Tersentak
seketika! Langsung konsentrasi pada ayat yang dibaca terus hilang. Fokus
dan khusyuk solat juga berderai bersama dentuman kuat bunyi mercun yang
dipasang berhampiran surau.
Itu adalah pengalaman yang pernah beberapa kali penulis alami ketika mengimamkan solat tarawih.
Usahkan
bunyi kuat mercun yang kosong makna, bacaan al-Quran yang tinggi
suaranya pun dilarang nabi SAW jika mengganggu orang sedang solat.
Pada suatu hari Rasulullah SAW yang sedang beriktikaf mendengar sebahagian sahabat membaca al-Quran dengan nada nyaring.
Baginda
lantas bersabda: Ketahuilah setiap kamu sedang bermunajat kepada
Tuhannya, maka janganlah sekali-kali sebahagian kamu menyakiti
(mengganggu) sebahagian lain dan janganlah sebahagian kamu meninggikan
suara bacaan (al-Quran) atau bacaan solat sehingga mengganggu sebahagian
lain (Sunan Abu Dawud).
Itu baru contoh
gangguan bunyi terhadap orang beribadat dalam bulan Ramadan. Tidak
kurang juga gangguan yang dibuat oleh pemain mercun kepada orang lain
tanpa mengira siapa mereka seperti jiran yang sedang berehat atau bayi
yang nyenyak tidur.
Gangguan ini banyak mengejutkan serta menakutkan orang. Ini jelas dilarang agama sebagaimana sabda nabi:
Ertinya:
Tidak halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan
(menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain (walaupun sekadar
gurauan) (Sunan Abu Dawud dan Musnad Ahmad).
Orang Islam yang menjiwai akhlak Islam pastinya menjaga hak orang lain kerana itulah makna sebenar di sebalik Islamnya.
Rasulullah
SAW bersabda: Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat
daripada (kejahatan) lidah dan tanganya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Tindakan
bermain mercun dalam bulan Ramadan dan Syawal yang dikenali sebagai dua
bulan istimewa Islam juga boleh menimbulkan persepsi kepada orang jahil
atau bukan Islam bahawa Islam mengiktiraf mercun sebagai suatu budaya
agama.
Islam tidak pernah ‘sebakul’
dengan sesetengah kepercayaan karut yang menggunakan bunyi bingit mercun
sebagai alat penghibur jiwa atau penghalau jin syaitan.
Selain
itu, angka orang yang cedera bahana mercun saban tahun sudah cukup
menjadi `fatwa jelas’ betapa kegiatan menjual dan bermain mercun wajib
diharamkan.
Berita tahun lepas cukup
tragis, remaja berusia 14 tahun di Panji, Kelantan buta mata kanan dan
hancur semua jari tangan kiri terkena belerang mercun bola yang
diletakkan dalam botol kaca. Pemain mercun ada berbagai ragam dan
tingkat usia.
Sesetengahnya terlalu ghairah sehingga mendorong mereka mencuba berbagai cara kreatif dan bahaya demi mencari kelainan letupan.
Pernah
pelajar satu sekolah dengan penulis dahulu (tahun 1987 di Kelantan)
menjadi mangsa mercun. Ketika menjalankan eksperimen mercun buatan
sendiri, dia merodok masuk serpihan mercun dan bunga api ke dalam
sebatang besi paip. Akibatnya, dia cedera parah dan hilang sebelah
tangan secara kekal.
Masih segar dalam
ingatan penulis, ketika berada di sekolah dia selalu berjalan sambil
tangan diseluk masuk (disembunyikan) ke dalam kocek seluar kanan. Sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian hilang satu anggota kekal.
Bagi
yang masih keliru apa hukum menjual dan membeli mercun, ia jelas haram
menurut undang-undang negara dan hukum Islam. Di Malaysia, pembakaran
mercun diharamkan pihak berkuasa seperti yang termaktub dalam Akta Bahan
Letupan pindaan 1991.
Islam
tidak melarang Muslim memenuhi emosinya yang mahu berhibur ketika
gembira berikutan sambutan hari kebesaran Islam, namun hiburan itu
mestilah tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Berdasarkan nas di atas,
bermain mercun adalah sejenis hiburan yang sangat bermasalah kerana
memenuhi segala jenis bahaya dan gangguan.
Itu
belum lagi mengira aspek pembaziran yang timbul hanya kerana mahu
menjamu telinga dengan dentuman tanpa makna atau putaran cahaya api yang
menyilaukan mata.
Yang pasti, para
pembekal atau penjual mercun ini adalah punca segala masalah bunyi dan
kecederaan ini. Mudarat mereka tidak jauh beza dengan pembekal dadah dan
rokok. Sabda Rasulullah SAW: Tidak boleh mencetus mudarat (untuk
kepentingan diri) dan dan tidak boleh menimbulkan mudarat (kepada orang
lain tanpa sebab) (Musnad Ahmad & Sunan Ibn Majah).
Cukuplah
sabda Rasulullah SAW ini menjadi teguran kepada kita semua. Ayuh kita
sama-sama bangkit menghalang penjualan mercun secara terbuka. Jangan
tunggu anak atau saudara mara kita hilang tangan atau mata baru kita
mahu bertindak.
Post a Comment