Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof
Setiap ahli keluarga
mempunyai peranan dalam mewujudkan rumah tangga aman dan bahagia. Ketua
keluarga memainkan peranan utama memimpin isteri dan anak berakhlak
mulia dan melaksana perintah disyariatkan. Ustaz Muhammad Abdullah
Al-Amin dalam segmen Pesona D'Zahra turut membincangkan peranan anak
melayani ibu bapa dengan baik.
Institusi keluarga adalah ejen sosial terkecil dalam masyarakat, namun
memainkan peranan besar melahirkan insan cemerlang.
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar kerana anak diibaratkan seperti
kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka.
Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin, berkata keluarga adalah gedung bagi
merebut pahala kerana Allah SWT menganugerahkan pahala kepada suami yang
membantu isteri, begitu juga isteri membantu suaminya.
Melalui rancangan Pesona D'Zahra disiarkan di IKIMfm, beliau mengatakan
anak dan menantu yang sentiasa memastikan kemakmuran rumah tangga juga
tidak ketinggalan meraih pahala.
Namun, adat hidup berkeluarga tidak lepas daripada masalah dan ujian
sama ada kecil atau besar. Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi
yang kadangkala mengakibatkan krisis dalam rumah tangga.
Ini disebabkan syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia,
memperdaya hati serta fikiran seseorang dengan cara memporak-perandakan
rumah tangga bahagia.
Institusi keluarga adalah asas sebuah masyarakat dan memainkan peranan
penting bagi melahirkan generasi bertakwa serta beramal soleh. Tidak
dapat dinafikan kejayaan dan keharmonian keluarga bermula daripada ketua
keluarga.
Peranan ketua keluarga
Maka ketua keluarga atau bapa mempunyai peranan besar memikul
tanggungjawab telah diamanahkan oleh Allah SWT bagi memastikan
keluarganya berada dalam keadaan aman dan sentiasa melaksanakan perintah
disyariatkan oleh-Nya.
Rasulullah SAW bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu
akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara
adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap
mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia
bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin
dan ia bertanggungjawab terhadap rumah tangga suaminya dan ia
bertanggungjawab terhadap pimpinannya."
Selain ibu bapa, setiap anak perlu memikul tanggungjawab membahagiakan
keluarga dengan berakhlak mulia dan berbudi bahasa. Tingkah laku anak
yang sopan dapat menenangkan ibu bapa mereka.
Ibu bapa mudah berkecil hati jika anak mengeluarkan kata-kata kasar.
Oleh itu, jagalah lidah jangan sampai terlanjur berkata kasar terhadap
ibu bapa. Berlemah lembutlah terhadap mereka, walaupun kita tidak
bersetuju dengan sikap mereka.
Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan sebagai anak yatim, tetapi Allah SWT
menjadikan anak kecil itu tempat mencurah kasih sayang. Kelahiran
Baginda pada tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah di kota Makkah sebagai
pembuka rahmat di seluruh pelosok alam semesta.
Kasih sayang Baginda
Kelahiran Baginda SAW adalah peristiwa utama dalam sejarah Islam.
Baginda SAW memiliki kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam
konteks sebelum kelahirannya, tetapi juga semasa dan selepas dilahirkan.
Perkara ini dapat dibuktikan dengan keprihatinan dan kasih sayang
Baginda SAW yang tidak berbelah bahagi terhadap insan yang menatang
Baginda bagai minyak yang penuh. Nama seperti Aminah, Halimatus Saadiah,
Abdullah dan Abu Talib cukup dekat di hati Nabi Muhammad SAW.
Mereka banyak berjasa dan berkorban mengasuh serta memberikan didikan
sempurna ketika hayat Baginda SAW. Selain itu, Baginda SAW cukup
terkenal dalam memberikan layanan baik terhadap ibu dan bapa mentua.
Melihat senario itu, umat Islam perlu meneladani sifat Rasulullah SAW
yang tidak pernah sesekali meminggirkan insan bergelar ibu dan ayah yang
telah membesarkan Baginda serta mereka yang memelihara anak Baginda.
Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Home »
Bicara Islam
» Hargai pengorbanan ibu bapa
Hargai pengorbanan ibu bapa
Written By zabidi on Wednesday, 16 November 2016 | 11:17 am
Related Posts :
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment