KUANTAN - Malaysia mengharungi pertarungan penuh drama apabila
ketinggalan, bangkit dan
kemudian dikejar sebelum menyingkirkan pasukan
No. 6 dunia, New Zealand menerusi penentuan pukulan penalti shoot-out
3-2 untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-juara 1
(CC1) di Stadium Hoki Indera Mahkota, semalam.
Anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah dikejutkan seawal minit
keempat apabila Steve Edwards menyempurnakan jaringan padang untuk
meletakkan New Zealand mendahului 1-0.
Namun, semangat juang tinggi dan aksi kelas dunia yang ditunjukkan
pemain-pemain negara menyaksikan empat gol berjaya diledak pada babak
pertama bermula dengan jaringan penyamaan ketua pasukan, Azlan Misron
pada minit ke-20 dan dua gol Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-23
dan 31.
Mohd. Fitri Saari terdahulu menyempurnakan gol ketiga pada minit
ke-24 selepas menunjukkan skil hebat dengan menewaskan tiga pertahanan
lawan, sebelum menewaskan penjaga gol, Devon Manchester.
Drama sebenar bagaimanapun bermula pada babak kedua apabila New
Zealand bangkit menenggelamkan keriuhan lebih 1,000 penyokong tuan rumah
dengan menyamakan kedudukan 4-4 menerusi hatrik Andy Hayward pada minit
ke-45, 60 dan 70.
Debaran Malaysia tidak berakhir di situ. Tuan rumah ketinggalan 0-2
dalam penentuan pukulan penalti shoot-out, namun ketangkasan penjaga
gol, S.Kumar menepis tiga percubaan lawan memastikan pasukan negara
akhirnya menamatkan perlawanan yang amat mendebarkan itu sebagai
pemenang.
Jaringan penalti Malaysia disempurnakan oleh Faiz Helmi Jali, Firhan
Ashari dan Shahril, manakala New Zealand meraih gol menerusi Inglis
Hugo serta Hilton Blair.
"Kami mengharungi babak pertama yang amat baik dengan memperoleh
empat gol yang hebat. Meskipun memegang kelebihan tiga gol, saya
beritahu pemain ketika rehat supaya jangan ambil mudah perlawanan ini
dan bermain seperti biasa.
"Malang sekali, ia tidak menjadi. Kami memberi terlalu banyak ruang
kepada lawan untuk menyerang dan terpaksa membayar dengan harga tinggi
apabila melepaskan tiga gol.
"Malah pada penentuan pukulan penalti shoot-out kami ketinggalan 0-2,
namun saya gembira kami akhirnya bangkit untuk memenangi perlawanan.
Saya sangat bangga dengan pemain-pemain kami... mereka membuktikan
kemampuan hari ini," kata Muhammad Dharma.
Sementara itu jurulatih New Zealand, Colin Batch turut memuji aksi
anak-anak buahnya yang mempamer kebangkitan hebat pada separuh masa
kedua, namun gagal menyempurnakan peluang pada penentuan pukulan
penalti.
"Ia tidak mudah untuk bangkit selepas ketinggalan dengan jurang tiga
gol. Saya sangat bangga dengan pemain-pemain kami.. mereka bangkit dan
mencipta banyak peluang.
"Dalam penentuan pukulan penalti, apa saja boleh berlaku. Kami sangat kecewa tewas dengan cara begini," ujar Batch.
Malaysia kini akan menempah pertemuan dengan Kanada pada separuh
akhir selepas pasukan itu menyingkirkan Poland 3-2 dalam satu lagi
perlawanan suku akhir.
Post a Comment