Oleh NOR SUHAILAH SAIRAN
IKHLAS bermaksud melaksanakan taat semata-mata kerana Allah sendiri-Nya, bukan dimaksudkan memperolehi
kebesaran dari manusia, ataupun penghormatan. Dan bukan pula untuk
memperolehi sesuatu keuntungan dunia atau menolak sesuatu bencana
keduniaan.
Manakala, Istikhlas ialah berpura-pura melakukan sesuatu kebaikan demi mencapai reda Allah. Ianya berbeza dengan hipokrit?
Keikhlasan
itu tidak nampak dengan mata kasar. Sukar dibuktikan dengan ucapan
mahupun perbuatan. Ikhlas itu umpama semut hitam yang melata di atas
batu berwarna hitam, walaupun ia tak nampak pada pandangan manusia,
namun ia wujud di sisi Allah. Ikhlas merupakan rahsia antara Allah dan
hambanya.
Dalam usaha memperbaiki amalan seharian, tidak kisahlah
sama ada wajib atau sunat pastinya diri sendiri atau orang lain
terutamanya, akan mempertikaikan keikhlasan kita.
Apabila kita
istiqamah dalam sesuatu amalan itu, kononnya baru dianggap ianya
benarbenar ikhlas dan menjadi satu keperibadian dalam diri kita.
Kadang-kadang kita merasa bahagia dengan perbuatan kita, kadang-kadang merasa bosan, benci, malu atau sebagainya.
Apatah lagi, apabila sesuatu amalan yang kita lakukan itu, menampakkan perubahan yang ketara pada diri kita.
Sebagai contoh, individu yang dahulunya jahil dan sentiasa bergelumang
dengan dosa, akhirnya berhijrah ke arah kebaikan. Pastinya, ada
mulut-mulut yang melontarkan spekulasi bahawa individu tersebut
‘hipokrit’.
Secara tidak langsung , tohmahan seperti ini akan
membantutkan seseorang untuk berubah. Namun, persoalannya, sampai bila
hendak berubah kalau bukan sekarang?
Para cendekiawan dan para
alim berkata “Amal adalah seumpama gelas manakala keikhlasannya adalah
air. Jika tidak ada gelas, bagaimana air boleh dimasukkan?
Begitu juga... jika tidak ada amal, masakan keikhlasan akan datang?
Jadi untuk menyelesaikan perkara ini, hendaklah seseorang itu tekun
beramal sehingga keikhlasan itu datang dengan sendirinya walaupun pada
asalnya ianya adalah keikhlasan yang tidak sepertinya.”
Dalam
mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan meraih
keredaannya yang bakal menjanjikan syurga, pastinya cabaran duniawi
mengganggu gugat keutuhan tembok keimanan dan ketakwaan.
Inilah hakikat yang tidak boleh disangkal dan perlu disemat dalam ingatan, apabila tiba ujian atau musibah dalam hidup kita.
Namun, terdapat sesetengah individu, mudah kecewa dengan Allah SWT
dengan ujian dan musibah yang Allah SWT turunkan padanya. Dan akhirnya,
dia berubah lantas meninggalkan rukun Islam yang lima, tidak lagi
menutup aurat, dan berperangai tidak senonoh.
Seringkali juga
sesetengah masyarakat kita berpendapat, “jika kita hendak berubah, kena
betul-betul ikhlas. Kalau sudah bertudung , tapi perangai buruk pun
tidak guna, itu hipokrit namanya. Jadi, aku nak betul-betul ikhlas, baru
aku bertudung.” Lebih kurang beginilah dialognya.
Persoalannya, bilakah rasa ikhlas itu dapat dirasa? Tahukah bila ajal menjemput kita?
Kita hidup bermain dengan masa. Bak kata pepatah Melayu, masa itu emas.
Allah SWT berfirman; “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam
kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka
pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesanpesan dengan
kesabaran.”
Surah ini mengingatkan kita mengenai betapa
pentingnya kita perlu menitik beratkan tempoh dan masa yang
diberikan-NYA sepanjang hidup kita dunia.
Tahukah kita bila dan di mana kita mati jika kita berhasrat asyik menangguhkan taubat kita?
Istilah “Istikhlas” sebenarnya amat jarang didengar dalam mana-mana
perbahasan. Namun, sebenarnya ini adalah satu kaedah yang telah dianjur
dan diamalkan sejak dahulu lagi.
Kaedah ini bermaksud berpurapura ikhlas dalam beramal.
Tidak salah istikhlas dalam beramal sebagai jalan mencapai keikhlasan.
Allah SWT maha kaya dan pemurah. Sedikit sebanyak, pastinya ada pahala
bagi kita.
Janganlah bazirkan masa dengan menangguh-nangguhkan
taubat dengan alasan tidak ikhlas. Mungkin istilah hipokrit tidak sesuai
digunakan pada individu yang hendak berubah, namun, tidak mampu lagi
mencapai kesempurnaan dalam perubahannya. Ikhlas adalah perasaan yang
harus dipupuk dan ia bukan mudah datang dengan sendiri. Istikhlas cara
terbaik mencapai keikhlasan.
>> Penulis Pelajar Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia
Home »
Bicara Islam
» Istikhlas jalan mencari keikhlasan
Istikhlas jalan mencari keikhlasan
Written By zabidi on Wednesday, 25 March 2015 | 9:24 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment