Headlines News :
Home » » KETUNGKALAN

KETUNGKALAN

Written By zabidi on Saturday 3 July 2021 | 8:53 pm


Oleh Badariah Arbin

"SUDAH siapkah kerja rumahmu, Lolan?" tanyaku dengan nada mendatar.

"Belum mak, susah bha.. soalan ASK ni... ndak aku faham," rungut Lolan sambil melayari permainan permainan video di telefon pintarnya.

Aku menghampiri Lolan. Serasa hidungku mulai gatal.

"Oo… jadi kalau ndak faham, teruslah tengok handphone? Main games? Kecil besar kecil besar sudah mama tengok kau ni… mari sini telefon tu!"

"Ishk… mama ni… nah! Ambillah!"

"Aik? Melawan?"

"Mana ada melawan makkk…" tingkah Lolan dengan suara meninggi, langsung bingkas bangun menuju ke arah biliknya.

Aku memerhati, menggeleng kepala. Sempat juga ekor mataku menangkap tingkah anak sulungku itu sedang menahan empangan air mata. Sebentar lagi, pasti empangan itu pecah dan air mata panas akan membasahi pipi. Biarlah Lolan menangis sekarang, jangan dia menangis kemudian. Biar dia tahu apa itu susah. Biar dia tahu apa itu usaha. Sampai masanya nanti, Lolan akan dapat rasai nikmat kejayaan di sebalik keperitan berjuang di medan ilmu.

Aku yakin sangat itu dan keyakinanku tak akan pernah berubah seperti kekalnya huruf Alif di awal pengajian mengenal al-Quran.

Ya, aku tahu Lolan ketungkalan juga menyiapkan tugasan PDPR. Tambahan pula, subjek Asas Sains Komputer atau ASK itu memang mata pelajaran yang begitu sukar bagi dirinya.

Perlahan-lahan tanganku membelek Buku Teks Asas Sains Komputer Tingkatan Dua itu. Aku meneguk liur. Menarik nafas dalam-dalam. Meskipun hanya tiga bab sahaja, namun ia amat mencabar minda seorang pelajar yang kini belajar hanya dalam talian.

Kod ASC11, Algoritma dan Kod Arahan memerlukan kegigihan yang bukan kepalang untuk memahami konsep dan menghafal rumus-rumus tertentu. Aku meraup wajah. Aku perlu usaha bimbing Lolan agar meminati ASK demi masa depannya kelak.

Teknik mencari 'key point', 'speed reading' dan 'close reading' perlu aku tunjukkan. ASK adalah mata pelajaran yang memerlukan data internet untuk mengakses maklumat dalam laman sesawang dan mengimbas QR Code untuk melihat tutorial. Memang sukar, tapi tak mustahil! Hidup bukan hidup namanya tanpa cabaran. Dan cabaran bukanlah cabaran namanya kalau tak disahut! azamku tumbuh dalam hati.

"Mak! sudah siap!" jerit Naim dari ruang tamu tiba-tiba.

Aku tersentak. Ingatanku kelmarin menjengah. Kelihatan Naim yang berbadan montok dan berpipi tembam itu datang menghampiriku sambil membimbit sebuah buku.

"Wah! Pandainyalah anak mama… Naim faham jugakah mama ajar tadi?" soalku, menguji.

"Faham mak macam bayi bha… mula-mula kecil, lepas tu membesar. Jadi Naim jawab tertib menaiklah," ujar Naim. Dia kelihatan sangat yakin, sambil menunjukkan buku aktiviti Matematik tahun dua itu.

Aku tersenyum lantas mendakap tubuh anakku lalu mengusap-ngusap belakangnya diiringi bacaan zikir dalam hati.

Benar, mengajar anak sendiri tak sama mengajar anak orang lain. Cepat betul jariku jadi sepit ketam. Cepat juga amarah menyirap ke urat sarafku. Inilah ujian yang perlu aku tempuh. Perlu! Tekadku bertalu-talu.

Selesai menangkap gambar kerja sekolah anak, pantas aku maklumkan kepada guru matematik dalam kumpulan sembang WhatsApp Kelas 2 Cemerlang.

Semenjak penguatkuasaan PKP, memadam data sembang dalam setiap kumpulan sembang WhatsApp memang menjadi rutin harian sebelum tidur.

Jika aku tidak berbuat begitu, maklumat baharu tidak sampai, tidak dapat masuk.

Ah, siapalah dapat menjangka abad ke-21 ini, sistem pendidikan sudah menjadi seperti ini. Belajar dari rumah, tidak bersemuka dengan guru, tiada lagi soal sesi jawab, tidak dapat menghadiri sekolah secara fizikal, aku mengeluh dalam hati.

Laungan azan Zuhur dari Masjid Ar-Rahman berdekatan rumah bergema di udara. Syukurlah, walau dalam PKP penduduk di Taman Sentosa ini masih mampu menikmati laungan suara azan. Alhamdulillah! Bagi sesetengah orang, azan menitipkan sesuatu. Laungan azan amat penting dalam kanvas kehidupanku. Ia bagai penanda aras untuk terus bergerak. Azan subuh, menandakan sebentar lagi, buat sarapan pagi dan hidupkan suis mesin basuh. Azan Zuhur, menandakan sebentar lagi kerja rumah anak-anak akan siap. Azan Asar, menandakan aku perlu keluarkan bahan-bahan basah untuk memasak lauk malam.

