KAHERAH . -
Kebanyakan tadika akan dihiasi dengan pelbagai karakter kartun yang
berwarna-warni dan comel untuk menceriakan kanak-kanak memulakan sesi
persekolahan.
Namun, perkara berbeza berlaku di Kaherah apabila
Gabenornya, Alaa Abdul Hamid Mohammed Marzouk mencadangkan supaya
kebanyakan tadika di sini menggantikan gambar karakter kartun terkenal
seperti Mickey Mouse dengan imej-imej tokoh tentera Mesir.
BBC yang memetik laporan portal berita Youm7
menyatakan perubahan itu bertujuan menerapkan semangat patriotik dalam
kalangan generasi kini, sekali gus meningkatkan pembangunan Mesir pada
masa akan datang.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan
memaklumkan, satu jawatankuasa akan meneliti cadangan yang diusulkan
oleh Alaa Abdul Halim, sama ada akan dikuatkuasakan di seluruh wilayah
atau sebaliknya.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi sebelum ini
pernah menyatakan cadangannya untuk meningkatkan profil ketenteraan
dalam pelbagai sektor terutamanya pendidikan.
Namun, cadangan tersebut dikritik oleh pengguna
internet dengan banyak pihak menggesa kerajaan mencari penyelesaian
berhubung masalah kelas yang terlalu padat serta kaedah pengajaran yang
disifatkan ketinggalan zaman.
Seorang pengguna Twitter menulis: “Saya tidak
tahu hendak cakap apa. Saya belajar membaca sebelum masuk ke sekolah
kerana majalah Mickey.”
Sementara itu, terdapat juga pihak yang menyokong
cadangan tersebut dengan menyatakan generasi muda perlu terlebih
dahulu mengenali tokoh-tokoh perjuangan di negara ini.
Post a Comment