Entah mengapa ramai kalangan kita memilih untuk menolak sajian daging
kambing yang sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol
dan darah tinggi yang kemudian membawa kepada penyakit jantung.
Sedangkan
pada masa kini, kambing merangkumi 63 peratus daging yang dimakan di
seluruh dunia, termasuk menjadi sumber protein utama di banyak negara
Arab dan Afrika Utara, selain penting di rantau Asia Tenggara,
kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain.
Di Barat pula, daging kambing makin mendapat publisiti meluas sebagai
sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu, malah
terdapat kajian yang menyatakan ia lebih sesuai untuk dimakan oleh
penghidap masalah berkaitan jantung.
Kumpulan penyelidik dari
Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama (Alabama Cooperative
Extension System-ACES) yang terdiri daripada Universiti Alabama dan
Universiti Auburn misalnya, turut mengadakan program pendidikan awam
yang mempromosi daging kambing sebagai makanan yang lebih sihat.
KOMPOSISI KHASIAT
Kajian
ACES berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding lembu, kambing
muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa daging yang dihasilkan
oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang
lebih baik.
Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing
mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah
berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif
daging merah terbaik.
Dengan menggunakan potongan daging seberat
tiga auns atau 85 gram, didapati kambing hanya mempunyai 2.6 gram
kandungan lemak berbanding lembu yang mempunyai 7.9 gram lemak, kambing
muda (lamb) (8.1 gram), khinzir (8.2 gram) dan ayam (6.3 gram).
Melihat
dari segi kalori pula, kambing mempunyai 122 kalori (kal), berbanding
lembu (179 kal), kambing muda (175 kal), khinzir (180 kal) dan ayam (162
kal).
Selain itu, kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih
tinggi berbanding daging jenis lain, ini adalah baik untuk pemakanan
manusia memandangkan lemaktak tepu membantu merendahkan risiko penyakit
jantung dan strok.
Kebaikan lain yang menjadikan daging kambing
sebagai sumber protein ideal ialah ia mengandungi semua jenis asid amino
yang diperlukan tubuh serta kandungan zat besi yang tinggi dan mampu
membantu penghidap anemia.
BAIK UNTUK JANTUNG
Kajian
klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa lemak tepu
adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit
kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu membaiki
paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan
banyak lagi kebaikan yang lain.
Mereka turut mendapati bahawa
lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak baik meningkat dalam darah
sedangkan lemak tidak tepu pula membantu mengurangkan keburukan itu
dengan
menaikkan paras kolestrol baik.
Keburukan utama kolestrol
tidak baik dalam darah ialah kemampuannya untuk melekat di dinding salur
arteri dan menyebabkan plak yang menjadikan ruang salur darah sempit
atau tersekat, yang seterusnya menyebabkan serangan jantung atau strok.
Lantas
penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging kambing
membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko
atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke
dalam diet jantung sihat.
Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES turut menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.
"Ini
termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan
menyebabkan daging kambing cepat liat, peraturan kedua pula ialah
memasak daging di dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah
sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor
mereka.
SUSU BERKHASIAT
Semua kelebihan
daging kambing dari segi kesihatan itu turut diakui oleh penyelidik dari
Jabatan Pertanian Universiti Bab*****, Nigeria.
Malah, kumpulan
penyelidik itu menekankan kepentingan nilai nutrisi kambing dalam aspek
pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang dilaporkan menerusi
artikel mereka yang
diterbitkan dalam Jurnal Pertanian dan Kajihayat
Amerika Utara.
Antara lain, artikel itu menyebut bahawa di
Okinawa Jepun misalnya, ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan
memakan daging kambing untuk menguatkan fizikal dan mengatasi keletihan.
Ia turut membincangkan kepentingan susu kambing yang mempunyai
komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak yang lebih kecil dan
mudah dihadamkan berbanding susu lembu.
"Sifat itu membolehkan
susu kambing digunakan untuk merawat masalah alergi pada susu lembu,
menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat penting kepada bayi,
orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi," tambah laporan itu.
Selain
itu, mereka mendapati kandungan zat mineral susu kambing adalah lebih
tinggi berbanding mamalia lain menjadikannya amat berguna untuk merawat
penyakit anemia yang diakibatkan oleh kekurangan zat besi dan penyakit
tulang rapuh selain dilaporkan berguna dalam rawatan kencing manis.
Artikel
itu turut menjelaskan kebaikan susu kambing untuk kesihatan kulit,
khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti psoriasis, ek
zema atau jerawat.
"Pakar dermatologi biasanya menggalakkan
pesakit menggunakan sabun pembersih berpelembab berasaskan susu kambing
untuk membantu melegakan kulit kering dan gatal dan seterusnya
menyembuhkan penyakit kulit," lapornya.
POTENSI PENTERNAKAN
Memandangkan
terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan kebaikan daging
serta susu kambing yang semakin diketahui ramai, maka tidak mustahil
permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu terdekat.
Malaysia
dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar kambing bagi
memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan iklim negara yang
panas dan lembab sepanjang tahun.
Penternakan kambing meskipun
dimulai secara kecil-kecilan tetap mampu mencapai kejayaan yang tinggi
memandangkan kambing matang dengan cepat dan membiak seawal usia lapan
bulan.
Lagipun, pemakanan kambing tidak cerewet dan boleh
dibiarkan bebas meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan
kampung selain najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu.
Walaupun
satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih sinonim dengan
kaum India yang memang gemarkan sajian kambing terutamanya masalla,
trend itu mula berubah kebelakangan ini.
Kini, semakin ramai
pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah yang menjadikan kambing
sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi permintaan untuk majlis
akikah dan Hari Raya Aidiladha.
Tambahan pula, kerajaan telah
banyak mengadakan pelbagai galakan untuk pengusaha muda membangunkan
diri menjadi usahawan kambing yang berjaya sekaligus memajukan industri
penternakan kambing untuk membantu menjana ekonomi kawasan luar bandar.
Ini
sekaligus menggalakkan percambahan ladang penternakan dari pelbagai
baka dan hibrid kambing, menyediakan pelbagai peluang kerja kepada anak
muda dan membantu menjana ekonomi luar bandar tanpa banyak risiko.
Daging kambing baik untuk kesihatan jantung
Written By zabidi on Thursday, 15 May 2014 | 3:07 pm
Labels:
Kesihatan
Post a Comment