Oleh Khuzama Ab Rahman dan Farah Adibah Mohd Apandi
Perancangan kewangan
penting kepada setiap individu supaya harta yang dimiliki dapat
diuruskan sebaiknya. Kepentingan kepada perancangan yang baik juga dapat
membantu kehidupan ahli waris ditinggalkan jika berlaku sesuatu yang
tidak dijangka.
Islam menggalakkan umat merancang kewangan dengan baik supaya kehidupan
ahli waris yang ditinggalkan akan terbela dan tidak berlaku
persengketaan akibat perebutan harta. Harta adalah amanah yang perlu
diuruskan sebaiknya mengikut kaedah perancangan kewangan telah
ditetapkan.
Islam membahagikan perancangan harta kepada dua keadaan iaitu semasa
hidup dan selepas kematian seseorang muslim. Di antara bentuk
perancangan harta semasa hidup ialah wasiat, wakaf, hibah, sedekah,
hadiah dan nazar.
Manakala pengurusan harta selepas kematian pula dinamakan pembahagian
harta pusaka yang tertakluk kepada hukum faraid.
Dewasa ini pemberian hibah bukan lagi perkara baru, elemen hibah semakin
disebut-sebut malah telah banyak digabungkan bersama pelan perlindungan
takaful sebagai khidmat tambahan kepada pelanggan.
Jamin kepentingan pemberi, penerima
Ternyata aplikasi hibah amat digalakkan kerana dilihat sebagai perbuatan
kebajikan yang bakal menjamin kemaslahatan umum seperti mana firman
Allah SWT yang bermaksud: "Bukanlah suatu kebajikan itu kamu
menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah
berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan
nabi, dan mendermakan harta yang dicintai kepada kerabatnya, anak yatim,
miskin, musafir, orang yang meminta-minta, yang memerdekakan hamba
abdi, yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menyempurnakan
janji." (Surah al-Baqarah, ayat 177)
Hibah ialah pemberian seseorang kepada orang lain atau pihak tertentu
dan pembahagian itu dilakukan ketika pemberi atau pemilik harta masih
hidup atas keinginan sendiri, tanpa paksaan malah tanpa mengharapkan
sebarang balasan ('iwad).
Pelaksanaan hibah bertujuan untuk jaminan ketenangan hati dan minda
kedua pihak iaitu pemberi dan penerima hibah. Biarpun asalnya hibah
umpama pemberian, sedekah atau hadiah, namun pelaksanaannya tetap
membabitkan akad.
Di dalam pelaksanaan takaful, hibah dilihat sebagai pemudah cara bagi
ahli waris untuk mendapatkan manfaat takaful kerana penerima hibah akan
sepenuhnya berhak ke atas manfaat takaful sekali gus memudahkan lagi
proses pemberian manfaat takaful ketika berlakunya tuntutan.
Hibah dalam takaful
Produk takaful sememangnya telah digabungkan dengan elemen hibah dan
telah diamalkan oleh semua pengendali takaful kerana ia berpaksikan
amalan sedekah. Pelaksanaan hibah menerusi manfaat takaful diaplikasikan
menerusi pemberian manfaat takaful yang akan diperoleh oleh waris.
Aplikasi hibah bagi produk takaful yang berkaitan pendidikan, ibu bapa
sebagai pembayar sumbangan dikira sebagai pemberi hibah manakala anak
dinamakan sebagai peserta takaful pula penerima hibah secara mutlak dan
akan mendapat manfaat jika berlaku musibah kepada ibu bapa.
Hibah ini dikategorikan sebagai hibah bersyarat kerana hibah manfaat
takaful hanya akan berkuatkuasa atau berlaku setelah peserta takaful
meninggal dunia. Ilmuwan masih berselisih pendapat dalam hal ini kerana
amalan hibah seharusnya dilakukan semasa hidup.
Malah, status manfaat takaful juga menjadi pertikaian sama ada ia dikira
sebagai harta si mati atau tidak kerana jika dikira harta maka ia perlu
dibahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid. Jika sebaliknya,
maka memadai dengan hibah yang telah dilakukan sebelum itu.
Menurut keputusan Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara pada mesyuarat
kali ke 34, status hibah dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi
wasiat kerana hibah itu adalah hibah bersyarat.
Penyelesai masalah harta
Manfaat takaful pula lazimnya berkaitan dengan kematian peserta dan
tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup apabila sijil takaful
mencapai tempoh matang, maka manfaat takaful akan dimiliki oleh peserta.
Jika peserta telah meninggal dunia sebelum mencapai tempoh matang, maka
aplikasi hibah akan berkuatkuasa. Peserta mempunyai hak untuk
membatalkan hibah sebelum mencapai tempoh matang.
Oleh itu, peserta dibolehkan membuat penamaan dengan menamakan beberapa
individu untuk menerima manfaat takaful yang dibayar atas kematiannya
sebagai benefiasiari hibah bersyarat secara bertulis.
Hibah adalah landasan kepada peserta takaful membuat amalan kebaikan.
Hibah sejajar objektif takaful yang membantu peserta yang mengalami
musibah dan seterusnya menggunakan dana tabarru' bagi membantu peserta.
Masalah berpanjangan membabitkan harta selepas berlaku kematian semakin
bertambah dan membimbangkan, maka masyarakat perlu didedahkan dengan
cara pengagihan harta semasa hidup.
Merancang pengurusan harta melalui hibah
Written By zabidi on Friday, 2 December 2016 | 8:20 am
Related Posts :
Labels:
Rencana
Post a Comment