Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang
menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana
itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain
daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi
ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis Sohih riwayat
Imam Muslim).
Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta’arif menegaskan,
as-Subhu atau as-Sobah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk
berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun
solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir
pada waktu matahari terbit.
Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam
Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong
untuk melaksanakan Solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan
mengerjakannya. Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang
sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur.
Seorang Muslim bila dibiarkan begitu sahaja (tertidur), akan memilih
untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan
meninggalkan Solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat
Subuh tidak pada waktunya yang betul. Rasulullah SAW mengkhususkan solat
subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang
tidak ada pada solat lain.
Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh. Salah
satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas
dalam melaksanakan Solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya
Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu
mengerjakannya).” (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu
Majah).
Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara
Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara
jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT. Waktu Subuh adalah waktu yang
paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama
dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan
mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada
mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu
mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati
Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui
batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28).
Keutamaan Solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan
dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam
at-Tirmizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat
Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”
Begitulah
keistimewaan Solat Subuh.
Apakah yang menghalang kita untuk
menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan Solat Subuh?
Bukankah Solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya
dibandingkan dunia dan seisinya?.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada ‘Uthman bin ‘Affan berkata,
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat Isyak
berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa
Solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat
malam satu malam penuh.” (Hadis Sohih riwayat Imam Muslim).
Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Pada
hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan
digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya. Diriwayatkan daripada
Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk
syurga.” (Hadis Sohih riwayat Imam al-Bukhari).
Dua waktu yang dingin itu adalah Solat Subuh dan ‘Asar. Mereka yang
menjaga Solat Subuh dan ‘Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat
Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk
bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata,
“Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan
yang tidak terhalang dalam memandangnya.
Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat
sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka
lakukanlah.” (Hadis Sohih riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Rasulullah SAW memberi janji, apabila Solat Subuh dikerjakan, maka Allah
akan melindungi siapa sahaja yang mengerjakannya seharian penuh.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan
Solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah
cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang
membunuh orang yang menunaikan Solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya,
sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis
Sohih riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan Ibn Majah).
Semoga kita tetap menjaga dan memelihara Solat Subuh seperti
dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan
berkumandang untuk segera mengerjakan Solat Subuh
Home »
Bicara Islam
» Pahala solat Subuh berjamaah dan sunat sebelumnya
Pahala solat Subuh berjamaah dan sunat sebelumnya
Written By zabidi on Tuesday 9 January 2018 | 11:55 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment