Headlines News :
Home » » Menderma darah selari tuntutan syariat, raih ganjaran di akhirat

Menderma darah selari tuntutan syariat, raih ganjaran di akhirat

Written By zabidi on Tuesday, 19 July 2022 | 4:01 pm


Oleh Muhammad Faidhi Azis -

 Darah adalah antara satu keajaiban ciptaan Allah SWT kerana ia komponen terpenting dalam sistem tubuh badan manusia normal. Tanpa darah, hidup akan terhenti untuk selamanya.

Menginsafi hakikat kepentingan darah, kita seharusnya sedar aktiviti menderma darah bukan sekadar kempen biasa namun ia usaha sangat mulia dan terpuji.

Ia juga manifestasi perintah Allah SWT dalam aspek tolong-menolong dalam perkara kebaikan. Firman Allah SWT bermaksud: "Hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa". (Surah al-Maidah, ayat 2).

Dalam kitab Tafsir al-Maraghi, Syeikh al-Maraghi menyatakan manusia antara satu sama lain wajib memberi pertolongan dalam urusan membawa kepada kebaikan.

Pertolongan itu sama ada antara individu atau masyarakat, dalam soal kehidupan dunia atau akhirat. Berdasarkan pernyataan itu, menderma darah bukan amalan duniawi semata-mata bahkan ia tuntutan umum dalam hidup beragama dan bermasyarakat.

Hakikatnya harus diakui, amalan menderma darah adalah usaha mulia dan baik untuk menghilangkan kesusahan orang lain yang memerlukan darah.

Baginda Nabi SAW turut bersabda bermaksud: "Siapa meringankan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah meringankan kesusahannya di hari Kiamat. Siapa memudahkan (urusan) orang dalam kesulitan (dalam masalah hutang), maka Allah memudahkan baginya (dari kesulitan) di dunia dan akhirat. Sesiapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah menutupnya (aib) di dunia dan akhirat. Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya". (HR Bukhari)

Menurut Pusat Darah Negara, sebanyak 15,000 hingga 17,000 beg darah diperlukan dalam tempoh sebulan bagi tujuan menampung keperluan bekalan darah merawat pesakit yang memerlukan.

Bagi menggalakkan masyarakat tampil menderma darah, beberapa kemudahan disediakan
di seluruh negara, antaranya penderma mendapat akses kemudahan parkir khas.

Barangkali ada manusia beranggapan menderma darah adalah hal remeh dan dipandang enteng. Tanggapan ini harus diperbetulkan mengikut neraca syariat Islam.

Dalam aspek ibadah, menderma darah adalah amalan mulia di sisi Islam. Selain ibadah khas seperti solat, puasa, menunaikan haji dan sebagainya, menderma darah turut menjadi sebahagian ibadah kerana menjadi inti pati seruan
di dalam Islam.

Dengan menderma darah, secara tidak langsung manusia mampu menyelamatkan tiga nyawa yang memerlukan bekalan darah.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu beg darah mampu menghasilkan sel darah merah, plasma dan platlet yang menjadi asas
keperluan dalam sistem tubuh badan manusia.

Dalam hal ini, Allah SWT memuji hamba-Nya yang menyelamatkan orang lain. Firman Allah SWT bermaksud; "Sesiapa menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia menjaga keselamatan hidup manusia semuanya". (Surah al-Maidah, ayat 32)

Di sebalik amalan menderma darah, penderma juga akan menerima kembali beberapa kelebihan dari sudut kesihatan. Dalam kajian dilakukan dan berdasarkan taburan fakta, amalan menderma
darah mengurangkan risiko penyakit jantung.

Hal ini berdasarkan penelitian kajian mendapati mereka yang menderma darah, kandungan besi dalam darah akan berada pada tahap optimum. Keadaan ini dapat mengurangkan risiko penyakit jantung.

Selain itu, menderma darah juga secara tidak langsung membakar kalori dalam badan.
Bersesuaian dengan cara hidup sihat, satu pain darah iaitu kira-kira 450 mililiter (ml) apabila
di dermakan dapat membakar sebanyak 650 kalori dalam badan penderma.

Bahkan, selepas menderma darah, ia akan menggantikan sel darah baharu dan ini mendorong
tubuh badan lebih sihat, segar dan awet muda.

Penderma darah juga mendapat keistimewaan tertentu seperti kemudahan perubatan percuma, rawatan percuma wad kelas pertama dan dua serta lain-lain keistimewaan berdasarkan Surat Pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia bil. (23) bertarikh 15 Julai 1996.

Justeru, kesedaran menderma darah harus
dipupuk dalam kalangan masyarakat. Alangkah rugi jika kita tidak menderma darah untuk
kebaikan dunia dan akhirat.

Sebagai orang Islam, di samping kita mendapat kebaikan dan keistimewaan di dunia, Allah SWT juga menjanjikan kelebihan dan keistimewaan
menerusi sikap pemurah penderma.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam,Universiti Sultan ZainalAbidin (UniSZA)

 

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER