Headlines News :
Home » » Indonesia tetapkan hanya penerima vaksin dibenar merentas provinsi

Indonesia tetapkan hanya penerima vaksin dibenar merentas provinsi

Written By zabidi on Saturday 3 July 2021 | 9:14 pm

 


Jakarta: Pemerintah Indonesia menetapkan peraturan bahawa hanya mereka yang sekurang-kurangnya sudah menerima dos pertama vaksin dibenarkan melakukan perjalanan jarak jauh atau merentas provinsi.

Berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, peraturan keperluan vaksin itu dikuatkuasakan untuk perjalanan menggunakan semua jenis pengangkutan, di Pulau Jawa dan Bali dan ia berkuat kuasa hingga 30 Julai.

Syarat itu termaktub dalam pekeliling yang disiarkan Kementerian Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi berkenaan panduan aktiviti masyarakat bagi tempoh Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat.

Selain itu, bagi yang menggunakan pesawat udara, mereka juga diwajibkan menjalani swab test atau PCR, manakala mereka yang menggunakan pengangkutan darat termasuk kenderaan peribadi, diwajib melakukan ujian antigen sebelum merentas provinsi.

Pada 1 Julai, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan pelaksanaan PPKM Darurat bagi menangani lonjakan kes Covid-19 di Pulau Jawa dan Bali.

Antara peraturan yang dikenakan adalah penutupan pusat-pusat beli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor bukan keperluan, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoran, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup.

Peningkatan kes baharu sejak dua minggu terakhir ini dikaitkan dengan kegiatan balik kampung semasa sambutan Aidilfitri lepas, dan varian Delta yang lebih cepat menular.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia, setakat semalam, kes positif keseluruhan di Indonesia kini meningkat kepada 2,228,938, manakala jumlah kematian kini berjumlah 59,534 orang.

Semalam, kes positif baharu dicatatkan sebanyak 25,830 kes, jumlah tertinggi direkodkan sejak kes pertama dikesan pada Mac 2020.

Setakat ini, lebih 30.8 juta orang sudah menerima dos pertama vaksin, manakala lebih 13.7 juta juga sudah diberikan dos kedua.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER