RAMALLAH - Palestin dilapor meminta negara-negara kuasa dunia
supaya melabelkan kumpulan-
kumpulan pendatang haram Yahudi yang dikenali
sebagai Hilltop Youth dan sering menyerang masyarakat Palestin dan
kawasan suci di wilayah Palestin sebagai pertubuhan pengganas.
Menteri Luar Palestin, Riad al-Malki berkata, kumpulan militan
pendatang Yahudi itu dan aktivis-aktivis yang menggunakan slogan price
tag melakukan keganasan berterusan terhadap penduduk Palestin,
menceroboh tanah, kawasan suci dan harta benda penduduk Palestin.
Slogan price tag merujuk kepada hukuman yang dituntut kumpulan
pendatang haram Yahudi itu atas sebarang cubaan oleh kerajaan Israel
mengawal penempatan di Tebing Barat, sebuah kawasan yang dituntut
Palestin sebagai sebahagian negara mereka.
Kumpulan-kumpulan ini memainkan peranan dengan membunuh, menghasut
keganasan dan menyebarkan budaya kebencian dan perkauman," kata Riad
dalam satu surat kepada Rusia, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Kesatuan
Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), semalam.
Langkah itu dibuat sebagai usaha Palestin untuk merujuk tuntutan
mereka bagi menubuhkan sebuah negara bebas di wilayah yang diduduki
Israel kepada lebih banyak pertubuhan-pertubuhan antarabangsa sejak
kegagalan rundingan damai tajaan AS pada bulan lalu.
Kemarahan penduduk Palestin semakin memuncak ekoran tindakan militan
pendatang haram Yahudi itu yang menyerang perkampungan Palestin dengan
membakar bangunan, menulis slogan kebencian dan menyerang penduduk.
EU dan negara-negara Eropah sejak berdekad-dekad lalu merujuk
beberapa kumpulan bersenjata Palestin sebagai pertubuhan pengganas dan
baru-baru ini turut menyenaraikan kumpulan militan Israel, Kahane Chai
dalam senarai tersebut.
Jabatan Negara AS dalam laporan keganasan yang diterbitkan pada bulan
lalu turut menyentuh tentang serangan oleh militan pendatang Yahudi
itu, namun tidak menyenaraikan mereka sebagai kumpulan pengganas.
Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB pada 2013 melaporkan
sebanyak 399 serangan oleh pendatang haram Yahudi terhadap penduduk
Palestin yang mengakibatkan kecederaan dan kemusnahan harta benda.
Pegawai Israel tidak mengulas berhubung kenyataan Palestin itu. - REUTERS
Palestin desak kumpulan militan Yahudi dilabel sebagai pengganas
Written By zabidi on Wednesday, 14 May 2014 | 8:59 pm
Labels:
Global
Post a Comment