Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR - Penyanyi tersohor, Datuk Sharifah Aini, 61,
kini terlantar di wad sebuah
hospital swasta di ibu negara bagi
menjalani rawatan rapi kerana jangkitan kuman pada paru-paru.
Biduanita negara itu ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini
berkata, keadaan kesihatannya stabil dan baginya menerima rawatan di wad
hospital adalah perkara biasa sejak dijangkiti virus Influenza A (H1N1)
lima bulan lalu.
Bagaimanapun penyanyi berusia 61 tahun itu berkata, setakat ini
beliau tidak bersedia untuk menerima pelawat ekoran daya ketahanan
badannya yang masih lemah.
Sharifah Aini atau nama penuhnya Sharifah Aini Syed Jaafar yang tabah
menghadapi dugaan itu berkata, apa yang dilaluinya adalah ketentuan
Allah dan beliau reda jika telah tiba masa untuknya kembali ke pangkuan
yang maha Esa.
Beliau menerusi akaun laman Facebooknya sejak dua hari lalu menulis
kata-kata yang beliau reda dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.
"Setiap daripada kita tidak tahu bila akan dijemput oleh-Nya. Jika
ditakdirkan Allah, tiba masanya untuk saya pulang ke rahmatullah dan
keluar daripada hospital sebagai jenazah, dengan hati yang damai dan
tenang saya reda apa yang telah ditetapkan.
"Hanya satu saya pinta, doakan saya berakhir dalam khusnul khotimah
(mati dalam keadaan yang baik). Di kesempatan ini juga, saya ingin
memberitahu pada semua bahawa saya amat menyayangi dan menghargai kasih
sayang serta doa daripada anda semua," katanya di laman sosial itu.
Beliau yang sudah 45 tahun berkecimpung dalam bidang seni ini turut
menyarankan kepada para peminatnya agar menggunakan laman sosial
miliknya itu dengan sebaik mungkin.
"Seandainya saya sudah tiada, gunakanlah Facebook ini ke arah
kebaikan, demi menjaga silaturahim, saling menasihati antara satu sama
lain dan bukan untuk mengumpat atau menabur fitnah. Segala perbuatan
yang sia-sia akan mendatangkan dosa, kasihanilah diri anda sendiri,"
katanya.
Paru-paru penyanyi tersohor Sharifah Aini dijangkiti kuman
Written By zabidi on Saturday, 24 May 2014 | 9:04 pm
Labels:
Hiburan
Post a Comment