KUALA LUMPUR 9 Mei - Penyanyi legenda Datuk Sharifah Aini, 61, hari
ini mengesahkan yang dia pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) lima
bulan lalu.
Menerusi Facebooknya hari ini, Sharifah Aini memberitahu yang dia
menerima rawatan di hospital selama 28 hari dan sepanjang tempoh itu dia
ditempatkan di bilik berasingan daripada pesakit lain.
"Sampai sekarang saya perlu berulang-alik ke hospital dan hospital
ibarat rumah kedua saya kerana kesihatan saya belum pulih seratus
peratus. Saya memberitahu pengalaman ini, agar orang ramai lebih
berhati-hati. Semuanya berlaku kerana saya terlalu ingin menjaga hati
orang.
"Waktu itu saya mengadakan majlis khatam al-Quran dan salah seorang
jemputan saya membawa kenalannya (wanita) yang tidak saya kenali dan
wanita itu sejak datang batuknya amat teruk. Wanita itu hadir tiga malam
berturut-turut ke majlis yang saya anjurkan itu.
"Tiap kali datang, dia akan memeluk dan mencium pipi saya. Bila dia
peluk saya, tangan saya berpeluh. Selepas itu saya dapat tahu yang dia
baru pulang daripada bercuti dari luar negara.
Gara-gara dia, saya dan
ahli keluarga disahkan dijangkiti virus H1N1," katanya yang dipetik
melalui laman Facebooknya hari ini.
Kata Sharifah Aini, tujuan dia mendedahkan pengalaman itu bukan untuk
menghina sesiapa, cuma untuk mengingatkan orang lain agar berhati-hati
apabila mempunyai rakan atau saudara mara yang batuk teruk.
Post a Comment