Oleh Siti Aishah Yusoff
PERASAAN anda seringkali terganggu kerana anak yang berusia dua tahun sering mengalami batuk
yang berpanjangan pada waktu pagi.
Kemudian, apabila malam menjelma batuknya datang kembali, tambahan
jika keadaan cuaca sedikit dingin dan sejuk batuknya semakin
menjadi-jadi.
Jika seringkali berhadapan dengan situasi ini, berwaspada dan ambil tindakan segera untuk membawa anak berjumpa dengan doktor.
Simptom-simptom awal yang ditunjukkan itu, besar kemungkinan anak menghidap penyakit asma.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Perubatan
Sime Darby ParkCity Sdn. Bhd., Dr. Salehuddin Samsudin, asma adalah
penyakit kronik yang berlaku akibat keradangan disebabkan saluran pada
paru-paru membengkak dan sempit.
"Asma terjadi apabila saluran pernafasan menjadi semakin sempit dan
diselaputi oleh lendir-lendir. Situasi ini menyebabkan berlaku sesak
nafas dan semput.
"Penyempitan pada saluran pernafasan kanak-kanak penghidap asma boleh
berlaku secara tiba-tiba dan berulang kali, menyebabkan kanak-kanak
tersebut menghadapi kesukaran untuk bernafas," katanya.
Menurut Dr. Salehuddin, asma merupakan penyakit kronik yang menyerang
kanak-kanak berumur setahun ke bawah sehingga mencapai umur peringkat
dewasa.
Kajian juga menunjukkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang masih bersekolah diserang penyakit tersebut.
Begitupun beliau menambah, ia adalah penyakit yang susah dikenalpasti
pada kanak-kanak yang berumur kurang dari dua hingga tiga tahun
berikutan simptom yang seakan dengan penyakit lain.
Ini kerana, dalam lingkungan umur sebegini kanak-kanak tersebut mudah
terdedah dengan penyakit seperti jangkitan bakteria dan kuman pada
paru-paru.
"Berlainan pula dengan individu yang mencapai umur dewasa, kekerapan
diserang asma semakin berkurang berikutan paru-paru yang semakin
membesar.
"Keadaan ini membantu mengatasi masalah kesempitan saluran pernafasan agar menjadi lebih baik lancar," katanya.
Menurut Dr. Salehuddin lagi, penyakit asma kerap dikaitkan dengan faktor genetik dan persekitaran.
Mereka yang dilahirkan dengan sejarah yang mempunyai masalah asma lebih berisiko mendapat penyakit ini.
Potensi mereka menghidap asma juga lebih tinggi jika keluarga mempunyai masalah kesihatan seperti alahan dan ekzema.
"Persekitaran yang menyebabkan mereka selalu terdedah dengan asap
rokok, debu, keadaan cuaca sejuk, alahan dengan debunga dan jangkitan
kuman pada paru-paru, akan meningkatkan kadar diserang asma.
"Seeloknya apabila mengetahui anak menghidap asma elakkan mereka
daripada berhadapan dengan keadaan ini yang boleh meningkatkan potensi
diserang penyakit tersebut," katanya lagi.
Ujar Dr. Salehuddin lagi, secara jelasnya penyakit asma menyebabkan
kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas berbunyi dan semput.
Biasanya batuk yang dialami kanak-kanak itu adalah basah dan berkahak.
"Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak
mempunyai tanda-tanda tersebut. Ini akan menyukarkan diagnosis dan
kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak
baik walaupun sudah makan pelbagai jenis ubat.
"Sekiranya ada juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau
selesema awal pagi, ia lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau
lelah.
"Kanak-kanak yang mempunyai masalah asma senang mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya.
"Kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan dan selalu
mengeluh penat dan semput jika melakukan aktiviti luar seperti bersukan
juga berpotensi menghidap asma," katanya.
Ujarnya lagi, kanak-kanak yang diserang asma akan terjejas corak kehidupan mereka dan perlu melalui kesan jangka masa panjang.
Apabila kanak-kanak ini selalu mengalami sesak nafas mereka akan
kerap dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan
ini akan mengganggu dan membantutkan proses pembelajaran mereka.
"Sekiranya sejak kecil mereka sudah menghidap asma, keadaan ini
mengganggu proses tumbesaran dan fungsi paru-paru kerana tidak dapat
membesar dengan sempurna.
"Apabila pesakit ini meningkat usia tahap kecergasan dan stamina
badan akan berkurangan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penyakit
berkaitan paru-paru di usia tua," katanya.
Dr. Salehuddin berkata, tiada rawatan khusus yang digunakan untuk
memulihkan penyakit asma, tetapi boleh diatasi dengan menggunakan kaedah
rawatan yang bersesuaian.
"Kita boleh atasi sebahagian daripada simptom asma, tetapi untuk
mengubatinya agar kembali normal dan penyakit tidak berulang agak susah
kerana penyakit asma berkaitan dengan genetik.
Begitupun, faktor
persekitaran boleh dielakkan, di samping menggunakan rawatan yang
bersesuaian.
"Antara rawatan yang boleh digunakan adalah melalui ubat yang dimakan
atau menggunakan pam oksigen. Malah kebanyak pesakit asma akan pulih
dengan sendiri apabila mereka besar atau mencapai peringkat remaja.
"Ada dua kategori ubat ketika memberi rawatan kepada kanak-kanak
menghidap asma iaitu ubat-ubatan yang mencegah kanak-kanak daripada
serangan asma dan ubat-ubatan yang mengurangkan simptom asma," katanya.
Post a Comment