

Musyrikin Quraish menunjukkan kebencian melampau pada al-Quran dengan ekspresi wajah

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan lihat pada wajah orang yang kafir itu tanda marah dan benci, hampir sahaja mereka hendak menerkam dan menyerang orang yang membacakan ayat Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, mahukah, aku khabarkan kepada kamu: yang lebih buruk lagi daripada apa yang telah menyebabkan kemarahan kamu itu? Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang kafir, dan itulah seburuk tempat kembali!,” (al-Hajj 22:72).

Resah marah Arab jahiliah kerana berita buruk kelahiran anak perempuan

“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka dengan kelahiran anak perempuan, muramlah wajahnya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-
hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu,” (al-Nahl 16:58-59).


Ceria gembira dengan nikmat syurga atau sedih duka dengan azab neraka

“(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada wajah (orang) menjadi putih berseri, dan ada wajah (orang) menjadi hitam legam. Adapun orang yang hitam melegam wajahnya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu, rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”. Adapun orang yang putih berseri wajahnya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya,” (Ali ‘Imran 3:106-107).


Manusia derhaka berjalan di akhirat dengan wajah dan diseret atas wajahnya ke neraka

“Orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka jahanam (dengan tertiarap) atas wajahnya, mereka adalah orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya,” (al-Furqan 25:34).

“Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas wajah mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api neraka,” (al-Qamar 54:48).

Itu sebahagian daripada bicara wajah yang disebut al-Quran. Apa yang pasti wajah ini adalah amanah dan ujian Allah untuk manusia. 

Jika kena cara guna dan posisi letak wajah kepada Allah, maka kita akan menghadap Allah dengan wajah berseri-seri di akhirat kelak. Sebaliknya jika kita terlebih memuja wajah atau memalingkannya daripada kiblat penyembahan kepada Allah, luka laralah kita di akhirat kelak.
Ya Allah! Tetapkan wajah dan jiwa kami kepada-Mu sahaja.