Oleh Haji Osama
Semua
ibu bapa sangat berharap untuk memberikan pendidikan terbaik untuk
anaknya. Beberapa minggu yang lepas, sekolah dibuka. Walau jadualnya
sedikit terencat kerana masalah banjir, namun kini hampir kesemua
sekolah mula dibuka.
Saya di antara ibu bapa yang sangat bersungguh-sungguh untuk melihat anak saya mendapat pendidikan terbaik.
Apabila Adam mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR tahun lepas,
saya berusaha bersungguh-sungguh cuba menempatkannya di sekolah terbaik.
Alhamdulilah, Adam akhirnya berjaya ke MRSM Pasir Tumboh.
Tahun ini, saya cuba menggunakan kaedah yang sama seperti yang saya
gunakan untuk Adam dalam membantu seorang pelajar untuk ke MRSM Pasir
Tumboh. Alhamdulilah, adik Norhanis Qistina juga berjaya.
Bagaimana kaedah saya? Mari saya kongsikan dengan anda.
Perkara paling utama untuk layak ke sekolah terbaik ialah perlu
mendapat keputusan yang cemerlang. Contohnya untuk peperiksaan UPSR,
anak anda semestinya cemerlang iaitu mendapat 5A.
Pelajar yang mendapat 5A sangat ramai. Ruang dan peluang untuk ke
sekolah asrama penuh atau MRSM pula sangat terhad. Misalnya, MRSM Pasir
Tumboh tahun ini pengambilannya lebih kurang 50 orang pelajar baru. 50
orang pelajar hanya boleh menempatkan untuk dua kelas sahaja.
Berbanding tahun lepas, 200 pelajar diambil. Kenapa? Saya difahamkan
kerana mereka mula membuka kelas tingkatan empat. Sebelum ini kelas
mereka hanya menempatkan pelajar sehingga tingkatan 3 sahaja.
Justeru itu, untuk ke MRSM Pasir Tumboh tahun ini agak sukar. Saya juga
difahamkan hampir 700 pelajar yang memohon ke sekolah ini.
Bagaimana Norhanis Qistina boleh berjaya menempatkan diri di sekolah
ini? Tentunya Norhanis dapat 5A. Selain itu, saya menyediakan semua
keperluan lain dengan penuh cermat.
Sijil-sijil nya, bayangan soalan untuk interviewnya dan memberi motivasi kepadanya.
Ramai yang memandang enteng tentang sijil-sijil. Tahukah anda, setiap
sijil ada makna dan markah. Sekiranya anak anda tidak mempunyai sijil,
anda perlu berusaha untuk memenuhi sijil-sijil mereka.
Markah untuk sijil juga berlainan. Jika anak anda seorang ketua
pengawas, markahnya adalah 10 berbanding pengawas biasa hanyalah 5. Jika
bukan pengawas, markahnya adalah kosong. Begitulah juga dalam bidang
permainan dan persatuan.
Persembahan semasa hari interview juga merupakan satu elemen yang
penting dalam menentukan kebijaksanaan pelajar ini. Biasanya panel
interview akan memanggil empat orang pelajar dalam satu masa. Anak anda
perlu menampilkan diri sebagai ketua untuk kumpulan mereka. Perlu nampak
paling bersih, kemas dan bersedia.
Antara soalan yang akan dikemukan ialah kenapa anda mahu ke MRSM?
Agak-agak anda, apakah jawapan anak anda nanti. Saya sediakan jawapan
untuk Norhanis. Saya juga memintanya menghafal jawapannya.
"Saya adalah anak keenam daripada 9 orang adik-beradik. Saya dibesarkan
dalam keluarga yang agak susah. Ayah seorang buruh binaan manakala ibu
saya seorang suri rumah. Peluang belajar di MRSM harus saya rebut kerana
ia merupakan peluang keemasan bagi saya untuk mencapai cita-cita saya
sebagai doktor dan membantu keluarga saya. Saya yakin MRSM akan
merealisasikan impian saya ini kerana saya difahamkan MRSM mempunyai
keupayaan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan mempunyai dana
untuk pelajar yang miskin seperti saya. "
Mengikut Norhanis, ramai yang hanya menjawab saya mahu ke sekolah
Sains. Bagi saya jawapan itu betul, namun ianya tidak tepat. Menurutnya
lagi, apabila dia memberi jawapan di atas, ahli panel tersenyum dan
mengangguk-angguk.
Penyusunan sijil-sijil mengikut turutan juga sangat penting. Ahli panel akan lebih mudah untuk menyemak sijil-sijil anak anda.
Akhirnya, berdoalah kepada Allah dengan penuh kesungguhan dan
keikhlasan hati. Hanya dengan doa yang ikhlas dan bersungguh-sungguh,
Insha Allah permintaan akan dimakbulkan.
Tahniah saya ucapkan kepada Norhanis Qistina, semoga anak ini akan
menjadi pelajar terbaik dan mampu membantu keluarganya apabila berjaya
nanti.
Jika anda semua mahu saya membantu anda dan anak anda, Insha Allah saya
akan cuba membantu. Apa yang pasti, ianya hanyalah percuma. Sila
hubungi saya.
Sekolah terbaik dan kepentingannya
Written By zabidi on Sunday, 25 January 2015 | 1:37 pm
Related Posts :
Labels:
Artikel
Post a Comment