KUALA LUMPUR - Bahang bagi menghadapi kejohanan Piala Thomas 2014 semakin dirasai.
Hanya dua minggu sahaja lagi kejohanan tersebut akan bermula di New
Delhi dan skuad badminton negara mensasarkan untuk menjadi juara
Kumpulan C bagi memastikan laluan mereka mudah ke peringkat seterusnya,
sekali gus dapat mengelak pertembungan dengan China di pusingan suku
akhir.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek (gambar)
berkata, segala persiapan akhir telah dilakukan oleh mereka dan yakin
bahawa pasukan negara sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan
tersebut.
"Persediaan dari segi mental dan fizikal adalah antara perkara yang
kami berikan tumpuan dalam usaha merealisasikan matlamat kami dalam
misi membawa pulang Piala Thomas.
"Bagaimanapun, kami menghadapi sedikit masalah apabila pasukan
beregu negara masih lagi tidak konsisten, namun itu tidak menggugat
misi kami kerana kami masih mampu untuk memberi saingan kepada pihak
lawan dan kami akan menghadapi mereka satu demi satu," katanya ketika
dihubungi semalam.
Malaysia, yang kali terakhir merangkul kejuaraan berprestij itu pada
1992 di Kuala Lumpur, diletak dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan,
India dan Jerman manakala China berada di dalam Kumpulan D bersama-sama
Taiwan, Rusia dan Perancis.
China dilihat mampu mempertahankan kejuaraan mereka berdasarkan
senarai pemainnya, yang turut meletakkan juara dunia dan Olimpik, Lin
Dan sebagai perseorangan keempat.
Kehadiran pemain nombor 58 dunia itu sudah pasti mendatangkan gerun
buat semua pencabar mereka, termasuk Malaysia yang mungkin akan bertemu
juara sembilan kali itu lebih awal jika hanya menamatkan saingan sebagai
naib juara kumpulan.
Semalam, pasukan negara melakukan persiapan terakhir sebelum ke New
Delhi apabila kesemua pemain Piala Thomas dan Uber telah menyiapkan visa
di kedutaan India tanpa sebarang masalah. Mereka akan berangkat Khamis
depan.
Post a Comment