Nanti menjelang azan Maghrib, anak-anak telah bersedia dengan rehal masing-masing manakala azan Isyak, tanda kami sekeluarga akan berehat di ruang tamu dan aku siap-siap menunggu siaran berita perdana pukul 8.00 malam.

"Ndaklah bha aku tahu… apa sudah jadi negara kita sekarang ni… makin diperketatkan PKP, makinlah pula mendadak kes naik," gerutu Jazman pada suatu petang.

Aku menyeluruhi wajah suamiku yang berkulit sawo matang dan bertubuh sasa itu lalu meletakkan sepinggan cucur udang di atas meja.

"Sabar sajalah kita ni bang… kita bukannya ada pilihan," jawabku sambil menghulur secawan kopi pekat.

Aku renung dia, dalam hatiku berkata, dalam keadaan sekarang, mana mungkin kita ada pilihan bang… selain bertahan. Iya, kita bertahan hadapi semua ujian dengan sabar. Pasti ada hikmah-Nya. Ini masalah satu dunia. Semua orang terkesan. Ada yang hilang pekerjaan. Ada yang dipotong peratus gaji setiap bulan. Ada yang terpaksa menanggung kos kerugian dalam perniagaan rentetan fasa PKP terdahulu.Ternyata pandemik COVID-19 telah merenggut kebahagiaan dalam kehidupan manusia di abad ini.

"Mama sudah hantarkah markah kuiz Naim?"

Khayalanku mati di situ.

"Adehhh… sekejap… mama hampir terlupa. Terima kasih nak, tolong ingatkan mama… pandai anak mama ni," kataku berjela.

"Itulah… nanti macam kelmarin lagi, mama lupa." Naim mengusik. Ketawa kecil.

Aku membalas dengan senyuman. Aku akui, aku ketungkalan juga sebenarnya. Mengajar anak satu hal. Memahamkan mereka apa yang diajarkan satu hal lagi. Memastikan anak siap semua tugasan PDPR pun satu hal juga, terutamanya Lolan!

Pelajaran sekolah menengah sekarang ini jauh berbeza dengan pelajaranku 30 tahun yang lalu.

Huh! Markah kuiz Naim yang telah aku ambilkan visualnya dan cepat kuhantar kepada guru Bahasa Inggerisnya.

Ya Allah… selama PKP ni, rutin harianku seperti kartun. Seakan semua bergerak pantas. Nasib ada mesin basuh, banyak juga ia membantu. Sambil menunggu pakaian dicuci dan dikeringkan, sempat juga aku mengajar anak-anak di rumah. Cuma, Lolan. Ya, cuma Lolan! Cara mengajar Lolan memang tak sama dengan adik-adiknya.

Lolan perlukan bahan bantu, komputer riba dan aku sendiri perlu memantau pembelajarannya setiap masa. Aku perlu terus fokus dan sedar dengan apa yang dibuatnya. Risau juga aku, kalau nanti dia terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak baik. Dunia tanpa sempadan ada juga keburukannya jika disalahgunakan.

"Mak, lapar..," Haziq, seorang lagi anak menghampiri. Dahinya berkerut-kerut.

"Sekejap ya nak, mak mau masak sudah ni ayam kicap," pujukku sambil menggaul lauk dalam kuali.

"Haziq sudah siapkah sambung titik-titik tu?"

"Sudah bha," jawabnya. Ringkas.

Aku menyeka peluh, menghela nafas panjang. Mujur jugalah guru prasekolah Haziq telah menyediakan kertas soalan untuk tempoh dua minggu. Tidaklah aku ketungkalan sangat mengejar masa menyiapkan tugasan PDPR kesemua anakku ini.

"Belajar ketika kecil seperti mengukir di atas batu, Mariam. Kalau menurut Imam Al-Ghazali, hati itu ibarat cermin, apabila terang cerminnya, maka teranglah segala maklumat atau ilmu pengetahuan yang diterima... kita sama-sama belajar ya," pesan Ustazah Bibi Zaleha suatu ketika dahulu ketika aku masih lagi dara sunti masih membekas dalam diri.

"Mak..." suara dari belakang datang, dapat kuduga siapa gerangan pemilik suara itu.

Aku sengaja tidak menoleh, mahu untuk berlagak tidak peduli. Aku teruskan juga menggaul ayam di kuali.

"Mak...minta maaf makkk..." suara Lolan sedih sekali. Kemaafannya dipinta dengan sungguh-sungguh.

Dia mengulang-ulang lagi permohonan maafnya.

Ah anak ini, aku pantas mematikan api dan menoleh ke arah anak sulungku. Aku menatap tepat ke wajahnya. Anak yang aku letakkan segumpal harapan menjadi contoh buat adik-adiknya. Anak yang akan memikul tanggungjawab andai ditakdirkan kami pergi dulu. Anak inilah!

