Oleh Fathi Aris Omar
Dia cemas, untuk sekian kalinya. Sehari selepas anak sulungnya
dilahirkan, ketika isteri tersayang masih tidak bermaya di katil
hospital, anak muda ini harus berdiri di kandang orang salah. Dan bakal
menerima hukuman berat. Dia tiada dosa kecuali menjual akhbar tanpa
permit Haraki. Dia berdosa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kes
Zabidi Morad, 27, tidak dilaporkan dalam sebarang media, termasuk
media alternatif atau pembangkang di negara ini. Jauh sekali namanya
tercatat dalam rekod penindasan antarabangsa terhadap wartawan, seperti
halnya nama Ahmad Lutfi Othman atau Zulkifli Sulong.
Tetapi
Zabidi, dan mereka yang sekerdilnya, memikul risiko besar. Dia adalah
unsung hero. Sejarah lazimnya melupakan individu sepertinya. Datang
daripada keluarga yang mempunyai tradisi penulisan dan penerbitan,
Zabidi bersama adik-beradiknya terjun ke dalam dunia pengedaran
bahan-bahan bacaan politik kira-kira empat tahun lalu.
Sehari
selepas keputusan pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit, Zabidi
melangkah ke mahkamah magistret Kuala Lumpur berseorangan, tiada
penyokong meriuhkan isi perjuangannya walau beliau pernah juga
mengendalikan laman web 'media bebas' Kumpulan Aktivis Media Independen
(Kami).
Pakciknya sendiri, Ahmad Lutfi, masih berada di kawasan
pilihanraya itu. Aktivis-aktivis Kami sendiri tidak tahu. Tidak ada
wartawan dari sebarang akhbar, berada di mahkamah. Selepas kes itu,
tiada media melaporkannya.
Tabloid politik bebas
Di tengah-tengah ghairah perjuangan menuntut kebebasan akhbar, mangsa KDN ini terbiar. Dua lagi Parit Buntar (Perak), sedang dibicarakan.
kes pengedar didakwa menjual atau memiliki bahan-bahan penerbitan tanpa lesen, di Shah Alam dan
Kedua-dua
kes ini tidak dilaporkan, malah nama penuh mereka tidak diketahui oleh
kumpulan wartawan, termasuk Kami, apatah lagi Harakah, malaysiakini
atau Suara PRM. Mereka seolah-olah tanpa wajah.
Tetapi tanpa
mereka, pembaca di daerah-daerah pedalaman tidak mungkin mengetahui
kewujudan tabloid politik bebas, apatah lagi membaca isi kandungannya.
Berkat kedegilan pengedar kecil-kecilan ini, dengan bayaran komisyen
yang tidak berbaloi, mereka akhirnya diseret ke mahkamah oleh KDN.
Dunia ini tidak adil -- itulah yang sewajarnya diucapkan kepada Zabidi dan dua lagi pengedar bernasib malang.
Zabidi wajar berasa cemas pada pagi 19 Julai lalu. Dia hanya membawa wang tunai RM2,000.
Sedang
beliau didenda RM5,000 (maksimum RM20,000 atau penjara tiga tahun).
Teringat anak yang baru lahir dan janji untuk melawat isteri petang
itu, dia berpeluh di mahkamah kira-kira 2 jam sementara menunggu
kakaknya membawa baki wang.
Tekanan baru
Jika
gagal, dia berfikir-fikir, tentu akan dibawa ke lokap atau penjara
Kajang. Kini kes itu menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur.
Tetapi bukan saat ini pertama kali dia cemas. Berdepan
dengan KDN, polis dan Umno sudah menjadi darah dagingnya. Walaupun
begitu, setiap tekanan baru pihak berkuasa membawa kegelisahan baru.
"Saya gementar dan panik," katanya kepada penulis semalam, mengingatkan satu insiden di
Perhimpunan
Agung Umno 1997, ketika menjual buku politik Anwar Terjerat?: Teori
Konspirasi Menjatuhkan TPM Melalui Tuduhan Skandal Seks karya Ahmad
Lutfi.
Buku jualannya dirampas, sementara abangnya Rozani disoal
siasat pihak berkuasa PWTC. Atas arahan Anwar Ibrahim, pengedaran buku
itu dilarang di acara tersebut.
(Nota: Kesulitan yang dialami
penulisnya dan pengedar buku ini diceritakan pada satu bab dalam buku
Komplot Bunuh Diana. Dalam analisis tentang kematian Puteri Diana ini,
Ahmad Lutfi mendedahkan beberapa pencetak enggan bekerjasama kerana
bimbang tekanan KDN, juga amaran kementerian itu ke atas majalah
pimpinannya, Tamadun).
