Headlines News :
Home » » Menyusuri Sungai Merbok

Menyusuri Sungai Merbok

Written By zabidi on Tuesday, 18 September 2018 | 3:06 pm

Oleh Hafiz Ithnin

Satu persatu hasil tangkapan dikeluarkan daripada pukat yang tenggelam untuk seketika di dalam sungai. Sekiranya bernasib baik, mungkin ikan bernilai tinggi seperti kelah berjaya dinaikkan pada hari itu.

Biarpun panas dipanah matahari terik, si nelayan tidak mempedulikan peluh berderai dari ubun kepala yang sudah keras. Sama seperti kerasnya tenaga mereka meranduk sampan setiap hari demi mencari rezeki.

Tentunya bagi mereka yang pernah hidup atau tinggal bersama nelayan saja dapat melihat dan merasai situasi seperti itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan, anak yang membesar di bandar pasti tidak mengalaminya.

Seperti penulis sendiri yang dilahirkan dan membesar di kawasan bandar, hati rasa tersentuh kali pertama melihat kecekalan nelayan yang hidup di kampung bekerja keras mencari hasil tangkapan. Lebih rasa tersayat apabila nelayan tua pulang dengan tangkapan yang tidak seberapa.



Segalanya bermula ketika penulis melakukan aktiviti menyusuri Sungai Merbok di Kedah baru-baru ini bagi menikmati pemandangan alam sekitar yang menarik dan tenang.

JETI Semeling menjadi destinasi permulaan ‘pelayaran’.
Sungai Merbok, yang mengalir airnya dari Gunung Jerai sememangnya kaya dengan pelbagai kisah sejarah silam terutama kerajaan Kedah Tua yang kini menjadi tarikan pengunjung, terutama Lembah Bujang yang menjadi lokasi kajian arkeologi di Malaysia.

Menariknya, jeti Semeling menjadi lokasi permulaan penulis melakukan aktiviti itu dan ia sangat terkenal dalam kalangan pelancong kerana terdapat pelbagai kemudahan seperti restoran dan galeri. Galeri itu turut menceritakan konsep pelancongan di Kuala Muda.

Di jeti itu juga disediakan dewan seminar yang agak luas dan menjadi tumpuan sekiranya ada kumpulan pelancong atau pengkaji alam sekitar datang ke kawasan berkenaan. Ia bagi mendapatkan penjelasan daripada pelbagai pakar tempatan berkaitan konsep pelancongan seperti pelancongan arkeologi, pelancongan eko-biosfera bakau dan pelancongan geo. Biosfera adalah sistem ekologi global yang mengintegrasikan semua hidupan.

BERADA di dalam bot yang selesa ditawarkan dalam aktiviti menyusuri sungai.
Malah kelihatan juga deretan bot yang bersedia untuk membawa anda menyusuri Sungai Merbok. Lebih menarik mereka menyediakan pelbagai pakej yang boleh diubah suai mengikut permintaan pengunjung.

Pada awal perjalanan, kelihatan pokok bakau yang begitu sinonim dengan habitatnya di kawasan muara sungai. Mempunyai cengkaman akar yang begitu kuat dan memainkan peranan penting dalam ekosistem semula jadi, pokok bakau antara pelengkap pemandangan.

DERETAN bakau mewarnai pemandangan.
Ketika melayan perasaan dengan keindahan Sungai Merbok, penulis bersama rakan di dalam bot sempat melihat burung pemangsa yang cukup terkenal dengan kehebatannya memburu sang helang putih yang baru saja berjaya menangkap ikan buat santapannya dan kemudian terbang ke kawasan hutan berhampiran.

Menurut pengemudi bot, Sungai Merbok mempunyai pelbagai spesies helang yang memburu makanan di sekitarnya. Sepanjang menyusuri sungai, kelihatan juga beberapa pecahan sungai lain yang mengalir ke Sungai Merbok antaranya Sungai Langgar, Sungai Jagung, Sungai Petani dan Sungai Pasir.

KELIHATAN chalet terapung yang sentiasa menunggu pengunjung.
Deretan sangkar ikan

Ketika pengemudi membawa kami masuk ke Sungai Petani, di situlah penulis melihat seorang nelayan sedang menaikkan pukat ke dalam bot dan sempat juga kami berbual berkenaan hasil tangkapannya pada hari itu.

Nelayan warga emas yang mesra disapa Pak Long itu kelihatan begitu bersemangat menaikkan hasil tangkapannya meskipun dalam keadaan panas membahang. Bahkan, mesra melayan kami yang meminta izin untuk merakam gambarnya.

Usai merakam gambar dan berbual seketika, perjalanan diteruskan untuk menuju ke kawasan ternakan ikan sangkar di Tik Bayo milik seorang usahawan tempatan muda.

Dalam perjalanan ke sana, kelihatan juga deretan sangkar ikan ternakan yang dimiliki usahawan dan jangan terkejut sekiranya anda disapa salakan anjing. Difahamkan binatang peliharaan itu ditugaskan untuk menjaga keselamatan sangkar ikan milik tuannya.

Sebaik sampai di Tik Bayo, perusahaan ternakan ikan sangkar milik Aqua North yang diusahakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shaiful Zairi Ahmad Subhi memaklumkan kepada penulis dan rakan berkenaan aktiviti ternakannya.

MENJADI sebahagian daripada sejarah tamadun lama.
Lebih menarik perhatian, pemuda itu turut menerapkan aktiviti Sasaran Kelestarian (SDG) yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi agenda mampu milik dan penggunaan tenaga bersih, kebaikan dalam pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi serta hidupan di bawah air.

Jelas menunjukkan bahawa usahawan dalam bidang penternakan tempatan pada hari ini mempunyai nilai antarabangsa yang harus dipuji meskipun mengusahakan aktiviti perniagaan di luar bandar.

Mengakhiri aktiviti menyusuri sungai pada hari itu di salah satu destinasi penginapan di pesisir Sungai Teluk Bayo memberi pengalaman yang begitu berharga.

Jika ada yang bertanyakan sama ada berbaloi atau tidak melakukan aktiviti menyusuri sungai? Jawapannya pasti, ia antara aktiviti bermanfaat terutama bagi ibu bapa yang ingin bercuti bersama anak kerana dalam masa sama dapat berkongsi ilmu ketika mengembara.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER