TELEFON bimbit ibarat menjadi kemestian dalam hidup masa kini. Rasanya
tidak sempurna hidup
tanpa alat komunikasi itu. Lebih-lebih lagi dengan
gajet pintar (smart phone) banyak gunanya. Jika sesat jalan, boleh
menggunakan google earth bagi mencari destinasi tujuan.
Malah di
Masjidilharam, orang Malaysia kini boleh mendengar khutbah dalam bahasa
Melayu menggunakan smart phone. Ia hasil inisiatif Kerajaan Arab Saudi
yang menyediakan penterjemah bagi kemudahan ratusan ribu umat Islam dari
rantau ASEAN mengikuti khutbah secara langsung yang disampaikan dalam
bahasa arab.
Demikian hebatnya teknologi membantu kita dalam
memudahkan lagi pelaksanaan ibadat harian. Bagaimanapun, terlalu obses
dengan gajet tersebut secara tidak disedari boleh menyebabkan pahala
ibadat kita menjadi sia-sia terutama ketika solat Jumaat.
Solat
Jumaat adalah masa di mana kaum muslimin berhimpun di masjid tanpa
mengira pangkat, kedudukan atau bangsa. Khutbah pula adalah satu
daripada lima syarat sah solat Jumaat. Justeru, ia adalah wasilah
terbaik untuk menyampai dan menerima nasihat, peringatan serta
mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam.
Sebab
itu, Rasulullah SAW menyuruh para jemaah supaya diam dan khusyuk
mendengar khutbah. Sabda nabi SAW yang bermaksud: Jika engkau mengatakan
kepada sahabatmu pada hari Jumaat ‘diam’ padahal imam pada ketika itu
sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar berkata sia-sia.
(riwayat Bukhari dan Muslim)
Dapatlah difahami daripada hadis
ini bahawa apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang
sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan. Ini kerana jika
kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah lain supaya diam
dan mendengar khutbah itu pun dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan
perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, apatah lagi
kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.
Malangnya,
masih ada dalam kalangan umat Islam terutama remaja yang tidak boleh
berenggang dengan telefon bimbit mereka. Sehinggakan semasa khatib
berkhutbah pun, ada yang melayari internet, chatting dan bermain game.
Perbuatan sebegini tidak patut berlaku kerana ia menjejaskan
kesempurnaan solat Jumaat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia (pergi
ke masjid) untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak
bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang
ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah
tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu
(ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia. (riwayat Muslim)
Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca
khutbah Jumaat boleh diqiaskan kepada maksud hadis di atas. Dalam hadis
ini, Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang bermain-main dengan
anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan
yang sia-sia.
Maksud ‘sia-sia’ dalam hadis ini adalah
bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan
kelebihan-kelebihan solat Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira
sah.
Menurut ulama, larangan itu tidak hanya terbatas terhadap
bermain dengan anak batu sahaja tetapi menyeluruh terhadap semua
perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.
Jika
dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika
khutbah dibacakan adalah lebih buruk daripada perbuatan bermain dengan
anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman
internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya
itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukkan dan menjejaskan
tumpuan.
Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar
khutbah Jumaat itu berkata-kata jika berlaku darurat misalnya kerana
hendak menyelamatkan orang buta yang hampir jatuh ke dalam parit atau
ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri
seseorang. Maka dalam hal sedemikian, tidaklah dilarang orang yang
mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya
melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk
menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada
berkata-kata.
Marilah memastikan solat Jumaat kita terpelihara
daripada sebarang hal yang lagha agar kita beroleh keampunan Allah
seperti yang dijanjikan dalam hadis di atas.
Home »
Bicara Islam
» Jangan buang pahala kerana telefon bimbit
Jangan buang pahala kerana telefon bimbit
Written By zabidi on Monday, 10 November 2014 | 10:58 pm
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment