Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Saat
golongan intelektual selesa dengan kehidupan mereka dalam dekad
1970-an, beliau telah pun menjadi Ahli Jawatankuasa kerja PAS Pusat.
Maestro dakwah ini membangunkan jamaah semenjak zaman mudanya, walaupun
menjadi tenaga pensyarah di kampus Bangi yang saat itu masih berhutan
tebal. Beliau membangunkan jamaah saat, sebahagian besar kelompok kelas
menengah masih meragui keupayaan Parti Islam mengurus dan mentadbir
negara.
Tokoh sarjana muslim ini bukan sahaja mencanai
intelektualnya dengan puluhan buku dan ratusan kerta kerja di menara
gading, namun menyumbang kepakarannya untuk masyarakat umum negara ini.
Namanya mengharum dalam perubatan Islam, bukan sekadar beliau mengubati
masyarakat yang sakit daripada sudut akidah tetapi melahirkan jumlah
yang besar pengamal perubatan Islam dengan tertubuhnya Darul Shifa' di
Bangi. Darul Shifa' juga mempunyai jaringannya di seluruh negara,
berbakti pada masyarakat.
Minat murabbi ini kepada pendidikan
Islam tak mampu diremehkan, kerana usaha jihad ta'lim telah berakar
dalam jiwanya. Beliau menjadi banyak penasihat kepada institusi
pendidikan dan dakwah, antaranya Pusat Dakwah Serantau yang banyak
melahirkan para daie dan menebarkan dakwah di kawasan pedalaman. Tuan
Guru juga dalam keadaan uzur, masih lagi berulang ke Perlis, negeri
kelahirannya untuk menyampaikan kuliah, antaranya di MATIN. Jiwanya
segar apabila menyampaikan ilmu kerana itulah cinta dan citranya dalam
kehidupan. Memberikan ilmu seolah therapi baginya dan tak banyak memberi
alasan bila diajak menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Jika beliau
tak hadir dalam majlis ilmu yang dirancangkan, bermakna beliau sakit
yang tenat atau dalam pemerhatian doktor.
Dr Haron Din antara
tokoh PAS yang dibenci oleh kelompok politikus liberal pragmatis kerana
ketegasan beliau mempertahankan prinsip perjuangan Islam. Beliau dicaci
dan dinista, namun ini tidak menjadi kudis buta kepada semangat beliau
untuk membahterai perjuangan Islam ini. Sebagai Mursyidul Am, beliau
mengambil tindakan bersama Majlis Syura dalam menentukan PAS tidak
menjadi perkakas politik kepada musuh Islam untuk memanipulasi kekuatan
jentera PAS. Memutuskan hubungan dengan rakan pemuafakatan politik yang
tidak menghormati prinsip Islam mungkin pahit kepada pemimpi
Putrajaya, namun itulah rakaman sejarah yang berlaku semasa Dr Haron
memimpin Majlis Syura Ulamak.
Sikap pemurah beliau diketahui
umum, membantu pembinaan kompleks tarbiah, sekolah agama, masjid serta
pelbagai institusi Islam di negara ini. Masyarakat umum menghormatinya
melepasi garisan sempadan politik kepartian, beliau dianggap milik
ummat Islam. Kitab tulisannya bertebaran dan digunakan sebagai teks
pengajian, termasuk oleh PDRM.
Penulis teringatkan sosok maestro
dakwah ini dalam mengobarkan api semangat, beliau hadir ke daerah
Besut dalam bulan Mac tahun ini untuk merasmikan kompleks Dakwah
Malaysia (KODIM) yang diusahakan oleh Ustaz Datuk Nik Zawawi. Murabbi
ini berucap lebih sejam di atas mimbar masjid, guratan wajahnya gembira
serta energinya kelihatan seperti masih muda. Beliau juga merasmikan
majlis pecah tanah kompleks Pendidikan an-Nur Besut yang penulis
usahakan, dalam keadaan agak penat beliau tidak menghampakan. Mendoakan
supaya diberkati segala usaha mengajak manusia untuk hidup bertuhan
serta dimudahkan segala gerak kerja membina mercutanda pendidikan di
daerah agrarian itu.
Hari ini kita kehilangan murabbi ummah
dengan segunung kebaktian di medan amal Islami. Negara kita bersedih
kerana almarhum adalah milik semua orang, menyantuni orang susah,
merawat yang sakit, mencerdaskan akal ummat. Terbayang senyuman manis
dan doanya yang lirih serta taujihatnya yang menunjal-nunjal lubuk hati
dan akal kita. Bersemadilah wahai sang murabbi, kami semua menjadi
saksi akan kebaktianmu, kebaikanmu, juga dedikasimu di jalan juang ini.
Post a Comment