Sudah habiskah menangisnya tadi ? Sudahkah dia sedar silapnya tadi?

"Lain kali jangan buat begitu, nak... jangan tinggikan suara. Ada 'kan cikgu ajar Lolan adab dengan ibu bapa di sekolah?"

Lolan menekurkan pandangan ke lantai. Diam menikus.

"Lolan sayang mamakah?"

"Sayang bha mak..."

"Kalau Lolan sayangkan mama, ikut nasihat... mama ni bukan selama-lamanya hidup nak..."

"Nah... janganlah bha mama cakap begitu..." rayu Lolan sambil meraih tanganku. Matanya mula berkaca.

"Sapu air mata tu, anak jantan jangan bha cepat menangis... kena kuat! Pasal ASK tu, nanti mama ajar Lolan cara belajarnya.

"Satu lagi, pegang handphone ada masanya. Kalau Lolan salahgunakan, mama ambil balik, faham?,"

Lolan angguk. Senyum pantas terbit di bibirnya.

"Sekarang, kemas ruang tamu. Kita mahu makan," arahku. Tegas.

"Ok... mama..." jawab Lolan berbaur kegembiraan.

Anak akan menjadi lebih cerdik apabila dilatih menilai kelemahan dan kekuatan diri mereka. Kelemahan diri hendaklah diperbaiki melalui latihan yang berterusan. Kekuatan diri pula hendaklah dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi. Aku memutar pita ingatan semula tentang buku Panduan Mencerdaskan Minda tulisan Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Jaafar Salleh. Bingkisan itu masih segar bermukim di dalam dada.

"Mak, tambah bha... boleh?" pinta Naim sambil menghulurkan pinggan.

"Jangan terlampau kenyang bha nak... nanti susah mau sembahyang tu," terangku.

Naim melirik senyum. Kelihatan sebaris giginya yang putih.

Betapa agama Islam amat menitikberatkan pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Perut adalah pangkal segala penyakit. Menjaga pemakanan adalah pokok sekalian ubat." Meski hidup kami sederhana, keperluan anak-anak tetap menjadi keutamaan. Lauk tidak selalu mewah. Memadailah cukup sumber protein, vitamin dan karbohidrat.

Aku mengalih pandang ke arah wajah ketiga-tiga puteraku bergilir-gilir, dengan penuh rasa kasih sayang. Namun, pandanganku tertumpah lama terhadap anak sulungku itu.

Lolan nama panggilan Fauzan Azami. Benar, Lolan perlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam norma baharu. Benar, Lolan bosan sebab tak dapat keluar jumpa kawan-kawan. Benar, Lolan sudah besar. Dalam usia remaja, Lolan mencari identiti diri. Remaja zaman sekarang mana sama dengan remaja zaman aku dulu.

Zaman dulu, tiada pengaruh gajet. Tiada permainan dalam talian segala macam dari Garena Free Fire, PUBG dan sebagainya.

Zaman dulu, waktu sebaya Lolan, aku tinggal di asrama. Aku jalani hidup dengan penuh peraturan. Mandi beratur. Makan beratur. Bahkan, balik dari dewan kuliah pun beratur. Anakku belum ada pengalaman hidup sebegitu. Belum! desis hatiku.

"Macam mana anak-anak hari ini? okey juga Yam?" tanya Jazman yang baru sebentar tadi balik dari kerja sebagai Pembantu Tadbir di SMK Permai.

"Macam begitu juga bha bang… pagi, sibuk menjawab soalan. Petang, ulang kaji sikit pelajaran. Tapi, sebenarnya kasihan juga bha anak-anak kita ni… mau kita bawa bersiar-siar di luar pun, belum lagi boleh... mudah-mudahan cepatlah reda kes COVID ni..." getusku sambil melipat selonggok pakaian.

Jazman menggetap bibir. Sesekali mencicip secawan teh dan menguyah biskut mayat. Dia tidak berkata apa-apa. Hanya matanya sahaja bagai berbicara. Dan aku seakan-akan dapat mentafsir maksud renungan itu. Renungan yang menuntut segudang kesabaran.

"Lolan, bawalah adik- adik masuk bilik. Tidur awal. Bangun besok pun awal."

"Okey, mama..." Lolan memimpin tangan adik-adiknya ke bilik.

Mataku semakin berair. Rasa mengantuk yang amat.

"Abang masih tengok Tv?"

"Ya... ada kung fu malam ni."

Perlahan-lahan aku melangkahkan kaki ke bilik tidur. Lampu telah dimatikan.

"Ya Allah... nikmatnyalah dapat baring ni, serasa aman dunia,' bisik hatiku. Syukur.

Belum pun sempat aku membaca doa sebelum tidur, tiba-tiba terdengar pintu bilik diketuk seseorang. Aku bingkas bangun.

"Makkk… baru Naim ingat, belum siap kerja rumah BM…," ujar Naim sambil menggeyeh-geyehkan matanya.

Aku menepuk dahi.

Glosari

Ketungkalan – tak menang tangan/banyak kerja/tersedak

- Pengarang muda asal Sabah ini bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid di SK Merpati Sandakan, Sabah.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER