Headlines News :

Dunia buku terpakai: Ekonomi alternatif yang disisih


Oleh Mohamed Nasser Mohamed

Saya sering mendapat manfaat saat terasak ke dinding kewangan atau tiba-tiba memerlukan perbelanjaan luar jangka—tiba-tiba sahaja ada yang membeli buku terpakai saya di laman e-dagang. Benar, rezeki tidak pernah salah alamat.

Secara peribadi, saya bukan pengumpul buku lama yang tegar. Namun, jika ada peluang, saya mahu sahaja mengumpul—untuk kepuasan dan koleksi peribadi. Saya sentiasa berusaha menjejaki novel Melayu lama, antaranya Ahad karya Zakaria Salleh, Hartini karya Aziz Afkar, dan Desa Pingitan karya Ibrahim Omar—sekadar menyebut beberapa novel Melayu ‘lejen’.

Selepas bergelar editor, untuk memudahkan urusan perolehan, saya mula berusaha mendapatkan Salina—novel ikonik Sasterawan Negara A Samad Said, cetakan pertama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP:1961). Selama berbulan-bulan, saya memujuk penjual dengan harga yang saya mampu. Akhirnya, naskhah itu bertukar tangan pada harga RM1,200—buku terpakai paling mahal pernah saya miliki.

Begitu juga dengan Imam karya Abdullah Hussain. Ketika mahu menerbitkannya semula, saya berusaha menjejaki edisi asal daripada seorang rakan di laman Facebook. Harganya: RM280. Mungkin ramai fikir saya gila—membayar sejumlah besar untuk buku lusuh. Tapi saya tahu, kita tidak membeli buku; kita membeli sejarah. Kita membeli warisan. Kita membeli jejak pemikiran yang mungkin telah terhapus di rak kedai.

Buku terpakai sumber rezeki

Mengapa saya kongsikan kisah ini? Kerana ada dalam kalangan kita yang menjadikan buku terpakai sebagai sumber rezeki—membeli dan menjual demi kelangsungan hidup. Saya sendiri pernah diajak oleh seorang teman untuk menyertai jualan di Amcorp Mall, syurga buku terpakai dan barangan antik. Saya teruja.

Pada kali kedua saya terlibat, satu insiden meninggalkan kenangan manis. Seorang wanita Tionghoa hadir ke ruang niaga saya dua hari berturut-turut, memujuk saya datang ke rumahnya di Shah Alam untuk membeli buku. Setelah tidak tahan dengan pujukan itu, saya bersetuju. Hasilnya—enam kotak buku berbahasa Inggeris pada harga tidak masuk akal: RM60! Hampir 70 naskhah berkulit keras. Saya hanya menjual dua daripadanya untuk mendapatkan semula modal.

Dalam insiden lain, saya dihubungi oleh seseorang yang tidak saya kenali selepas membaca hantaran saya di Facebook tentang hasrat menerbitkan sebuah buku tribut mengenang seorang sahabat yang telah kembali ke negeri abadi. Dalam pertemuan pertama, beliau membawa saya ke tempat kerjanya di sebuah perpustakaan agensi kerajaan. Selepas berbasa-basi, saya diperkenalkan kepada ketuanya dan ditunjukkan rak buku yang akan dilupuskan. Saya diberikan peluang memilih 80 naskhah buku—bagi membantu saya merealisasikan penerbitan buku kenangan tersebut.

Buku lama nafas baharu

Gerai buku terpakai bukan sekadar tempat jual beli. Ia adalah tapak arkeologi minda. Ia menjual memori, peluang kedua, dan kadangkala, takdir. Di bawah khemah lusuh, dalam rak kayu usang, ada penjual senyap yang mengurus khazanah bangsa. Setiap buku yang dibuka ada tandatangan pemilik lama, ada lipatan halaman yang menandakan bab paling disukai. Kadangkala terselit surat cinta, resit tahun 80-an, atau nota kaki yang menyentuh. Setiap helaian berbisik—jangan lupakan aku.

Namun, dalam dunia digital dan obsesi terhadap ‘baharu’, buku ini kian terpinggir. Pasarannya kecil, pengunjungnya setia tapi semakin sedikit. Gerai kecil ini bukan sahaja berjuang untuk hidup, tetapi juga berjuang untuk tidak dilenyapkan oleh sistem.

Siapa menyisih?

