Oleh
Angka tersebut sememangnya
membimbangkan kerana pelbagai pihak beranggapan bahawa Lembah Klang
memerlukan lebih banyak ruang hijau dan infrastruktur komuniti
berbanding struktur batuan.
Bukan itu sahaja, sikap
pengguna yang lebih berhati-hati dalam membuat pembelian, khususnya
dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini, turut memberi impak
kepada sektor peruncitan.
Malah, dalam
laporan Sorotan Penting Sektor Hartanah firma rundingan Knight Frank
menyatakan dengan selesainya pembinaan sekitar 450,000 kaki persegi
(41,806 meter persegi) ruang peruncitan bersih yang boleh disewa
baru-baru ini, bekalan kumulatif di Lembah Klang mencecah sebanyak 57.5
juta kaki persegi (5.3 juta meter persegi) pada separuh pertama 2018.
Firma rundingan TSMC Edar Sdn. Bhd., pada tahun lalu melaporkan terdapat 255 pusat beli-belah di Lembah Klang sahaja.
Walaupun
terdapat anggapan bahawa keadaan sektor peruncitan mencabar dengan
tekanan tidak hanya dari aspek jualan tetapi juga sewaan ruang niaga
yang ada, Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) mengekalkan
sasaran pertumbuhan menyeluruh jualan peruncitan negara pada kadar 4.5
peratus.
Kadar sifar Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) dari 1 Jun hingga akhir Ogos lalu dilihat antara
faktor yang merangsang jualan dengan pengguna mengambil kesempatan
tempoh tanpa cukai berkenaan.
Presiden
MRCA, Datuk Seri Garry Chua sebelum ini dilaporkan berkata, sentimen
pengguna diunjur mengukuh dengan ketiadaan GST dan keadaan kondusif
dijangka berlaku dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan
(SST) pada 1 September lalu.
Persatuan
berkenaan juga mengunjurkan pertumbuhan 30 peratus dalam peruncitan
francais menjelang tahun 2020, dipacu oleh peningkatan usaha sama
perniagaan tempatan dengan rantaian peruncitan asing.
Tidak
dinafikan, setiap kali membuat liputan perniagaan, khasnya berkenaan
sektor peruncitan, perkhidmatan mahupun makanan dan minuman, antara
perkara yang ditanya wartawan adalah rancangan perluasan perniagaan
syarikat dan kos yang terlibat.
Ada
segelintir perniagaan akan mengambil pendekatan yang berwaspada dengan
menyatakan fokus pada perniagaan sedia ada dan ada yang bersemangat
dengan berkongsi rancangan mereka untuk memperkukuh tapak perniagaan.
Perkara itu biasa. Pengguna sememangnya mahukan jenama kegemaran berada berhampiran atau dengan akses mudah dengan mereka.
Tetapi,
suasana suram turut boleh dirasai pengguna yang berkunjung ke
pusat-pusat beli-belah atau rantaian peruncitan terlibat.
Dalam
keghairahan untuk meluaskan “jajahan perniagaan”, adakalanya syarikat
tidak melihat perkara sebenar yang berlaku di cawangan yang ada.
Kurangnya
tenaga kerja yang menguruskan cawangan sehingga memberi tekanan
kepada kakitangan yang ada serta rak-rak yang kosong atau pelanggan
terpaksa mengambil sendiri barangan yang masih tersimpan, memberikan
gambaran negatif kepada perniagaan yang ada.
Oleh
itu, pihak berkaitan seharusnya mengambil berat terhadap
perkara-perkara asas terlebih dahulu sebelum berhasrat meningkatkan
kehadiran pelanggan mereka.
Jangan
sampai pengguna kecewa dan lari ke perniagaan lain kerana jenama pilihan
mereka gagal untuk memenuhi kehendak dan keperluan.
Post a Comment