Diganggu pihak berkuasa
Kemudian
pada tahun yang sama, Zabidi berdepan dengan karenah imam-imam besar
di Masjid Negara pula. Buku Mufti Lawan Mahathir? dilarang dijual di
pameran buku di kaki lima masjid itu dengan alasan "tulisan itu
kontroversi."
Zabidi
berkeras untuk terus menjual sehinggalah pihak berkuasa itu
mengeluarkan arahan hitam putih agar buku tersebut ditarik balik.
Sempat juga buku itu dijual beberapa hari biar tempoh pameran selama
seminggu.
Apabila Anwar dipecat pada September 1998, sekali lagi
Zabidi diganggu pihak berkuasa. Beberapa anggota polis merampas
kaset-kaset ucapan Anwar yang dijual di kedainya, Penerbitan Pemuda.
Waktu itu, Anwar belum ditangkap, kaset ucapan dan video road-show
beliau mendapat sambutan hangat.
"Seorang daripada polis itu
pernah datang membeli kaset. Saya masih ingat, dia berpakaian biasa
(sebelum operasi itu)," imbas Zabidi. Dalam rampasan kali ini, dia
memang cemas kerana diarah ke balai untuk diambil keterangan. Tetapi
selepas berunding, pasukan pihak berkuasa itu mengambil keterangan di
kedai itu sahaja.
Sebulan
selepas itu, sekali lagi, kedainya di Medan Idaman, Jalan Gombak
diserbu polis. Kali ini buku Anwar: Skandal Seks atau Konspirasi
Politik dirampas kononnya dengan alasan penerbit tidak menulis nama dan
alamat syarikat percetakan. Walaupun tidak diseret ke balai, dia masih
bimbang apabila pakciknya Ahmad Lutfi yang mengarang buku itu dibawa
ke balai polis Sentul selama beberapa jam.
Serbuan pihak KDN
Sementara
di tengah-tengah Kuala Lumpur, beratus-ratus penunjuk perasaan
proreformasi ditangkap di celah-celah kebimbangan operasi kedua Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang baru bermula 10 Oktober (apabila
Presiden JIM Saari Sungib ditahan).
Operasi pertama dimulakan dengan penahanan Anwar, Ruslan Kasim pada 20 September dan ia memakan masa lebih seminggu.
Selepas
rampasan Haraki pada 9 Mei 2000, pada 10 November tahun itu, KDN
menyerbu lagi Penerbitan Pemuda dan merampas lebih 600 naskhah tabloid
tidak berkala Islah.
Naskhah itu menjadi agak hangat dan
kontroversi kemudiannya apabila setiausaha parlimen di Jabatan Perdana
Menteri, Noh Omar bangun menunjukkan tabloid itu yang memuatkan berita
utama 'Guna royalti minyak langgan perempuan.'
"Mereka
menyalahgunakan kebebasan media, menyebarkan surat layang, menyalah
guna internet. Malah kanak-kanak kecil di tadika telah disemai perasaan
benci (kepada pemimpin kerajaan)," dakwa Noh di Dewan Rakyat.
Tiada simpati
Sekali
lagi, Zabidi dihadapkan ke mahkamah magistret berhubung pengedaran
tabloid tanpa permit. Bagaimanapun, pada hari yang dijadual, pihak
pendakwa KDN tidak hadir. Sementara kertas pendakwaan juga agak kabur -
nama tertuduh tidak disebut kecuali "Pengurus Penerbitan Pemuda.".
Justeru
Zabidi tidak pernah menghadiri perbicaraan. Waran tangkap tidak pula
dikeluarkan oleh mahkamah. Seperti nasib Zabidi, kes itu tergantung.
Ditanya apakah isterinya, yang dikahwini pada September tahun lepas,
bimbang tekanan demi tekanan yang dialaminya, Zabidi menjelaskan dia
boleh menenangkan ahli keluarganya. Bagaimanapun, sampai bila?
"Kadang-kadang
saya rasa kecewa kerana tidak mendapat sokongan serta simpati
mana-mana pihak," jelasnya jujur. "Ada waktunya pula saya cukup serik
apabila memikirkan tentang keluarga."
Artikel ini diterbitkan di Malaysiakini pada 27hb Aug 2002
Demi akhbar bebas, mangsa KDN terbiar
Written By zabidi on Tuesday, 1 January 2019 | 10:32 am
Labels:
Tokoh
Post a Comment