Dalam budaya membaca yang semakin terarah kepada kelajuan dan kecantikan muka depan, buku terpakai kadangkala dianggap sebagai gangguan pasaran. Penerbit melihatnya sebagai persaingan tidak sihat. Sesetengah penguasa menganggapnya sebagai barangan terpakai yang tidak lagi relevan. Bahkan ada perpustakaan awam yang melupuskan koleksi lama tanpa menilai nilai sejarah atau sasteranya.

Namun, yang rugi sebenarnya ialah pembaca—terutama golongan muda dan pencari ilmu di luar arus perdana. Buku terpakai membuka pintu kepada dunia yang lebih luas, beragam dan jujur. Dalamnya ada karya luar cetak, suara yang telah senyap dalam sistem penerbitan utama.

Ekonomi hijau yang dilupakan

Dalam dunia yang ghairah melaungkan kelestarian, buku terpakai adalah contoh ekonomi sirkular yang indah. Satu buku lama yang dijual semula bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi menyelamatkan pokok, mengurangkan cetakan baharu, dan memperpanjang hayat bahan bacaan. Ia adalah bentuk aktivisme senyap—memanjangkan hayat ilmu dengan cara berhemah.

Namun, masih tiada dasar yang jelas untuk mengiktiraf penjual buku terpakai sebagai sebahagian ekonomi alternatif negara. Mereka tidak mendapat insentif, tidak disokong skim bantuan mikro, dan kadangkala ditekan oleh peraturan yang menyamakan mereka dengan peniaga jalanan.

Penjual kecil, jiwa besar

Ramai penjual buku terpakai adalah pesara guru, pustakawan bersara, penulis tidak ternama, atau pencinta buku yang hidup dari hari ke hari. Mereka bukan pemain besar industri. Mereka tidak memiliki algoritma TikTok atau bajet pemasaran. Tapi mereka punya satu perkara yang mahal—semangat. Semangat untuk menghidupkan naskhah lama dan berkongsi ilmu dengan generasi baharu.

Sahabat penjual di Puchong, antara yang dianggap ‘otai’, Tuan Halim, pernah berkata: “Kalau semua orang nak buku baru, apa akan jadi pada buku lama yang belum sempat dibaca sesiapa pun?”

Di mana buku terpakai dijual?

Di Malaysia, antara lokasi jualan buku terpakai masih hidup walaupun kian terhimpit:

Pasar Chowrasta, Pulau Pinang – terkenal dengan koleksi majalah lama dan buku sekolah era 70-an. Lorong Kulit, Georgetown – syurga pencinta barangan lama, termasuk sastera klasik.

Brickfields, Kuala Lumpur – lokasi lama gerai buku terpakai, walaupun makin ditekan pembangunan. Amcorp Mall, Petaling Jaya – medan pertemuan pemburu buku hadir setiap hujung minggu.

Pasar Karat, Johor Bahru – ruang campur antara buku, piring hitam dan memorabilia lama.

Hentian Buku Selangor, di Hentian Kajang, Jalan Reko – lokasi terbaru untuk pencinta buku, khususnya buku terpakai dan langka.

Di luar negara budaya ini lebih terurus: Bouquinistes di Sungai Seine, Paris – lebih 200 penjual dalam peti hijau ikonik, diiktiraf Unesco. Hay-on-Wye, Wales – kota buku dengan puluhan kedai buku terpakai.

Jimbocho, Tokyo – lebih 150 kedai kecil tertumpu pada buku terpakai, mengikut genre dan era.

Powell’s Books, Portland, Oregon – gedung buku terpakai dan baharu terbesar di dunia.

Malaysia belum sampai ke tahap itu—tetapi tidak mustahil jika diberi dasar yang adil dan sokongan mampan.

Hidupkan, jangan singkirkan

Sudah tiba masa kita melihat buku terpakai bukan sebagai beban, tetapi penyelamat tamadun. Malaysia wajar mempunyai zon pasaran buku alternatif yang diiktiraf. Anjurkan festival buku terpakai nasional. Galakkan universiti membeli koleksi langka. Libatkan pelajar dalam kempen ‘buku hidup semula’ di sekolah dan komuniti.

Buku bukan sekadar bahan bacaan. Ia adalah tapak warisan, tanda tamadun, dan arkib pemikiran bangsa. Jika kita membiarkan buku lama hilang tanpa jejak, kita sedang memadam sejarah secara senyap.

Warisan di rak peribadi

Di rak saya, Salina masih tersimpan. Dalamnya bukan sekadar kisah wanita yang terpaksa menjadi pelacur dan zaman darurat, tetapi juga nilai tak terukur dalam dunia penerbitan. Imam, yang saya peroleh pada harga RM280, mengingatkan saya tentang kekuatan dan wacana semakin kabur dalam dunia intelektual moden.

Buku itu mengajar saya satu perkara: dalam dunia yang terlalu ghairah mengejar yang baharu, kita perlukan lebih ramai penyelamat yang memeluk yang lama. Dunia buku terpakai tidak perlukan simpati, tapi pengiktirafan, dan seperti kata seorang rakan penerbit—Rabak Lit—buku tak akan mati!

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Sampai bila agensi jadi paku, rakyat kena tukul?


Oleh Mohamed Nasser Mohamed

Tragedi demi tragedi. Tapi agensi masih tunggu suara warganet untuk bertindak. Sampai bila nak jadi paku? Dalam budaya kita, ada satu peribahasa lama yang masih hidup — bukan sekadar dalam perbualan, tetapi dalam tindakan: Sudah terhantuk baru tengadah. Maksudnya, seseorang hanya akan insaf atau berhati-hati selepas ditimpa musibah. Dalam konteks pentadbiran dan perkhidmatan awam, ungkapan ini sangat relevan — terlalu relevan — sehingga menjadi pantulan budaya kerja dalam banyak agensi kerajaan: Hanya bertindak selepas tragedi berlaku.

Tragedi Sungai Korok: Bukan kali pertama

Baru-baru ini, satu insiden menyayat hati berlaku di Sungai Korok. Enam sekeluarga maut — ibu bapa dan empat anak kecil — selepas kereta mereka terbabas ke dalam sungai. Lebih mengejutkan, lokasi ini bukan zon bahaya baharu. Dalam tempoh lima tahun, lapan nyawa terkorban di laluan sama. Namun, sepanjang tempoh itu, tiada sebarang penghadang dibina. Tiada pencahayaan dipasang. Tiada sistem amaran atau penanda bahaya. Kawasan itu kekal gelap, sempit dan sunyi seolah-olah menunggu korban seterusnya.

Setiap kali pulang ke Jitra, saya melalui jalan tersebut, ada sekali pada waktu siang saya melalui juga laluan tersebut dan singgah minum di sebuah warung, yang hadir sibuk bercakap mengenai tragedi yang baru berlaku beberapa hari lepas, itu pada 2022. Khabarnya ada juga aduan bertulis yang dipanjangkan kepada pihak berkuasa, selepas itu saya pun lupa kisahnya sehingga berita kematian enam sekeluarga minggu lepas.

Seperti biasa, selepas tragedi, muncullah janji: akan bina tembok, akan pasang lampu, akan tambah papan tanda. Persoalannya, kenapa bukan lima tahun lalu? Kenapa bukan selepas nyawa pertama, atau kedua, atau ketiga melayang?

Sikap reaktif: Barah dalam sistem

Ramai pegawai agensi awam masih berpegang kepada mentaliti ‘tunggu aduan rasmi’. Mereka hanya bergerak selepas ada laporan bertulis, surat rasmi, liputan media atau aduan tular. Sedangkan yang sepatutnya berlaku ialah pemantauan berterusan, tindakan awal, dan kepekaan terhadap risiko — tanpa perlu disuruh. Bersikap proaktif.

Mentaliti ini menjadi barah dalam sistem. Ia menyebabkan tindakan tertangguh, penyelesaian lambat, dan dalam kes seperti Sungai Korok — nyawa yang tidak sepatutnya hilang.

Tiang gol, nyawa anak sekolah

Mengenang kisah Sungai Korok, kita pernah juga dikejutkan dengan satu tragedi. Seorang murid Tahun 5 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk, Menggatal, Sabah, maut selepas ditimpa tiang gol ketika sedang menjalani aktiviti sukan. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Likas. Insiden ini berlaku pada Oktober 2022.

Tiang gol yang berat dan tidak stabil bukanlah benda baharu di sekolah. Ia ada di mana-mana — berkarat, senget, longgar — tetapi tetap dibiarkan atas nama ‘biasa’. Siapa yang menyemak keselamatan alat sukan ini? Siapa yang bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara kemudahan sekolah? Jangan sampai selepas satu nyawa hilang, baru semua sekolah diminta semak tiang gol masing-masing. Mengapa perlu tunggu tragedi untuk ‘ambil maklum’?

