LINKEDIN
adalah satu rangkaian media sosial yang khusus kepada para profesional.
Dengan 400 juta ahli di seluruh dunia, tidak dinafikan ia banyak
membantu golongan profesional dan perniagaan termasuk freelancer untuk
membina keyakinan, jenama masing-masing dan juga kerjasama di antara
satu sama lain. Apabila anda mempunyai penjenamaan yang baik di sini
dengan sendirinya anda akan mempunyai rakan-rakan profesional yang
ramai, dan kejayaan mereka boleh dipelajari.
Hisham Abd. Samad, rakan rapat saya di
LinkedIn ini saya kenali hampir setahun. Tidak pernah berjumpa secara
fizikal, tidak pernah kenal sebelum ini tetapi kami berjumpa dan menjadi
kenalan rapat di LinkedIn seolah-olah telah berkawan berpuluh-puluh
tahun lamanya. Sebagai Pengarah Jualan di sebuah hotel di Kota
Kinabalu, yang sejujurnya saya pun tidak pernah mendengar nama hotel
tersebut sebelum ini, nama beliau tidaklah begitu popular sama ada di
media sosial ataupun di luar sana. Tetapi saya melihat beliau sebagai
seorang yang luar biasa.
Beberapa bulan lalu
saya terbaca status yang telah dimuat turun oleh Hisham di akaun
LinkedInnya yang menyebut, ‘Kini 13 Syarikat Penerbangan Bertaraf Dunia
Telah Memilih Hotel Kami Sebagai Persinggahan Anak-Anak Kapal di Kota
Kinabalu’.
Baca betul-betul, 13! Status ini benar-benar
telah membuka mata saya seluas-luasnya. Ini kerana sepanjang hidup saya,
belum pernah lagi mendengar sebuah hotel yang tidak begitu terkenal
namanya yang digunakan oleh 13 syarikat penerbangan dunia sebagai tempat
persinggahan mereka. Biasanya sesebuah hotel akan mempunyai tidak lebih
daripada tiga atau empat syarikat penerbangan sahaja sebagai pelanggan
untuk mereka tempatkan kakitangan, tetapi 13 memang luar biasa.
Bagaimana Hisham lakukannya? Ini persoalan yang perlu saya cari
jawapannya.
Dua minggu lepas, saya
berkesempatan berjumpa dengan beliau yang kebetulan berada di Kuala
Lumpur untuk pulang bercuti. Dengan berbekalkan nasi lemak bungkus dan
teh tarik yang terkenal di Jalan 223 Petaling Jaya, saya bertanyakan
kepada Hisham soalan yang terpendam berbulan-bulan lamanya itu. Dia
berkata, faktor-faktor ini yang sebenarnya telah membantu beliau:
Mentaliti.
Di
sini semuanya bermula. Aura kejayaan tidak akan datang sekiranya kita
tidak yakin dengan diri kita sendiri, yakin dengan kebolehan kita yang
ada, tidak bekerja sambil lewa, tidak mengharapkan orang lain, jauhkan
perasaan hasad dengki dan buang semua elemen negatif dalam diri sendiri.
Ini juga penting, kita harus mempunyai keinginan yang tinggi untuk
berjaya, dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya asalkan ia tidak
melanggar etika dan undang-undang yang ada.
Pemasaran yang seimbang.
Kita
memerlukan strategi dan pelaksanaan pemasaran yang kuat dan seimbang
untuk mencapai kejayaan yang besar. Mengharapkan hanya daripada aspek
digital sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan lebih daripada itu,
termasuk pemasaran secara tradisional seperti di akhbar dan majalah,
katalog, papan-papan tanda, ejen-ejen pelancongan, kerjasama strategik
dan sebagainya.
Produk berkualiti tinggi.
Jualan
hanya akan tercapai sekiranya kita mempunyai produk atau perkhidmatan
yang berkualiti tinggi kerana para pelanggan di luar sana sama seperti
syarikat-syarikat penerbangan ini. Mereka pasti akan menyaring terlebih
dahulu dalam membuat sebarang pembelian. Dan saringan ini pasti ketat.
Rujukan atau referral.
Kita
perlu dapatkan satu nama yang besar sebagai pelanggan terlebih dahulu,
dan berikan yang terbaik kepada mereka. Berita pasti akan tersebar.
Kemudian dapatkan satu lagi nama besar, dan satu lagi. Ini boleh
dilakukan dengan mudah sekiranya bakal pelanggan kita tadi menerima
rujukan yang positif daripada para pelanggan besar yang sedia ada.
Kerja berpasukan.
Saling
mempercayai antara satu sama lain dalam pasukan yang sama, dan juga
dengan pasukan lain yang ada dalam organisasi yang sama amat penting.
Walaupun kita mempunyai pasukan kita sendiri, namun kita juga perlu
bekerja sebagai satu unit dengan pasukan-pasukan yang lain untuk
mencapai sasaran organisasi secara keseluruhan. Mesyuarat mingguan
perlu diadakan untuk melicinkan operasi, menyelesaikan masalah yang ada
dan juga memastikan tugas-tugas yang bakal dilaksanakan berjalan dengan
baik.
Kata Hisham lagi, harga yang murah
tidak menjamin kejayaan sesuatu jualan. Ia sebenarnya terletak pada
nilai yang ditawarkan melalui cadangan kita kepada bakal pelanggan.
AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital.
Post a Comment