KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David terus cemerlang
apabila kekal sebagai
pemain No. 1 dunia untuk bulan ke-94
berturut-turut selepas ranking Mei dikeluarkan semalam.
Setidak-tidaknya, berita tersebut mengubat kekecewaan pemain berusia
30 tahun itu yang sebelum ini tumpas kepada Nour El Sherbini (Mesir) di
separuh akhir Kejohanan Dunia Wanita 2014 di tempat kelahirannya
sendiri di Pulau Pinang.
Sebelum beraksi di kejohanan tersebut Nicol telah meraih dua
kejuaraan iaitu Tournament Of Champions dan Cleveland Classic yang
sedikit sebanyak membantunya mengekalkan kedudukan No. 1 dunia.
Dalam perlawanan akhir Tournament Of Champions Nicol yang terkenal
dengan gelaran Duracell Bunny menumpaskan Laura Massaro dari England
11-4, 13-11, 11-8, manakala di Cleveland Classic pula dia mengenepikan
pemain Hong Kong, Annie Au 13-11, 11-5, 11-6.
Bagaimanapun bagi ranking terbaru yang dikeluarkan semalam, pemain
veteran Ireland, Madeline Perry lebih mencuri tumpuan apabila menjadi
pemain paling tua dalam sejarah yang masih mampu kekal dalam kedudukan
10 pemain terbaik dunia.
Perry, 37, menduduki ranking kesembilan dunia dan pernah menduduki
kedudukan tertinggi di tempat ketiga pada April 2011 dengan berjaya
melangkah ke saingan akhir Jelajah Dunia WSA sebanyak 27 kali dan
mencatat kemenangan sebanyak 11 kali.
"Saya rasa apa yang buat saya berasa bangga ialah bersaing dalam
kejohanan tahap tinggi dengan beberapa pemain terbaik dunia. Saya rasa
saya bermain dengan baik pada usia ini kerana ketika saya masih
kanak-kanak saya kurang berlatih.
"Saya juga banyak menumpukan kepada latihan sebagai seorang pemain
profesional dan kerap menggunakan fisioterapi untuk membolehkan badan
saya sentiasa berada pada tahap terbaik," kata Perry.
Kekal menghuni ranking kedua terbaik dunia adalah Massaro, manakala pemain Mesir, Raneem El Welily menduduki tempat ketiga.
Perseorangan kedua negara, Low Wee Wern naik satu anak tangga ke kedudukan ketujuh dunia.
Nicol terus utuh teraju No. 1 dunia
Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | 9:01 am
Labels:
Sukan
Post a Comment