Tragedi bas UPSI: Bila terlambat itu menjadi lazim

Satu lagi contoh kegagalan bertindak awal ialah insiden yang melibatkan kemalangan bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beberapa minggu lalu. Bas yang membawa pelajar terbabas dalam keadaan jalan gelap, tanpa pencahayaan yang memadai. Tragedi itu mengorbankan 15 nyawa siswa, mencetuskan kemarahan awam. Hanya selepas itu, barulah diumumkan bahawa lampu solar akan dipasang di kawasan berkenaan.

Ironinya, laluan itu sudah lama digunakan oleh pelajar universiti, saban minggu, saban semester. Keadaan gelap bukan perkara baharu. Tetapi seperti biasa — tiada tindakan sehingga berlaku kemalangan besar. Maka keluarlah kenyataan: Akan tambah lampu solar, akan tambah pemantauan, akan tambah peruntukan.

Soalnya, kenapa perlu tunggu darah tumpah dahulu baru mahu suluh jalan?

Aduan bukan lesen untuk bertindak

Selalu kedengaran, ‘kami belum menerima aduan rasmi’. Tetapi jika agensi hanya bertindak bila dilaporkan, apa gunanya mereka ada? Agensi bukan posmen menunggu surat. Mereka punya pegawai, kakitangan lapangan, jabatan penyelenggaraan, dan maklumat.

Jika hanya mahu bertindak selepas menerima surat atau tekanan media, maka fungsi agensi itu bukan menjaga, tetapi menunggu. Menunggu untuk disalahkan. Menunggu untuk beri kenyataan. Menunggu hingga ada yang mati.

Amaran sudah ada tapi dibiarkan

Bayangkan ada kenderaan yang memiliki ratusan saman tertunggak, tetapi masih bebas berada di jalan raya. Bayangkan juga ada pemandu pengangkutan awam yang mempunyai puluhan saman trafik, tetapi masih memandu membawa penumpang setiap hari. Tidakkah semua data ini sudah tersedia dalam sistem? Tidakkah sistem kita cukup bijak untuk mengeluarkan amaran awal — atau sekurang-kurangnya mencetuskan satu bentuk tindakan?

Jika data sudah ada, tetapi tidak digunakan, itu bukan lagi masalah teknologi. Itu masalah sikap. Masalah keengganan bertindak. Dan lebih parah, masalah kehilangan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan awam.

Kalau sistem hanya menjadi arkib, bukan amaran, maka ia bukan sistem kawalan. Ia hanya peti simpanan bukti — yang dibuka semula hanya selepas tragedi.

Data bukan sekadar statistik

Kita bukan kekurangan data. Kita ada laporan audit infrastruktur, statistik kecederaan sekolah, rekod kawasan kemalangan. Tetapi semua itu kekal sebagai dokumen fail, bukan pendorong tindakan. Data hanya ‘dibuka semula’ selepas musibah berlaku. Bila sudah terhantuk, barulah statistik digunakan — untuk mempertahankan diri, bukan untuk mencegah tragedi.

Teknologi sudah ada tapi di mana gunanya?

Dron boleh meninjau cerun dan laluan bahaya. AI boleh ramal lokasi berisiko. GIS boleh tunjuk titik buta infrastruktur. Media sosial pula sudah cukup jadi radar awal masalah. Tapi semua itu sia-sia jika manusia yang diamanahkan tidak peduli. Hal-hal yang diadukan dalam ‘Aduan Rakyat’ disiarkan saban minggu di TV3 adalah bukti jelas bagaimana, aduan hanya tinggal aduan sehinggalah dipaparkan dalam media.

Contoh yang berulang, tetapi tak pernah dipeduli

Pelajar mati jatuh dari pagar reput. Kanak-kanak mati dalam pembetung terbuka. Remaja mati di jalan tak berpencahayaan. Dan setiap kali jawapannya sama: “Kami tidak menerima laporan rasmi sebelum ini.”

Tapi sampai bila rakyat perlu jadi tukul untuk mengetuk paku bernama agensi?

Implikasi terhadap kepercayaan rakyat

Rakyat makin hilang percaya. Maka mereka mula pasang lampu sendiri, letak kon sendiri, buat papan tanda sendiri. Bila rakyat lebih tangkas dari sistem, itu bukan kebanggaan — itu kegagalan.

Sebagai marhaen, kita harus berterima kasih kepada NGO seperti Ikatan Silaturahim Brotherhood diasaskan Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando atau Uncle Kentang untuk menurap jalan berlubang demi keselamatan penduduk setempat, jika agensi diamanahkan bersikap proaktif, hal-hal ini boleh dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

Budaya kerja baharu yang kita perlukan

Tugas agensi bukan menunggu. Ia membuka mata sebelum tragedi menutup semua. Pegawai perlu bertanya:

“Kalau anak saya lalu sini, adakah ini selamat?”

Kalau ragu-ragu, buat kerja. Jangan tunggu. Jangan tanya. Jangan cari tukul.

Penutup: Jangan jadikan kematian sebagai pelan tindakan

Kita tak perlukan satu lagi tragedi baru nak bergerak. Tak perlukan satu lagi ‘hashtag’ sedih. Tak perlukan satu lagi janji ‘akan siasat, akan tambah, akan luluskan’.

Apa yang kita perlukan ialah agensi yang tahu bila perlu memegang tukul, bukan jadi paku yang menunggu dipalu. Sampai bila nak biar rakyat yang ketuk untuk mereka buka mata?

Kita baru 15 hari melangkah ke Tahun Baharu Hijrah 1447, iltizam boleh dipancang oleh setiap kita untuk menjadi proaktif, mungkin ketua setiausaha negara boleh memulakan iltizam menjadi proaktif dalam kalangan penjawat awam. Cukup-cukuplah kita ‘tunggu aduan rasmi’; ini sudah tahun 2025, kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-69, sudah cukup matang, progresif dan proaktif!

Semoga tulisan ini menjadi renungan kita semua.

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Contohi Zohran Mamdani berani suarakan keadilan sejagat


Oleh Prof Madya Ratna Roshida Ab Razak

Dalam sejarah umat Islam, pemimpin besar lahir bukan semata-mata dari sekolah kepemimpinan atau warisan jawatan. Mereka lahir daripada kesedaran hati, kebangkitan jiwa dan tindakan berteraskan nilai hidup.

Hari ini, apabila dunia sedang bergelut dengan ketidaktentuan dan jiwa umat semakin goyah, kita menyaksikan anak muda Muslim bangkit semula, bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai pemain utama sejarah.

Zohran Mamdani, anak muda Muslim berusia 33 tahun, berdiri di pentas New York State Assembly bukan sekadar sebagai wakil rakyat, tetapi sebagai wakil nurani umat manusia. Suaranya tidak hanya mewakili kawasan diwakilinya, tetapi gema daripada hati yang sedar terhadap derita tersembunyi, di luar dan dalam negaranya.

Beliau lantang menyuarakan keprihatinan terhadap nasib Palestin yang ditindas saban hari, jelas menunjukkan keberanian luar biasa di pentas politik Barat yang sering berat sebelah. Namun, keprihatinannya tidak terhenti di situ.

Sebagai anak muda yang hidup bersama denyut nadi rakyat, beliau berdiri bersama penduduk bandar New York, sebuah kota gah pada mata dunia, tetapi menekan jiwa banyak warganya dengan kos sara hidup melambung tinggi.

Beliau memperjuangkan hak penyewa, menentang penindasan sistemik dalam perumahan serta menuntut pembaharuan dasar supaya rakyat biasa tidak terus terhimpit. Inilah pemimpin muda Muslim memahami keadilan tidak mengenal sempadan, dan agama mengajar untuk peduli, bukan sekadar terhadap umat sendiri, tetapi terhadap semua insan dizalimi.

Cerminan harapan

Ini bukan kisah luar yang asing dengan kita di Malaysia. Ini adalah cermin harapan, di mana ada hati yang hidup, di situlah akan lahir pemimpin benar. Pada zaman ini, terlalu ramai naik kerana suara, tetapi tidak bersuara kerana hati.

Zohran membuktikan jiwa dibentuk nilai agama, pengalaman hidup dan kesedaran sosial boleh mencipta gelombang perubahan, meskipun dalam sistem tampak asing. Jika seorang pemuda Muslim mampu berdiri lantang di tengah kota kapitalis, apa pula halnya dengan anak muda kita dibesarkan dalam naungan Islam dan budaya Timur penuh hikmah?

Soalnya bukan lagi 'boleh atau tidak', tetapi bila dan bagaimana kita menyediakan medan serta bimbingan untuk mereka menjadi pemimpin dengan roh, bukan sekadar dengan gelaran. Segala-galanya bermula dengan kesedaran.

Bukan sekadar tahu apa yang berlaku, tetapi berasakan dengan hati bahawa ketidakadilan itu menyakitkan, kezaliman bukan sekadar tajuk berita, tetapi luka umat belum sembuh. Kesedaran adalah detik ketika hati kita berhenti untuk memerhati dan mula menginsafi.

Anak muda yang benar-benar memimpin ialah mereka melihat dunia bukan sekadar melalui maklumat, tetapi melalui mata hati. Mereka berasakan kesengsaraan saudara di Palestin, mereka tersentuh dengan penderitaan warga marhaen. Bukan kerana disuruh, tetapi kerana jiwa mereka masih hidup.

Kesedaran inilah akar kepada perubahan. Tanpa hati yang sedar, tiada arah. Tanpa jiwa terjaga, tiada gerak. Apabila hati sudah sedar, ia tidak akan terus duduk diam, sebaliknya akan bangkit, bukan kerana ingin disanjung atau ditonton, tetapi kerana kebenaran itu memanggil.

Kebangkitan ini bukan sekadar reaksi spontan, tetapi hasil iman tertanam dan nilai meresap dalam darah perjuangan. Hati yang sebelum ini lembut dan sunyi berubah menjadi jiwa yang kuat dan berani. Berani berkata 'tidak' kepada kebatilan, berani memikul tanggungjawab dan berani berdiri di medan kebenaran, walaupun seorang diri.

Inilah jiwa anak muda yang tidak rela membiarkan saudara seagama ditindas atau bangsanya hanyut tanpa pedoman. Ia tidak menunggu semua orang sedar. Ia tahu kebangkitan bukan tugas orang lain, tetapi amanah peribadi.

Kebangkitan yang lahir daripada hati ini akan membentuk peribadi tidak mudah dibeli, digoyang dan tidak mudah menyerah. Apabila iman bertemu ilmu, nilai bertemu tindakan, maka lahirlah anak muda bukan sekadar simbol, tetapi penyambung risalah perjuangan.

Kepemimpinan bukan hanya membicarakan apa diperjuangkan, tetapi bagaimana ia diperjuangkan. Amal terhasil daripada jiwa yang sedar dan bangkit adalah amal beradab, tidak memijak untuk naik, tidak menindas untuk kelihatan kuat dan tidak meninggi untuk tampak mulia.

Malaysia mempunyai lautan bakat muda penuh daya fikir, daya cipta dan semangat juang. Namun apa yang mereka perlukan ialah ruang amanah, bimbingan jujur dan silibus hidup membentuk mereka sebagai khalifah, bukan sekadar tenaga kerja.

Kita perlu melahirkan pemimpin muda tidak kehilangan hati dalam dunia mengejar angka, hubungan dengan tuhan tidak putus, mengenal diri sendiri dan batas nafsu, menyantuni orang lain dengan kasih dan empati, melihat alam ini sebagai amanah, bukan sumber eksploitasi.

Inilah kepemimpinan berjiwa hamba, tidak mencari pangkat, tetapi mencari reda Allah dalam setiap amal. Jika kita ingin membina semula tamadun, mulakan dengan jiwa anak muda yang bukan hanya sekadar diberi ilmu, memahami ilmu berkenaan, bukan hanya diajar teori, tetapi dibimbing mengenal Tuhan dan diri serta bukan hanya membentuk mereka sebagai pekerja, tetapi sebagai pewaris peradaban.

Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Fahami al-Quran berpandukan tafsiran ulama muktabar elak fitnah


Oleh Dr Mahyudin Daud

SESUNGGUHNYA antara nikmat teragung yang Allah kurniakan kepada muslimin adalah nikmat al-Quran al-Karim, kitab mengandungi petunjuk dan cahaya serta penyembuh penyakit, rohani dan jasmani.

Pada zaman dahulu, hanya sebilangan kecil manusia menghafaz kitab Allah, namun pada zaman ini, Allah SWT mengurniakan ramai orang mampu menghafaz al-Quran, dewasa mahupun kanak-kanak, lelaki mahupun wanita. Ini adalah nikmat agung menuntut kesyukuran dan pujian kepada Allah SWT.

