Oleh
Adakah sikap menunjukkan mereka menentang apa
sahaja perkara melibatkan orang Melayu?
Tulisan khat hanya seni, budaya
dan warisan turun temurun. Ia tiada kaitan dengan agama. Kalaulah ada
pandangan bahawa pengenalan tulisan Jawi dan khat itu mempunyai kaitan
dengan agama, ia bukan sahaja satu pandangan cetek malah hanya hujah
orang yang buta sejarah. Sesuatu perkara berkaitan warisan sesuatu kaum
tidak harus dikaitkan dengan agama, seperti mana dikatakan oleh sahabat
penulis, Firdaus Wong tiada kaitan bahasa Cina dengan agama Buddha.
Penulis
tertanya-tanya hujah Dong Jiao Zong bahawa mereka tidak membantah usaha
kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan pelbagai kaum dan nilai
murni sebaliknya mempersoalkan kaedah kementerian.
Perkataan
digunakan ialah, “…melalui kaedah yang menyebabkan kesangsian, was-was
dan rasa kurang menyenangkan.’’ Apa maksudnya dengan berkata demikian?
Adakah pertubuhan itu tidak faham atau buat-buat tidak faham penjelasan
Kementerian Pendidikan berkaitan perkara itu?
Kementerian
tersebut membuat keputusan bukan secara semberono atau suka-suka tetapi
seperti mana dijelaskan, perancangan pengenalan tulisan khat telah
dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014 dan usaha itu
juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa
dan pendidikan serta kajian rintis di sekolah-sekolah terpilih. Jadi apa
masalah Dong Zong, Jiao Zong dan sesetengah pemimpin DAP?
Apakah
sesuatu dasar atau pengenalan sesuatu perkara dalam bidang pendidikan
perlu mendapat kelulusan pertubuhan itu terlebih sebelum ia boleh
dilaksanakan? Hebat sangatkah dua pertubuhan Cina tersebut sehingga
segala-galanya seolah-olah perlu dirujuk kepada mereka, kalau tidak mahu
ditentang?
Dalam soal ini, penulis
teringat gurauan kawan-kawan berasal dari Kedah yang mempersoalkan sikap
pertubuhan Cina berkenaan. Antara lain mereka berkata, “yang depa kelam
kabut sangat pasai apa, kementerian hanya nak suruh belajar Jawi bukan
suruh ‘masuk jawi’.” Dalam loghat Kedah, maksud ‘masuk jawi’ adalah
bersunat.
Mungkin gurauan ini nampak
kasar tetapi itulah yang boleh disampaikan bagi memberi pemahaman kepada
puak-puak yang gelabah tidak tentu hala berikutan pengenalan tulisan
Jawi dan khat tersebut. Sepatutnya kedua-dua pertubuhan Cina tersebut
memahami sedalam-dalamnya langkah Kementerian Pendidikan berkaitan
berkenaan bukannya terus melakukan bantahan yang akhirnya telah
menyinggung perasaan orang Melayu.
Walaupun
mungkin mereka tidak berhasrat berbuat demikian tetapi sejarah
perjalanan pertubuhan berkenaan tidak banyak menyebelahi mereka. Oleh
itu adalah lebih baik mereka berhati-hati.
Sekarang tidak pasal-pasal
mereka dilihat cuba bermain api dan menjolok sarang tebuan.
Hakikatnya,
dalam kalangan orang Melayu, mereka sudah bosan dengan sikap melampau
sesetengah pihak yang semakin ‘naik tocang’ sejak Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14) lalu, apatah lagi apabila ada pemimpin Melayu yang berada
dalam kerajaan ‘menikus’ dan tidak berani ke depan mempertahankan
Kementerian Pendidikan disebabkan memikirkan kepentingan politik.
Oleh
itu penulis berharap, kementerian tersebut akan terus bertegas dan
tidak akan tunduk kepada sebarang, lagipun Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad sudah menegaskan, perancangan itu akan diteruskan.
Ia
bukanlah bermaksud mereka tidak berhak memberi pandangan tetapi biarlah
bukanlah menjurus kepada menghalang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi
dan khat seperti mana dirancangkan. Dan lebih penting lagi jangan
bertindak sehingga dilihat dikategorikan ‘cauvinis’ kerana ia tidak akan
menguntungkan mereka, sebaliknya boleh mencetuskan suasana tidak selesa
dalam negara khususnya berkaitan perpaduan kaum. Bawalah berbincang dan
carilah pendekatan terbaik, bukannya dilihat menentang apa sahaja hanya
kerana ia ada kaitan dengan orang Melayu.
Penulis
percaya, orang Melayu tidak akan duduk diam jika masih ada pihak-pihak
yang terus menunjukkan telatah seolah-olah sekarang mereka boleh berbuat
apa sahaja, menuntut apa sahaja dan membantah apa sahaja kerana ‘kawan
mereka sudah ada kuasa besar dalam kerajaan’.
Kepada
orang Melayu pula, apa yang berlaku sekali lagi membuktikan sensitiviti
mereka semakin tidak dihormati, akibat perpecahan sesama mereka. Orang
Melayu akan terus berhadapan dan dicabar dengan isu-isu seumpama ini
selagi mereka tidak menunjukkan kesatuan.
Apapun
penulis tetap berharap polemik mengenai tulisan Jawi dan khat ini akan
berakhir dengan baik dan tidak sampai memecahbelahkan perpaduan kaum di
negara ini. Kementerian Pendidikan sudah pun membuat keputusan dan ia
harus dihormati. Adalah sesuatu yang membosankan jika setiap perkara
tercetus kontroversi hanya disebabkan ada kelompok dilihat semakin
‘besar kepala’.
Post a Comment