Oleh
Tahun ini, sambutan kemerdekaan
negara haram tersebut dilalui dengan catatan sejarah lebih
menggembirakan dan gemilang bagi Israel, semakin mendapat apa yang
dihajati. Pada masa sama, warga Palestin semakin terhimpit dan dizalimi.
Pada 14 Mei tahun ini juga, Israel meraikan tempoh setahun kedutaan
Amerika Syarikat dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, tindakan
pengiktirafan Baitulmaqdis yang direbut dengan Palestin sebagai ibu
negara Israel.
Pada masa sama, 15 Mei nanti, Palestin dan
seluruh umat Islam akan memperingati Nakbah atau hari bencana yang
menandakan permulaan satu penderitaan panjang umat Palestin. Sambutan
ini semakin penting bagi umat Islam sedunia, kerana tekanan dihadapi
Palestin yang semakin hebat sejak sedekad kebelakangan ini dan semakin
kritikal apabila Benjamin Netanyahu kekal menerajui Israel selepas
menang pilihan raya terbaharu.
Sejak tragedi Nakbah hingga ke hari ini,
pertempuran antara Israel dan Palestin bukan hanya berlaku di medan
konflik, atau di wilayah Palestina, malah bukan melibatkan dua pihak
Israel dengan Palestin. Satu kelemahan utama umat Islam ialah kekurangan
pemahaman lebih luas tentang orde dunia dan hubungan kuasa-kuasa yang
terlibat dalam percaturan melibatkan Palestin meliputi negara-negara
serantau dengan pelbagai kepentingan.
Hingga ke hari ini, percaturan melibatkan
hubungan lebih rapat Israel dengan negara-negara Arab yang akan terus
membelakangi kepentingan Palestin kurang mendapat perhatian walaupun isu
Palestin kebiasaannya mendapat perhatian khusus terutama apabila
berlaku perang dan tindakan zalim Zionis pada skala besar. Tumpuan pada
semata-mata konflik Palestin dengan Zionis masih pada wilayah Israel,
Gaza, dan Tebing Barat dengan tumpuan pada Baitulmaqdis.
Untuk melihat dengan lebih jelas, perhatian
perlu diberikan kepada perkembangan sejak keruntuhan daulah Uthmaniyah
berpusat di Turki zaman moden selepas Perang Dunia Pertama. Selepas
keruntuhannya, kuasa utama dunia Islam, Uthmaniyah kehilangan kawalan ke
atas wilayah umat Islam, membawa kepada pemetaan baharu dunia Islam
Asia Barat dan Afrika Utara yang akhirnya mewujudkan negara bangsa
Israel.
Satu punca utama Israel dapat diwujudkan
ialah keruntuhan satu orde dikuasai umat Islam Uthmaniyah di dunia Arab.
Berakhir Perang Dunia Kedua, negara-negara Arab terbahagi kepada
blok-blok mewakili kepentingan berbeza melibatkan kuasa pro-Barat dengan
pro-Soviet, kuasa monarki dengan republik dan kemudian wujud pula
pertembungan geopolitik antara Arab Saudi dan Iran.
Semua perkembangan ini mempengaruhi sikap dan
dasar luar negara-negara Islam serantau terhadap isu Palestin kerana
hubungan dengan kuasa besar Barat amat kuat mempengaruhi kebebasan
tindakan negara-negara terbabit. Hari ini, persaingan geopolitik dan
ideologi antara dua blok kuasa serantau meletakkan Palestin sebagai buah
catur dalam pertimbangan kuasa-kuasa terbabit.
Pada masa sama, perkembangan serantau yang
pantas dan rumit turut memberi kesan sama ada secara langsung atau tidak
langsung ke atas kedudukan Palestin. Semasa kebangkitan serantau yang
digelar Arab Spring dan perang yang menyusulinya di Syria, percaturan
melibatkan dua blok ini muncul dengan jelas, tetapi telah ditenggelamkan
oleh sentimen sektarian antara mazhab yang dijadikan senjata dalam
perang maklumat.
Pakatan Iran-Syria yang lebih banyak membantu
Palestin dimusuhi sepenuhnya dan kepentingan strategik melibatkan
Palestin dan Israel diabaikan. Akhirnya, selepas lebih lapan tahun Arab
Spring, Israel memperoleh kelebihan melalui kerjasama strategik
menentangnya yang semakin lemah akibat perang dan perubahan politik yang
tercetus hasil percaturan kuasa-kuasa serantau.
Di Gaza, umat semakin terhimpit akibat
kekejaman berterusan Israel, manakala di Baitulmaqdis, penguasaan Zionis
makin kukuh. Ini semua berlaku tanpa tindak balas bermakna daripada
kebanyakan negara Arab. Pada masa sama, kesan perang Arab Spring, Israel
sudah meluaskan penguasaan melepasi Golan di Syria.
Kesan kebangkitan juga memberi kelebihan
kepada sekutu Israel, pihak Kurdi yang kini menguasai beberapa kawasan
daripada sebahagian Syria bersempadan Turki hingga ke utara Iraq. Semua
perkembangan ini menunjukkan satu kelebihan besar dimiliki Israel kini,
akibat kebangkitan yang mengubah landskap kuasa serantau hingga
mengukuhkan kuasa Israel dan menjadikan cabaran kepada Palestin semakin
getir.
PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.
Post a Comment