Oleh IMAM MUDA FAKHRUL
MULA
membuka mata di kala subuh hari di bumi Sudan. Hujan lebat membasahi
bumi kering ini. Sebasah jiwa yang membungkam menangisi pemergian
Murabbi Ummah Tuan Guru Datuk Dr Haron Din.
Insan yang
terlalu banyak jasanya untuk Islam khususnya Pusat Dakwah Serantau yang
kami sedang bina sudah masuk lima tahun. Almarhum adalah pengerusi
majlis perunding Pusat Dakwah Serantau. Hasil usahanya memimpin kami
dan Pusat Dakwah telah berjaya mengislamkan lebih 1000 orang di
Malaysia, Indonesia, Kemboja dan lain-lain negara rantau ini. Hanya
dalam masa 5 tahun.
Masih terpahat dalam ingatan ketika dalam
mesyuarat majlis perunding membincangkan proses pembinaan kompleks Pusat
Dakwah Serantau yang memakan belanja 25 juta. Salah seorang ahli
mesyuarat bertanya dengan penuh keraguan, "macam mana kita nak cari 25
juta?" Spontan Almarhum menjawab "Minallah!", "Dari Allah!" Semua
tersentak termotivasi dengan jawapan yang sangat meyakinkan. Allahu
Akbar!
Alhamdulillah, dalam masa dua tahun Pusat Dakwah sudah
mula dibina. Tanah sudah dibeli dan pembinaan sudah masuk fasa pertama.
Pelajar pun sudah masuk pengambilan yang ke-6 dan anak didiknya sudah
bertebaran di seluruh rantau asia menjadi selebriti langit mengajak
insan kembali kepada Islam.
Kini kami mengorak langkah untuk
menerbitkan Hidaya TV hasil sokongan kuat idea dan bantuan dari beliau.
TV internet yang hanya fokus dakwah kepada yang belum Islam dengan
pelbagai pendekatan.
Kini usaha sedang giat dilakukan dengan
pelbagai penggambaran dan perbincangan. Masih teringat cukup semangat
beliau membincangkan kandungan dan majlis pelancaran yang dicadangkannya
besar-besaran. Malangnya beliau tidak sempat melihat hasilnya.
Insya-Allah kami akan teruskan usaha ini. Semoga segala kebaikan dan
pahala berterusan sampai kepadanya.
Terkadang rasa hairan di
dalam jiwa. Bagaimana dia boleh menguruskan nyawanya sebegini hebat
dalam keadaan dia sebagai seorang Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia
PAS. Ketua Kluster Dakwah Kerajaan, Pengerusi Darul Syifa, Pengerusi
Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau dan puluhan lagi tugas besar yang
terpikul di bahunya.
Tiada jawapan lain kecuali kelebihan ini adalah karamah yang Allah berikan hanya kepada mereka yang terpilih.
Kini
beliau telah meninggalkan kami walaupun kami masih lagi sangat
memerlukannya. Allah lebih menyanyanginya. Walau di hujung dunia jasadmu
dikebumikan tidak menjadi masalah kerana jiwamu sentiasa tertanam
dihati dan doa kami.
Rehatlah wahai Murabbi Ummah daripada
kekalutan dan makar dunia. Sudah bertahun dikau menanam. Kini tiba
masanya menuai hasilnya. Bergembiralah menemui Pencipta dan Rasul-Nya.
Senyumlah menemui para Murabbi yang sudah lama mendahului.
Semoga
kami sentiasa istiqamah bersama jalan yang telah kau lalui. Tak dapat
dibayangkan betapa seronoknya menemuimu kembali nanti dibelakang Rasul
yang dirindui.
Damailah Murabbi Ummah..
اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه.....
Dari Al-Faqir IM Fakhrul, Khartoum Sudan.


Post a Comment