UKURAN kejayaan hidup manusia tidak dinilai di dunia tetapi Allah SWT
jadikan ukuran nilai sama ada berjaya atau tidak ketika berada di
Padang Mahsyar nanti.
Diceritakan oleh al-Muhasibi dalam
kitabnya Al-Tawahum wal Ahwal, Allah SWT akan mengumpulkan seluruh
manusia dan jin di Padang Mahsyar dalam keadaan hina dan tidak ada
seorang pun yang bangun berpakaian.
Mereka yang dahulunya mempunyai
kedudukan, darjat dan pangkat juga akan menjadi rendah serta hina
kerana ia bukan lagi menjadi keutamaan pada ketika itu. Orang jahat
datang dengan keadaan tunduk kepalanya dan penuh ketakutan, malah
syaitan juga dibawa dalam keadaan sama di Padang Mahsyar nanti.
Bintang di langit jatuh bertaburan, cahaya matahari dan bulan menjadi
pudar seketika, suasana menjadi mendung serta gelap. Langit
berputar-putar di atas kepala selama 500 tahun menyebabkan manusia
berada dalam kebingungan.
Kemudian langit akan terbelah dan
bunyinya didengari semua makhluk di Padang Mahsyar. Firman Allah SWT
yang bermaksud: "Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair dan
gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)." (Surah
al-Maarij, ayat 8-9)
Hamba soleh diasingkan
Abu Hamid
dalam kitab Kasyful Ulum al-Akhirah menceritakan, jika semua makhluk
itu sudah dikumpulkan di Padang Mahsyar, Allah SWT mula memerintahkan
malaikat di langit dunia (langit pertama) untuk memindahkan hamba-Nya
yang soleh ke bumi lain.
Kemudian dipindahkan manusia dan jin
yang soleh, termasuklah binatang serta burung ke bumi kedua, tanahnya
berwarna putih daripada perak bercahaya. Selepas itu malaikat berjumlah
10 kali ganda daripada jumlah keseluruhan makhluk membuat barisan di
sempadan antara bumi pertama dan kedua.
Seterusnya, Allah SWT
memerintahkan malaikat di langit kedua hingga ketujuh turun ke bumi,
membuat barisan mengepung seluruh makhluk yang ada dan tidak seorang
pun mampu lari menembusi kepungan malaikat itu.
Bumi menjadi
sangat padat dan makhluk bersesakan, himpit-menghimpit antara satu sama
lain selain berpeluh kepanasan dalam keadaan yang merimaskan.
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm menyambung
perkongsian, pada ketika itu masing-masing dicengkam perasaan takut dan
penuh debaran kerana matahari berada sangat dekat di atas kepala
sehingga boleh disentuh hanya dengan mengangkat tangan mereka.
Mereka akan berasa sangat haus, tetapi hamba Allah SWT yang soleh akan
mendapat minuman diberikan oleh anak syurga yang soleh. Di Padang
Mahsyar nanti akan kelihatan awan bergerak di atas kepala, menaungi
mereka yang sentiasa bersedekah ketika di dunia dahulu selama 1000
tahun.
Kemudian kedengaran tiupan sangkakala yang memberi
isyarat turunnya Arash Allah SWT yang dibawa oleh lapan malaikat,
diiringi ribuan malaikat menyebabkan seluruh makhluk menggigil
ketakutan.
Minta bantuan Nabi
Di Padang Mahsyar manusia
berada dalam kebingungan dan pada ketika itu mereka mula mencari Nabi
Adam tetapi Baginda tidak berani melakukan apa-apa dan meminta berjumpa
Nabi Nuh, namun Baginda juga tidak dapat membantu.
Begitu juga
Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan nabi lain. Sehinggalah akhirnya
umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sujud sambil
menangis dan berkata: "Semua nabi sudah menggunakan doa mustajab mereka
ketika di dunia dahulu, kecuali diriku."
Walaupun sudah
mengetahui hasrat Rasulullah SAW, Allah SWT menghantar malaikat untuk
bertanya kepada kekasih-Nya kenapa Baginda menangis. Rasulullah SAW
memohon supaya umat manusia diadili kerana mereka sudah terlalu lama
menunggu di Padang Mahsyar. Selepas itu barulah Allah SWT menggerakkan
Arasy dan umat manusia mula diadili.
Home »
Bicara Islam
» Nikmat lepasi ujian Padang Mahsyar
Nikmat lepasi ujian Padang Mahsyar
Written By zabidi on Wednesday, 15 March 2017 | 8:00 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment