Oleh
Rata-rata dalam kalangan
kita apabila berada dalam media sosial kebanyakan lebih cenderung untuk
berada pada nilai paling rendah terutama apabila timbul sesuatu isu
yang menyentuh perasaan.
Mengambil contoh isu yang
berlaku antara seorang gadis dan lelaki autisme baru-baru ini, warga
maya ternyata mempunyai pendirian masing-masing dan ramai cuba
memberikan pandangan tanpa mengira situasi di dalam kasut mangsa ataupun
pihak yang didakwa.
Kita lebih
cenderung memberikan buah fikiran menghentam tanpa mempedulikan soal
perasan setiap pihak dan langsung tidak memikirkan jika ia menimpa diri
kita sendiri.
Dalam kes ini, harus
diingat kita bukan mangsa ataupun pihak didakwa dan sewajarnya kita
perlu mendengar penjelasan semua pihak sebelum terus membuat keputusan
menghentam tanpa mempedulikan perasaan pihak terlibat.
Paling
mudah jangan kita terus menjadi pembuli siber dek kerana terkesan
dengan situasi yang tidak menyenangkan itu, lantas secara tiba-tiba
menghukum tanpa usul periksa.
Nilai diri
perlu berada pada paras neutral sebelum kita membuat keputusan untuk
memberikan buah fikiran pada ruangan komen kerana satu perkara penting
yang selalu dilupakan media sosial itu sendiri bersifat garis lurus
apabila berkaitan dengan usia.
Bukan
kita seorang yang akan membaca komen itu, mungkin yang melihatnya ialah
anak kita, adik-beradik, saudara-mara ataupun rakan.
Baik
atau buruk komen itu, ia dengan jelas akan mencerminkan siapa diri kita
yang sebenar dan jika ia sesuatu yang tidak enak dibaca adakah kita
mahu insan rapat dengan kita membacanya.
Situasi
sama juga terpakai kepada anak-anak kita sendiri dan jika mereka
bertindak melontarkan kata-kata kesat adakah sebagai ibu bapa kita tidak
akan berasa malu membacanya.
Pendek
kata, waima apa jua perilaku kita dalam media sosial janganlah terlalu
agresif mencari salah dan silap orang lain sedangkan perkara itu tidak
pernah menimpa diri sendiri jauh sekali untuk tahu apa dirasai mereka
yang terlibat.
Adalah lebih baik kita
menyuarakan sesuatu lebih baik untuk kebaikan bersama di mana masyarakat
yang membaca boleh mengambil iktibar dan sempadan supaya perkara yang
sama tidak berulang.
Secara peribadi,
jika kita sekadar berada dalam media sosial untuk mencari kesalahan
orang lain dan meletak diri sebagai maksum daripada segala dosa lebih
baik tutup sahaja akaun itu.
Ramai akan
terkesan dengan komen kita dan jangan biarkan diri menjadi pembuli siber
semata-mata mahu memuaskan hati untuk orang lain menyokong tindakan
melulu itu yang akhirnya meninggalkan trauma pada orang mangsa.
Fikir sejenak jika ia berlaku pada ahli keluarga terdekat kita, apakah reaksi anda dan berapa nilai diri ketika itu.
Sudah
pasti kita akan cenderung mempertahankan diri dan ahli keluarga kita
dan ia merupakan perkara yang sama berlaku dalam kes di atas di mana
masing-masing mahu menjelaskan situasi sebenar supaya ada dalam kalangan
warga maya tampil memberikan sokongan dan dorongan.
Cuit sedikit perasaan sendiri dan tanya adakah sokongan dan dorongan kita itu adil buat semua pihak terlibat?
Justeru
itu nilailah diri anda baik-baik ketika berada di dalam media sosial
sebelum menerjah orang lain yang mungkin terkesan atau trauma dengan
komen yang ditinggalkan.
Post a Comment