PARIS - Kerajaan setiap negara perlu melakukan satu pelaburan besar
dalam usaha mengurangkan risiko banjir bagi melindungi bandar-bandar
yang terletak berhampiran pantai di seluruh dunia.
Badan kebajikan yang berpangkalan di
London, Christian Aid menyatakan bahawa keadaan paras laut yang semakin
meningkat ketika ini boleh menjejaskan kira-kira tiga juta penempatan.
Beberapa bandar tepi pantai seperti Jakarta
direkodkan tenggelam sebanyak 25 sentimeter setiap tahun manakala
Bangkok, Houston dan Shanghai berisiko ditenggelami banjir dalam tempoh
beberapa dekad akan datang serta keadaan diburukkan lagi dengan
perancangan tidak rapi dan bencana alam.
Kajian
yang dilakukan oleh badan kebajikan tersebut juga mendapati sebanyak
lapan bandar tepi pantai di seluruh dunia semakin tenggelam, sekali gus
menyokong kenyataan peningkatan paras laut boleh menjejaskan kehidupan.
Ketua
Iklim Global Christian Aid, Kat Kramer berkata, kesan perubahan iklim
boleh dilihat di seluruh dunia dengan petunjuk paling jelas adalah
bahagian hemisfera utara sangat panas dan keadaan itu tidak normal.
“Banyak
bandar besar di negara-negara maju semakin terdedah dengan perubahan
iklim dan adalah sangat penting untuk semua pihak memberikan mereka
sokongan serta membina sistem ketahanan yang kukuh,” katanya.
Seruan
tersebut sejajar dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
yang akan dikeluarkan pada minggu depan berhubung gesaan terhadap
kerajaan semua negara untuk meningkatkan usaha bagi menangani isu
peningkatan suhu global.
Panel Perubahan
Iklim Kerajaan Dalaman akan memeriksa kesan yang diakibatkan oleh
pemanasan global setinggi 1.5 darjah celsius iaitu di atas paras pra
industri.
Semua negara yang menandatangani
Perjanjian Paris 2015 berusaha untuk memastikan had kenaikan suhu tidak
akan melebihi dua darjah celsius menjelang hujung abad ini. – AFP
Post a Comment