PELUANG beraksi pada Sukan Olimpik 2016 bukan sahaja dilihat penting
kepada pemain-pemain elit, malah jurulatih perseorangan badminton
negara, Rashid Sidek mengakui, dua pelapis kebangsaan, Soo Teck Zhi dan
Tan Kian Meng juga mampu membuat kejutan untuk beraksi pada temasya
berprestij itu.
Jelas Rashid, walaupun fokus diberikan kepada dua
pemain utama negara, Chong Wei Feng dan Liew Daren, namun kem badminton
negara tidak pernah mengabaikan tumpuan mereka kepada pemain-pemain
pelapis untuk mengejar ranking sekali gus layak beraksi pada temasya di
Brazil itu.
“Saya percaya kalau pemain-pemain pelapis ini
konsisten mara ke suku akhir atau separuh akhir mereka juga mampu
memintas ranking dua pemain elit kita, Daren dan Wei Feng.
“Secara realistik memang nampak sukar kerana ramai lagi pemain negara lain yang setanding mereka tetapi ia tidak mustahil.
Kalau pemain-pemain elit tidak menunjukkan komitmen yang bagus dan
prestasi mereka tidak meningkat, mungkin peluang ke Sukan Olimpik akan
menjadi milik pemain-pemain pelapis,” kata Rashid
Dalam
perkembangan lain, Rashid turut memuji prestasi yang dipamerkan Teck Zhi
selepas juara Kejohanan Badminton Remaja Asia 2013 itu mara ke suku
akhir sebelum tewas kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin pada
Masters Malaysia 2015 di Kuching dua minggu lalu.
Bagaimanapun,
apa yang membuatkan Rashid rasa terkilan ialah prestasi juara Siri Super
Perancis 2012, Daren yang tidak menggunakan peluang beraksi pada
kejohanan itu untuk meraih pencapaian yang lebih baik.
Rashid
berkata, pemain berusia 27 tahun itu yang tewas pada suku akhir kepada
pemain India, Ajay Jayaram sepatutnya meraih keputusan yang lebih baik
dengan sekurang-kurangnya mara ke final.
“Saya memang tidak
berpuas hati kerana dia boleh pergi lebih jauh, cuma mahu atau tidak
mahu. Dia pernah menang kejohanan berstatus Siri Super kenapa selepas
kejayaan itu prestasi dia tidak konsisten.
“Pencabar dia pada
Siri Super Perancis jauh lebih baik berbanding di Kuching. Bagi saya
mudah sahaja, usaha tidak cukup kalau dia mahu dia akan buat lebih
baik,” tambah Rashid.
Wei Feng pula terpaksa mengharungi
kejohanan itu walaupun mengalami kecederaan hamstring, namun dia tewas
kepada bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia, Mohamad Arif Abdul
Latif pada pusingan kedua kejohanan.
Kedua-dua pemain itu
kemudian beraksi pada GP Emas Terbuka India minggu lalu, Wei Feng
menarik diri pada aksi suku akhir ekoran kecederaan hamstring yang
semakin serius, manakala Daren tewas kepada pemain India, RMV
Gurusaidutt pada pusingan kedua kejohanan.
Rashid berkata, Wei Feng yang masih dalam proses pemulihan akan kembali mengikuti latihan pada minggu depan.
Peluang ke Sukan Olimpik 2016 terbuka
Written By zabidi on Friday, 30 January 2015 | 11:38 pm
Related Posts :
Labels:
Sukan
Post a Comment