WALAUPUN manusia dilengkapi dengan banyak ciri yang membolehkan
mereka menjalani kehidupan dunia dengan baik, dalam masa sama Allah Maha
Mengetahui seandai manusia tidak dipandu dengan agama, pasti akan
menjadikan kehidupan manusia dalam keadaan bercelaru.
Dengan
berpandukan kepada ajaran agamalah membolehkan manusia menyedari yang
mana benar dan yang mana batil. Dengan agama juga membolehkan manusia
sentiasa hidup dalam harmoni, tenteram dan berdisiplin. Tidak seperti
haiwan yang hidup bebas tanpa peraturan.
Dalam Surah al-Maidah
ayat tiga Allah berfirman yang bermaksud, "Pada hari ini telah Ku
sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu
nikmat-Ku, dan telah Ku redai Islam itu menjadi agama bagimu."
Dalam
diri manusia ada nafsu yang sentiasa mengajak kepada keburukan. Jadi,
sebagai platform paling ampuh dalam mengekang gelora hawa nafsu, maka
agama memainkan peranannya. Apabila agama diberikan kedudukan teratas
dalam setiap acara kehidupan, maka sukarlah nafsu untuk bermaharajalela
dan menjerumuskan manusia ke kancah yang bertentangan dengan kehendak
agama.
Misalnya,
sebagai seorang pemimpin sekiranya sentiasa hidup bersendikan agama
maka mustahil untuk seseorang pemimpin melakukan salah laku atau
penyelewengan kuasa. Hal tersebut kerana dia menyedari bahawa perbuatan
sedemikian amat dilarang dalam agama dan si pelakunya bakal mendapat
azab Allah di akhirat kelak. Jadi, di sini agama menjadi benteng atau
perisai kehidupan seseorang pemimpin.
Demikian juga seandainya
kita adalah suami yang memimpin rumahtangga bersama isteri dan
anak-anak. Suami yang baik adalah mereka yang memandu kehidupan ahli
keluarga secara bersama dalam acuan agama. Soal pembinaan akidah yang
kukuh akan cuba dilaksanakan sedaya upaya agar isteri dan anak tidak
hidup lepas bebas dengan melanggara etika hidup yang digariskan agama.
Sebagai
hamba Allah yang tentunya mengharapkan balasan syurga di akhirat kelak,
maka peganglah ajaran agama sekukuhnya dan bawalah agama dalam setiap
agenda kehidupan harian. Hanya dengan berpandukan pegangan agama
sahajalah yang boleh memberikan kesejahteraan, keberkatan dan
kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Ingatlah selalu akan
pesanan Baginda SAW sebagaimana terkandung dalam sabdanya yang
diriwayatkan oleh Abu Daud yang antara lain sabda Baginda bermaksud:
"Janganlah memandang kecil kesalahan (dosa), tetapi pandanglah kepada
yang kamu menderhakai-Nya (Allah)."
Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
Home »
Bicara Islam
» Hidup perlu berlandaskan panduan agama
Hidup perlu berlandaskan panduan agama
Written By zabidi on Tuesday, 2 June 2020 | 9:09 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment