RAMALLAH –
Palestin mengancam untuk membekukan hubungannya dengan Amerika Syarikat
(AS) jika negara itu bertegas menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan
Palestin (PLO) di Washington.
Menurut Setiausaha Agung PLO, Saeb
Erekat, pihaknya telah memaklumkan kepada Washington bahawa segala
komunikasi dengan pentadbiran AS akan disekat susulan tindakan
terbabit.
PLO yang merupakan organisasi mewakili seluruh
rakyat Palestin perlu mendapatkan kebenaran menjalankan operasinya di
premis tersebut setiap enam bulan.
Dalam pada
itu, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki berkata, ini adalah kali
pertama sejak 1980 Jabatan Dalam Negeri AS menolak permohonan mereka.
Selain
itu jelas beliau, pihaknya telah menerima surat dari Washington dua
hari lalu yang memaklumkan Setiausaha Negara AS tidak menemukan alasan
mencukupi bagi memastikan pejabat tersebut terus beroperasi.
“Ini
tidak pernah berlaku dahulu dan kami telah meminta penjelasan Jabatan
Negara AS dan White House. Kami akan mengadakan pertemuan dengan pakar
undang-undang esok. Mereka akan memberikan jawapan yang lebih jelas,”
katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Presiden
Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeina berkata, tindakan AS itu bukan
satu langkah sewajarnya dalam sejarah hubungan Palestin-Amerika.
“Tindakan tersebut hanya merumitkan usaha untuk mencapai keamanan,” katanya.
Dalam
perkembangan berlainan, seramai 300 penduduk Kampung Jabal al-Baba di
timur Baitulmaqdis, Tebing Barat berdepan ancaman kehilangan tempat
tinggal selepas rejim Zionis mengeluarkan arahan pemindahan di situ.
“Penduduk
mula bimbang akan masa depan mereka yang tidak menentu. Mereka telah
tinggal di sini sejak dulu lagi dan semua ini akan dimusnahkan bila-bila
masa,” kata ketua komuniti tempatan, Atalah Jahalen kepada Al-Jazeera.
Arahan
itu menyuruh penduduk mengosongkan kediaman dalam tempoh lapan hari dan
sekiranya ingkar, mereka akan diusir keluar oleh rejim Zionis. – AGENSI
Post a Comment