KUALA LUMPUR - Penyerang import berbisa Selangor, Paulo Rangel boleh
melupakan impian
untuk me-nyarung jersi Harimau Malaya kerana Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah bercadang untuk membuka pintu
kepada pemain luar.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, hendak
membawa masuk pemain naturalisasi juga bukan mudah kerana proses menukar
kerakyatan seseorang pemain luar negara memakan masa yang sangat
panjang.
Beliau memberitahu, situasi melibatkan Rangel tidak sama seperti
Brendan Gan kerana urusan pemain muda Kelantan itu lebih mudah
memandangkan bapanya merupakan warganegara Malaysia.
"Antara prosedur yang perlu dilaksanakan ialah mendapatkan taraf
penduduk tetap sebelum boleh memohon untuk mendapatkan taraf warganegara
dan proses ini memakan masa bertahun-tahun.
"Selepas mendapatkan taraf warganegara, perkara itu perlu dirujuk
kepada FIFA bagi memastikan status Rangel sama ada pernah beraksi
bersama skuad Brazil atau sebaliknya.
"Sekiranya segala urusan berjalan lancar sekalipun, Rangel ketika itu
sudah berusia lebih 30 tahun untuk menyarung jersi Harimau Malaya,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Baru-baru ini, Rangel yang berusia 29 tahun menyatakan kesediaannya
untuk menyarung jersi skuad kebangsaan jika diberi peluang beraksi di
pentas antarabangsa.
Pemain kelahiran Brazil itu turut mempamerkan aksi cemerlang musim
ini bersama Selangor dengan menjaringkan 10 gol dalam 13 penampilan
Liga Super.
Hamidin memberitahu, FAM juga tidak mempunyai sebarang perancangan
untuk membuka pintu bagi tujuan naturalisasi pemain seperti yang
diamalkan beberapa negara jiran termasuk Singapura.
Beliau berkata, proses itu bukan mudah kerana ia melibatkan urusan
kerajaan dan berisiko tinggi terutamanya jika pemain yang dipilih itu
tidak mencapai tahap yang dikehendaki.
Rangel boleh lupakan Harimau Malaya
Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | 9:01 am
Labels:
Sukan
Post a Comment