“USTAZ bergurau ke betul-betul ni? Anak Ustaz lahir 1 April?”
Tersentak saya seketika apabila mendapat
panggilan daripada seorang kawan bertanya kesahihan berita kelahiran
puteri kedua saya, Asma Sofiah pada 1 April 2002.
Benar! Itulah tarikh lahir puteri saya, tetapi ramai yang ingat saya cuma bergurau.
Itulah hakikat yang berlaku setiap kali
menjengah awal bulan April. Istilah April Fool akan dikumandang
seolah-olah manusia perlu diperbodohkan dengan gurauan pelik sebagai
melengkapkan kalendar tahunan mereka. Tambah malang apabila ada
segelintir Muslim turut sama menjadi jahil terpalit perkara ini.
Saya
tidak mahu mengulas ‘asal surat beranak’ istilah atau budaya itu, cuma
apa yang pasti budaya gurau senda perlu dilihat menurut kaca mata Islam
agar menjadi kunci syurga dan bukannya saham ke neraka.
Antara karya moden mengulas isu ini adalah buku
bertajuk al-Muzah Fil Islam atau Gurauan Menurut Islam tulisan pengajar
di Universiti Raja Su’ud, Riyadh, Arab Saudi, Prof. Dr. Abdul Ghani Abu
Ghuddah.
Islam tidak melarang senda gurau yang biasa
berlegar dalam kehidupan manusia. Inilah cantiknya Islam sebagai syariat
manusiawi. Tidak dinamakan manusia jika hidupnya kosong tanpa gurau,
ketawa, gembira, sedih, tangis dan pelbagai cerminan emosi lain.
Allah sendiri tegaskan bahawa ketawa dan tangis
antara bukti kehebatan-Nya maksudnya: “Sesungguhnya, Dia (Allah) lah
yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan
(seseorang itu berdukacita) menangis.” (al-Najm 53: 43)
Kita mungkin tersentak seketika apabila tahu
bahawa gurauan boleh menjadi sebab bahagia atau duka di akhirat kelak.
Kalau kena cara gurauannya, kegembiraan yang berputik daripada senda
menjadi sebab ikatan silaturahim dan persaudaraan Islam semakin kukuh.
Pastinya ia menjadi saham ke syurga. Manakala
jika senda gurau menyebabkan runtuhnya ikatan silaturahim dan
persaudaraan Islam, ia akan menjadi stok dosa yang menyempitkan laluan
manusia ke syurga.
Rasulullah selalu bergurau bagi menaikkan ceria
orang. Bahkan baginda pernah bergurau dengan seorang kanak-kanak yang
selalu bermain dengan anak burung kesayangannya.
Anas bin Malik r.a. menceritakan ertinya:
“Rasulullah SAW adalah orang paling baik akhlaknya. Aku ada seorang adik
kecil digelar dengan nama Abu ‘Umayr. Aku kira usianya baru lepas
susuan (3-4 tahun). Setiap kali Nabi datang menziarahi kami, Baginda
akan bergurau dengan adikku sambil bertanya: “Wahai Abu ‘Umayr! Apa yang
dilakukan oleh si anak burung (mu)?” - Sahih Bukhari dan Muslim
BATAS GURAUAN
Berikut disenaraikan beberapa syarat mudah sebagai penanda aras patuh syariah dalam apa sahaja bentuk gurauan:
1. Tidak mempersendakan isi agama
Agama bukanlah bahan gurau. Silap bergurau
dengan isi agama boleh mendatangkan musibah dosa yang berat. Tambahan
pula ia menjadi celaan Allah kepada orang munafik:
Ertinya: “Dan jika
engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek gurau mereka) tentulah
mereka (orang munafik) akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanya berbual
dan bermain”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah, ayat-Nya serta Rasul-Nya
kamu persenda dan ejek?” (al-Tawbah 9:65).
2. Tidak berdusta
Mungkin ada berkata apa salahnya sedikit dusta
dalam gurauan bagi menceriakan suasana. Islam menegaskan matlamat tidak
menghalalkan cara.
Rasulullah mengingatkan umat Islam dengan
bersabda: “Celaka (binasalah) bagi orang yang berbicara secara berdusta
untuk menimbulkan gelak tawa orang. Celaka baginya! Celaka baginya!” -
Sunan Abu Dawud
Juga sebuah hadis lain maksudnya: “Para sahabat
berkata: “Wahai Rasulullah! Tuan pun bergurau dengan kami?” Baginda
menjawab: “Aku tidak berkata (walaupun dalam gurauan) melainkan yang
benar sahaja.” - Sunan Tirmizi
3. Tidak mengejutkan atau menakutkan orang
Pernah para sahabat bermusafir bersama
Rasulullah. Apabila mereka singgah di satu tempat, beberapa sahabat
bergurau dengan mengambil barang milik seorang lelaki yang sedang tidur.
Apabila lelaki itu sedar dan mendapati barangnya hilang, dia terkejut
dan kumpulan yang menyembunyikan barangnya ketawa besar.
Setelah tahu perihal gurauan tersebut, baginda
menegur keras dengan sabdanya: “Tidak halal (tidak patut) bagi seorang
Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain
(walaupun sekadar gurauan),” - Sunan Abu Dawud
Kita dapati gurauan sebegini sering dijadikan
bahan tarikan sesetengah stesen radio. Pengacara radio berpakat dengan
kenalan mangsa untuk membuat panggilan palsu bagi menimbulkan rasa cemas
si mangsa.
Tambah parah apabila gurauan ini disiar secara
meluas sehingga mengaibkan mangsa gurau. Jika ia berlaku, dosanya bukan
hanya dosa gurau palsu tetapi diiringi bersama dosa mengaibkan orang.
4. Berniat mengejek atau merendahkan mangsa gurau
Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat
49:11 maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak
(daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain,
(kerana) harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka...”
5. Elakkan terlalu banyak bergurau kerana boleh membuang masa dan mematikan hati
Hati yang banyak ketawa senang lupa akhirat.
Cukuplah firman Allah kepada orang Munafik sezaman Nabi SAW ini menjadi
teguran untuk kita semua:
Ertinya: “Oleh itu biarkanlah mereka ketawa
sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat
kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.” (al-Tawbah
9:82).
Post a Comment