Oleh
Daripada satu sudut, kita
harus bersyukur kerana proses pengambilalihan tampuk pimpinan kerajaan
daripada BN kepada PH dilihat berjalan dengan sangat licin tanpa ada
sebarang ganggu-gugat mana-mana pihak.
Walaupun wujud beberapa isu yang menimbulkan
sedikit perdebatan dalam kalangan pemimpin blok parti pemerintah dan
pembangkang terutama pada peringkat awal PH mengambil alih kerajaan,
tetapi ia dilihat tidaklah keterlaluan, malah sekarang ia sudah mula
pudar.
Namun, kini timbul satu isu yang dirasakan
mampu mencabar kredibiliti kerajaan PH selain boleh mengakibatkan
kepercayaan rakyat yang diberikan kepada mereka sehingga berjaya
membentuk Kerajaan Persekutuan mula terhakis, iaitu berkaitan janji 100
hari PH.
Menerusi manifesto PRU-14 dengan tema Membina Negara, Memenuhi Harapan yang dibentangkan PH, terdapat 10 janji atau tawaran yang diberikan kepada rakyat.
Antaranya ialah menghapuskan cukai barang
dan perkhidmatan (GST), memperkenalkan subsidi petrol bersasar,
menghapuskan hutang peneroka Felda, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah dan menyamaratakan gaji
minimum.
Janji-janji lain ialah menangguhkan bayaran
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi
peminjam bergaji RM4,000 ke bawah, mengembalikan status Sabah dan
Sarawak, skim peduli sihat serta mengkaji semula projek-projek mega.
Satu lagi janji yang terkandung dalam
manifesto PH dan dilihat menjadi keutamaan mereka ialah menyiasat
skandal melibatkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB).
Walaupun secara dasarnya, kesemua janji
tersebut sepatutnya sudah ditunaikan atau setidak-tidaknya sedang dalam
proses pelaksanaan, namun apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya.
Ini kerana daripada 10 janji yang ditawarkan
itu, sebahagian sahaja yang telah ditunaikan termasuk sedang dalam
proses pelaksanaan, manakala selebihnya tidak dapat dilaksanakan atas
sebab-sebab tertentu.
Persoalan
Antara yang telah dilaksanakan termasuklah
penyiasatan berkaitan skandal 1MDB seawal PH memerintah negara, selain
menurunkan kadar GST kepada sifar peratus dan diganti dengan Cukai
Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan skim caruman KWSP kepada
suri rumah yang dikenali sebagai i-Suri.
Janji lain yang turut berjaya dilaksanakan
ialah penangguhan bayaran PTPTN bagi peminjam berpendapatan di bawah
RM4,000 sebulan dan pelarasan subsidi petrol.
Persoalannya, bagaimana pula dengan
sebahagian lagi janji PH yang terkandung dalam janji 100 hari dan
bilakah akan terlaksana sedangkan 100 hari yang dijanjikan itu sudah pun
tamat pada hari ini?
Melihat kepada prestasi terkini kerajaan PH
dalam menunaikan janji-janji tersebut, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man menyifatkan blok parti kerajaan tersebut hanya boleh
diberikan gred D ekoran kegagalan menunaikan manifesto mereka.
Malah, beliau turut menempelak jawatankuasa
penggubal manifesto PH dengan menganggap pihak berkenaan perlu
bertanggungjawab atas kegagalan pakatan itu mengenal pasti tawaran yang
terbaik dan dapat dilaksanakan untuk menawan hati para pengundi.
“Komitmen yang dibuat sepatutnya ada pada jawatankuasa penggubal manifesto kerana ia perlu dibuat secara rapi dan teliti.
“Apabila mereka gagal, bermakna jawatankuasa
ini gagal membuat kajian dengan teliti sebelum mengemukakan kepada
rakyat termasuklah soal hutang sebab perkara ini bukan sulit,” katanya.
Namun, bagi pihak kerajaan PH, kegagalan
mereka menunaikan kesemua 10 janji dalam tempoh yang ditetapkan itu
telah disandarkan kepada alasan masalah kewangan negara yang tidak
mengizinkan.
“Walaupun ingin melaksanakan semua janji
100 hari itu, namun kerajaan juga mempunyai tanggungjawab fiskal dan
tidak akan mengulangi kesilapan kerajaan dahulu dengan menyebabkan
masalah kewangan yang tentunya akan membawa negara ke arah muflis jika
tidak dibendung.
“Kerajaan akan terus komited untuk memenuhi
janji-janji manifesto apabila keadaan kewangan mengizinkan,” kata
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu sidang media di kementerian
itu pada Jun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan
Azizah Wan Ismail pada Khamis pula menegaskan kerajaan PH tidak akan
meminta maaf kepada rakyat di atas kegagalan tersebut sambil menyifatkan
kesemua janji dalam manifesto tersebut sedang dalam proses pelaksanaan.
Walau apa juga pandangan dan jawapan yang
diberikan oleh mereka-mereka yang berkepentingan, namun sebagai seorang
rakyat yang telah mengundi dalam memilih kerajaan pada PRU-14 yang lalu,
seharusnya kitalah yang membuat penilaian terhadap apa yang berlaku
pada ketika ini.
Berfikirlah secara rasional tentang segala perkara sebelum menterjemahkannya dalam pilihan raya yang akan datang.
Post a Comment