Oleh
Apabila mereka diberi mandat untuk menerajui
negara maka kebolehan dan kecekapan mereka dalam urusan pemerintahan dan
pentadbiran akan dinilai rakyat. Janji-janji ditaburkan semasa pilihan
raya dahulu perlu direalisasikan dengan pelbagai kegiatan yang boleh
meyakinkan rakyat, walaupun ia sukar dilaksanakan ketika negara
berhadapan krisis kewangan.
Sikap keangkuhan dan terlalu berbangga dengan
kemenangan perlu dikikis dalam sanubari setiap ahli politik yang diberi
jawatan sebagai pemimpin masyarakat dan kerajaan. Muhasabah diri amat
perlu supaya sikap angkuh dan bongkak tidak wujud dalam pemikiran dan
jiwa setiap pemimpin.
Sikap menghormati orang lebih tua dan
berpengalaman dalam hal ehwal pentadbiran dan kemasyarakatan perlu
dijadikan sebagai tabiat atau tatasusila keperibadian para pemimpin
politik Islam.
Keangkuhan para pemimpin politik Islam sama
ada dalam kalangan parti memerintah atau pembangkang semakin hari kian
dipertonjolkan kepada masyarakat.
Sikap cabar mencabar sesama sendiri jelas
menunjukkan kualiti dan kematangan pemimpin politik umat Islam adalah
tidak menepati konsep kepimpinan dalam Islam.
Intisari dan isu-isu dibangkitkan dalam
pergeseran sesama mereka lebih menjurus kepada kemusnahan umat Islam dan
penghakisan kewibawaan Islam.
Setiap ahli politik umat Islam usah mendabik
dada mempertonjolkan diri bahawa kewibawaan dan kehebatan mereka
seolah-olah mempunyai persamaan dengan jaguh pemimpin Islam masa silam.
Kelemahan yang terdapat pada diri umat Islam
masa kini dalam hal ehwal politik dan pentadbiran hanya dapat
dipertingkatkan melalui kerjasama sesama umat Islam walaupun berbeza
parti politik.
Sebagai pemimpin muda yang mendapat amanah
dari rakyat untuk menerajui negara maka sikap dan tingkah laku dalam
arena berpolitik sepatutnya bertepatan dengan harapan rakyat.
Rakyat memilih parti politik tertentu untuk
menerajui negara adalah untuk mengembalikan kekuatan umat Islam. Sikap
terlalu takut kehilangan jawatan sehingga membelakangi kepentingan umat
Islam dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara perlu dielakkan.
Konsep kepimpinan Islam ialah melantik orang
yang layak dan berpengalaman menerajui negara walaupun mereka itu bukan
dari parti politik yang sama.
Dalam keadaan kemelut politik umat Islam masa
kini maka gabungan antara ahli politik berwibawa tanpa mengira parti
politik amat diperlukan bagi menstabilkan hak dan kewibawaan umat Islam
masa kini. Oleh itu bersatulah umat Islam tanpa mengira perbezaan parti
politik.
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Post a Comment