SEJARAH manusia dengan agama yang diredai Allah SWT untuk mereka,
sentiasa dinodai dengan kuman-kuman yang disebarkan oleh syaitan dari
zaman ke zaman. Kerananya manusia sering dan berulang kali dihinggapi
penyakit yang sangat parah iaitu penyakit yang disebut oleh Allah
sebagai syirik lalu menjadi musyrik, di mana dengannya menjadikan
manusia buta daripada melihat, pekak daripada mendengar dan beku
daripada memikirkan segala petunjuk Allah.
Istilah buta, pekak
dan sebagainya adalah digunakan oleh Allah tanpa segan silu, kerana
seluruh manusia yang dihadapkan kata-kata itu adalah hamba-hamba- Nya
belaka. Manusia pada hakikatnya ialah roh, yang kejadian dan
kewujudannya, merupakan suatu daripada rahsia pengetahuan Allah SWT, dan
di luar batas pengetahuan manusia.
Manusia yang wujudnya di alam
nyata ini adalah hasil daripada gabungan roh dan jasad, yang mana jasad
itu baharu sahaja terjadi dan kesuburannya adalah bersumber kepada tanah
dengan segala bahan-bahan yang terdapat di planet bumi ini. Kehidupan
manusia di bumi ini adalah kehidupan yang terlalu singkat.
Apabila diingatkan betapa roh mereka telah pun ada sejak beberapa lama
sebelum kelahiran mereka ke dunia ini dalam bentuk jasmani dan rohani.
Allah menerangkan betapa semua roh itu telah ditanya: “Tidakkah Aku ini
Tuhan kamu?” Dan sekalian roh menjawab: “Benar sekali.” Adapun
pertanyaan dan jawapan ini telah lama sekali berlaku di alam yang
tersendiri.
Manusia dengan jasadnya tanpa roh adalah bangkai yang
terlalu busuk baunya sekiranya dibiarkan terdedah. Busuknya bau bangkai
manusia jauh lebih busuk daripada bangkai binatang-binatang yang lain.
Demikianlah manusia ini, mereka dicipta dan dilahirkan ke dunia melalui
sebuah planet yang dinamakan ‘al-Ardh’ atau bumi dengan sebaik-baik
kejadian. Manusia dianugerah dengan akal dan budi bicara. Mereka dapat
pula berkata-kata untuk menyampaikan sesuatu yang lahir daripada
pemikiran dan perasaan.
Mereka juga dilengkapi dengan kebolehan
daya usaha dan daya cipta yang dapat mempergunakan segala benda yang
disediakan oleh Allah, iaitu apa-apa yang ada di planet bumi ini bagi
kepentingan mereka.
Semuanya ini adalah sebagai ujian kepada
mereka, kemudian mereka akan dikembalikan kepada sebusuk-busuk bangkai,
iaitu seburuk-buruk kejadian dan hancur luluh bersama tanah di bumi yang
mereka dilahirkan.
Seluruh kehidupan manusia sebagai kehidupan
sementara di dunia ini adalah merupakan ujian terhadap mereka, sama ada
mahu menjadi makhluk yang berterima kasih atau syukur kepada Allah, atau
mahu menjadi makhluk yang degil, keras kepala, sombong, bongkak atau
kufur ingkar kepada Allah seperti golongan jahiliah yang menyembah
berhala. Secara sedar ia adalah tindakan keterlaluan mencintai Allah
melalui penciptaan patungpatung yang kononnya untuk mendekatkan diri
kepada Allah yang digambarkan sebagai tuhan-tuhan.
Demikianlah
antara yang berlaku secara sedar, adapun yang tidak sedar ialah dengan
mengambil dan menjadikan pemimpin-pemimpin mereka yang biasanya ialah
manusia yang gagah, berkuasa, kejam dan zalim sebagai tempat untuk
menyerah jiwa raga mereka dan dipatuhi secara membuta-tuli kerana
hajat-hajat kehidupan menurut pertimbangan nafsu mereka sendiri.
Sejarah manusia selepas kewafatan nabi-nabi dan rasul-rasul sering
menjadikan manusia terdedah kepada tipu daya syaitan yang pernah
berhenti daripada memperdaya dan memesongkan manusia supaya terpesong
daripada jalan yang benar yang menyebabkan mereka akhirnya menjadi
murtad. Begitulah yang terjadi sesudah Nabi Isa a.s. sehingga kitab
Injil terbahagi kepada empat jenis yang berbeza-beza pendekatan dan
arahannya, ia berlaku kerana tindakan songsang yang memurtadkan
pelakunya.
Apabila Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan sebagai
Rasul terakhir untuk sekalian manusia, baginda telah berhadapan dengan
zaman penyembahan berhala dan api, atau menyembah pemimpinpemimpin
negara, di mana semuanya itu disifatkan sebagai musyrik kerana mengambil
sesuatu yang lain daripada Allah.
Sesungguhnya pelbagai
keterangan Allah berhubung dengan murtad, syirik dan musyrik dan
pelbagai keterangan dan penjelasan Nabi Muhammad dalam hal ini yang
sepatutnya menjadi panduan yang baik untuk kita semua renungkannya.
Sebahagian rencana hasil tulisan Almarhum Amaluddin Darus menerusi
risalah kecil ‘Islam Agama Manusia Sejagat’ muka surat 21-28.
Home »
Bicara Islam
» Jangan jadi golongan murtad, musyrik
Jangan jadi golongan murtad, musyrik
Written By zabidi on Monday, 20 March 2017 | 8:00 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment