Oleh
Dalam sejarah pasukan bomba, ini
dikatakan kejadian paling mengejut dan menyedihkan kerana enam
anggotanya lemas dan meninggal dunia dalam kerja-kerja menyelamatkan
mangsa lemas.
Bagi penduduk tempatan dan kawasan sekitar,
kawasan terbabit dianggap bahaya dan pernah meragut nyawa serta
mencederakan pemancing.
Tegasnya, kawasan
lombong itu bukan untuk memancing tetapi sebagai kawasan tadahan air
bagi mengelak banjir. Kawasan tersebut juga pernah dipagar tetapi
menurut penduduk, ia dirosakkan oleh orang ramai yang mahu memasuki
kawasan lombong tersebut.
Apa yang sudah
berlaku memang tidak boleh ditarik balik. Cuma kita berharap keluarga
bagi ketujuh-tujuh mangsa lemas di lombong tersebut bersabar dan reda
dengan ketentuan Ilahi.
Cuma bagi yang masih hidup, usaha untuk mengelak kejadian seperti itu mesti dielakkan.
Bukan
tidak pernah berlaku kejadian-kejadian seumpama itu sebelum ini kerana
insiden-insiden membabitkan lemas di dalam air selalu berlaku di negara
kita sama ada di lombong, tasik, sungai dan laut.
Cuma kelalaian sahaja yang menyebabkan insiden-insiden seperti ini terus berlaku.
Apa
tidaknya, selepas insiden membabitkan tujuh nyawa tersebut, masih ada
yang pergi ke kawasan berhampiran untuk memancing. Ini menunjukkan
bahawa ramai yang tidak kisah tentang bahaya yang mungkin dihadapi di
kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku mala petaka apatah lagi
pada musim hujan ketika ini.
Majlis
Perbandaran Sepang sudah menutup kawasan lombong itu kepada orang ramai.
Oleh itu, aktiviti memancing dan berkelah di kawasan berkenaan sudah
tidak dibenarkan lagi.
Di mana-mana pun
lokasi bahaya di negara kita, tidak kira di kawasan tasik, kolam, air
terjun dan lombong, ciri-ciri keselamatan mesti diutamakan.
Oleh
itu, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, ibu bapa dan orang ramai
untuk memastikan kawasan yang sudah diwartakan bahaya tidak diceroboh
untuk sebarang aktiviti.
Selain pagar
keselamatan papan tanda larangan memasuki kawasan tersebut mesti
diletakkan supaya dapat mengingatkan orang ramai tentang bahaya yang
menanti. Kawalan oleh pihak berkuasa mesti selalu dilakukan untuk
memastikan amaran itu dipatuhi.
Dalam pada
itu, pihak berkuasa juga mestilah mengadakan rondaan yang kerap untuk
memastikan vandalisme tidak berlaku ke atas pagar keselamatan di sesuatu
kawasan larangan.
Denda mesti dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang menceroboh masuk ke kawasan larangan.
Selain
itu, orang ramai perlu melaporkan kepada pihak berkuasa tentang
pencerobohan sesuatu kawasan bahaya untuk diambil tindakan
undang-undang.
Ibu bapa ialah orang yang
paling hampir dengan anak-anak remaja mereka. Oleh itu, anak-anak mesti
diberi nasihat agar menjauhi kawasan-kawasan larangan supaya tidak
mendatangkan masalah kepada diri dan keluarga serta orang lain.
Pemantauan
ibu bapa ke atas aktiviti luar anak-anak, jaringan rakan anak-anak dan
lokasi anak-anak ketika di luar rumah sangat penting untuk menentukan
keselamatan anak-anak di luar rumah.
Ibu bapa juga mesti memahami bahawa kanak-kanak dan golongan remaja sangat teruja dengan air.
Bagaimanapun,
kefahaman mereka tentang air dan misteri di dalamnya tidak diketahui
dengan mendalam. Maka tidak hairanlah bagi yang arif pun boleh kecundang
disebabkan misteri air.
Post a Comment