Itu luahan seorang ayah bernama Rosli yang kematian anak perempuan tunggal.
Apa yang terpacul keluar daripada mulut
beliau kepada dua lagi anak lelakinya itu jelas menggambarkan duka
seorang ayah kehilangan anak jauh lebih melara berbanding anak-anak yang
kematian orang tua.
Orang tua yang mengasuh, mendidik dan
mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi lazimnya meletakkan
kepentingan anak-anak di kedudukan teratas berbanding kepentingan
peribadi.
Lalu, apabila anak tercinta dijemput Yang Maha Esa, seluruh kasih dan kekuatan ayah selama ini bagaikan dibawa bersama ke lahad.
Kata-kata sudah tidak mampu lagi untuk
menterjemahkan betapa luluh dan pilu hati si ayah kerana kehilangan
peluang untuk mendakap, mencium dan bermesra dengan permata hatinya.
Rasa kehilangan yang tidak mampu dizahirkan
dengan kata-kata oleh Rosli (lakonan Jalil Hamid) dalam filem Bisik
Pada Langit mengundang emosi yang bukan sedikit dalam kalangan penonton.
Jalil tidak sekadar berlakon sebagai ayah
dalam Bisik Pada Langit, tetapi jauh daripada itu, seniman terbilang itu
memberikan nilai-nilai dan karakter seorang ayah yang sebenar dalam
melindungi anak perempuannya.
Bukan perkara yang jengkel dalam norma
masyarakat apabila seorang ayah bertindak begitu berlebih-lebihan dalam
melindungi anaknya, apa lagi anak perempuan tunggal dalam keluarga
bernama Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera).
Lantaran kasih dan sayang yang mendalam
terhadap Hajar, Rosli menjadi seorang ayah yang terlebih-lebih
melindungi anak perempuan tunggal itu sehingga terlepas pandang pada dua
anak yang lain.
Namun, takdir menentukan, hayat Hajar tidak
lama. Kecelakaan jalan raya meragut nyawanya. Hajar yang sememangnya
menggemari kegiatan lasak telah menunggang motosikal mengelilingi
Australia sebelum pulang ke tanah air.
Rosli yang mendapat berita sedih itu
bertegas mahu ke Australia walau terpaksa bergolok bergadai menjual
tanah semata-mata untuk membawa pulang anaknya sekalipun ditentang oleh
adik-beradik dan keluarganya sendiri.
Pemergian Hajar bagaimanapun, membuka mata
Rosli untuk kembali merenung pendirian yang selama ini beranggapan
sebagai seorang bapa, apa sahaja yang keluar dari mulut benar belaka dan
perlu sentiasa mendengar katanya. Pendek kata semua wajib dipatuhi
anak-anak tanpa syarat.
Semasa hayatnya, Hajar begitu menyayangi
dan mengagumi ayahnya. Pada mata Hajar, ayah merupakan seorang hero yang
menjadi kebanggaannya. Itulah lelaki yang membentuk karakternya.
Hajar juga mempunyai seorang abang, Zaidi
(lakonan Beto Khusairy) dan adik, Iqram (lakonan Naim Daniel) yang
kedua-duanya seakan dinafikan kehadiran mereka oleh Rosli.
Iqram secara terang-terangan memperlihat
rasa kurang senang dan cemburu terhadap cara Rosli melayan anak-anak
sedangkan Zaidi pula sebagai anak sulung digambarkan dalam jalan cerita
itu sebagai seorang anak yang taat pada ayah dan ibunya, Nab (lakonan
Datin Fadillah Mansor).
Barangkali, ada segelintir daripada kita
yang akan mempertikai kenapa Rosli bersikap sedemikian sedangkan sebagai
ketua keluarga, dia seharusnya menjadi seorang pemimpin yang adil pada
anak-anaknya.
Nah, di sini kita dapat melihat bagaimana
naskhah Bisik Pada Langit mengupas secara jujur hal-hal yang sebetulnya
sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga masyarakat Melayu khususnya.
Rosli yang terlalu kagum dengan kepandaian
Hajar sehingga anaknya itu mendapat peluang melanjutkan pelajaran di
Australia seakan kabur dengan kehadiran Zaidi dan Iqram. Begitu juga
dengan isterinya, Nab yang begitu menghormati suaminya juga seakan tidak
dipedulikan oleh Rosli.
Jalil bukan sekadar berlakon
KEPADA yang belum menonton, harus
dijelaskan bahawa plot penceritaan Bisik Pada Langit sangat sederhana
dan tidak menuntut akal yang panjang untuk memahami karakter demi
karakter.
Namun, apa yang paling utama dalam naskhah
arahan Kabir Bhatia ini ialah nilai kekeluargaan yang ditonjolkan,
sekali gus melekat di jiwa penonton.
Kita harus mengakui karya yang berkisar
sebuah keluarga lazimnya banyak ditonjolkan dalam filem-filem Bollywood
dan drama televisyen.
Namun, Bisik Pada Langit memikul keberanian
mengangkat kisah keluarga ke layar perak iaitu trend yang sudah lama
dilupakan oleh pembikin-pembikin filem Melayu.
Kekuatan Bisik Pada Langit tidak hanya pada
jalan cerita yang kemas, tetapi naskhah ini memberi tumpuan yang
mendalam pada aspek lakonan oleh setiap seorang daripada mereka yang
menjadi tunggak kekuatan filem ini.
Dan tentu sekali, Jalil Hamid berada di
kedudukan paling teratas mencarik-carik emosi penonton. Hati sesiapa pun
akan mudah tersentuh melihat penjiwaan Jalil yang terlalu dekat dengan
karakter seorang ayah.
Kebijaksanaan Jalil ialah beliau mengajak
penonton untuk sama-sama menghayati gejolak rasa seorang ayah sekalipun
tanpa dialog, namun air mukanya sahaja sudah cukup untuk meruntun hati.
Kekuatan Bisik Pada Langit turut disokong
oleh lakonan Beto Kusyairy, Naim Daniel, Ummi Nazeera, Fadilah Mansor
dan Erwin Dawson. Keberkesanan setiap karakter dapat dilihat dalam
naskhah yang berdasarkan idea asal Saniboey Mohd. Ismail.
Sejujurnya, banyak aspek menarik dalam
Bisik Pada Langit yang wajar diberi perhatian terutama dalam beberapa
babak yang mengundang air mata penonton khususnya ketika Rosli mengajar
Hajar mengucap kalimah syahadah walau hanya melalui telefon.
Ketika itu, jelas tergambar rasa luluh dan
peritnya pada wajah dan gerakan tubuh Wak Rosli kala menyedari Hajar
sudah menghembuskan nafas yang terakhir.
Demikian juga ketika Nab menatap dan
mengusap wajah Hajar yang dikafan untuk kali terakhir mengundang sendu
yang bersahut-sahutan dalam pawagam.
Bisik Pada Langit hakikatnya sangat dekat
dalam kehidupan sesiapa sahaja lebih-lebih lagi mereka yang telah
kehilangan ayah dan ibu.
Seperti yang diungkapkan Hajar dalam Bisik
Pada Langit: “setiap kali Hajar tengok langit dari fajar sampai ke duha
hingga ke maghrib, Hajar sentiasa doakan mak ayah.”
Nilai kekeluargaan
Pencetus pada idea penerbitan Bisik Pada Langit, Saniboey Mohd. Ismail
memberitahu, inspirasi beliau dalam penghasilan naskhah ini bertitik
tolak pada nilai kekeluargaan yang sangat dekat dengan dirinya, seperti
mana orang lain.
Menurut Saniboey, sebilangan besar daripada
kita khususnya yang pernah berpengalaman kehilangan ahli keluarga
tercinta pasti akan terkesan dengan pemergian itu sehingga menjadikan
hubungan kekeluargaan akan berubah.
“Apabila ada kematian dalam keluarga,
hubungan keluarga akan retak dan patah. Yang tinggal hanya seorang atau
sesiapa lain yang akan baiki keluarga itu kembali menjadi akrab.
“Mesej itulah yang menjentik keinginan,
harapan dan idea saya untuk menterjemahkan dalam sebuah naskhah layar
perak. Alhamdulillah berkat kerjasama dengan dua penulis skrip iaitu
Maizura Ederis dan Sofia Rhyland, Bisik Pada Langit arahan Kabir
menepati apa yang saya dambakan,” kata Saniboey yang turut mengakui
beliau turut terpengaruh dengan karya hebat dari Hollywood seperti
Ordinary People arahan Robert Redford (1980) dalam penghasilan idea
Bisik Pada Langit.
Namun, dalam masa sama, Saniboey tidak
menafikan kerja-kerja seni yang kemas daripada Kabir juga banyak
menyumbang pada kekuatan Bisik Pada Langit yang kini sedang ditayangkan
di pawagam.
“Susun atur dan konsep jalan penceritaan
yang ditampilkan Kabir Bhatia yang rata-ratanya berteraskan kekuatan
hubungan kekeluargaan, permainan emosi yang pasti mampu menggolak hati
penonton dan suntikan beberapa elemen yang luar dari kebiasaannya
seperti faktor dramatik yang menampilkan seorang wanita meminati bidang
pemotoran berkuasa tinggi dan konsep sinematografi yang menekankan
pelbagai aspek artistik,” jelas Saniboey yang juga Ketua Unit Drama
Premium dan Filem Astro.
Post a Comment