Akan tetapi malangnya, kita dapati sebahagian penghafaz al-Quran hanya berpuas hati dengan hafalan semata-mata tanpa mengambil berat memahami maknanya atau merujuk kepada tafsiran ulama atau perkataan ahli ilmu.

Bahkan ada di antara mereka hanya berpuas hati dengan mendengar seorang syeikh di televisyen atau di saluran media sosial seperti YouTube, kemudian menyangka sudah menguasai seluruh ilmu lalu tampil berbicara dan berfatwa kepada manusia. Tidak cukup dengan itu, orang ini menghukum manusia dengan syirik, kufur, bidaah, menyalahi sunnah dan label seumpamanya.

Bahaya nikmat al-Quran jadi fitnah

Keadaan ini sangat berbahaya yang mana nikmat al-Quran dianugerahkan kepada umat manusia berubah menjadi fitnah. Keadaan seperti ini diisyaratkan Baginda Nabi SAW dalam hadis 1,400 tahun lalu sebagaimana diriwayatkan Imam Ibn Hibban, al-Tahawi, al-Bazzar dan Abu Ya'la daripada Huzaifah RA:

"Sesungguhnya yang paling aku takuti ke atas kamu adalah seorang lelaki membaca al-Quran, sehingga apabila keindahan al-Quran itu terpancar padanya dan dia menjadi penolong kepada Islam, kemudiannya dia merubah al-Quran (menurut kehendaknya) dan melepaskan diri daripadanya dan mencampakkan ke belakang, lalu dia menyerang jirannya dengan pedang dan menuduhnya syirik. Aku bertanya: Ya Rasulullah, siapakah di antara keduanya lebih berhak dengan soal syirik? Baginda bersabda: Orang menuduh."

Demikian juga, sejarah hitam pembunuhan Ali bin Abu Talib RA adalah tindakan radikal seorang menghafal al-Quran namun memahaminya dengan sisi pandang berbeza dengan apa difahami sahabat Nabi SAW.

Kes sebegini cukup untuk dijadikan bukti menunjukkan nikmat al-Quran kurniaan Allah SWT kepada manusia boleh bertukar menjadi fitnah sangat berpotensi mengancam keselamatan dan keharmonian hidup manusia.

Oleh itu, Allah SWT dan Nabi SAW memerintahkan Muslim kembali kepada Ahli al-Zikr atau pakar jika tidak mengetahui sesuatu perkara. Firman Allah Taala: "Maka bertanyalah kepada ahli al-zikr jika kamu tidak mengetahui." (surah al-Nahl, ayat 43)

Siapa ahli zikir

Mereka adalah ahli ilmu dan ulama tafsir menuntut ilmu daripada sumber dan menerimanya dengan sanad bersambung kepada ulama muktabar. Setiap ulama rabbani mempunyai sanad dalam ilmu sampai ke penggubal sesuatu ilmu dan kemudiannya sampai kepada Rasulullah SAW. Perlu disebutkan sanad adalah antara ciri khas umat ini yang mana tanpanya, sesiapa sahaja boleh berkata apa sahaja dia kehendaki.

Nabi SAW bersabda: "Barang siapa Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya Allah menjadikannya faham agama. Dan sesungguhnya aku hanyalah pembahagi dan Allah pemberi".

Ilmu adalah nikmat agung dan Nabi SAW membahagikan ilmu dalam kalangan sahabatnya. Baginda mengkhususkan Ali RA dalam bidang kehakiman, lalu bersabda: "Yang paling baik dalam kehakiman di antara kamu adalah Ali."

Baginda mengkhususkan Zaid bin Thabit dalam bidang faraid dan Muaz bin Jabal dalam bidang halal serta haram selain mendoakan Ibnu Abbas: "Ya Allah, fahamkanlah dia dalam agama dan ajarlah dia takwil (al-Quran)".

Namun begitu, kita tidak pernah melihat seorang pun daripada sahabat ini melampaui batas dalam bidang orang lain atau mencela mereka atau campur tangan dalam perkara mereka tidak kuasai. Antara kisah agung ialah seorang wanita melahirkan anak selepas enam bulan. Sebahagian mereka keliru dengan hal itu, lalu Ali RA memahaminya melalui penarikan hukum syarak dari al-Quran dan mereka mengetahui apa dikatakannya adalah benar.

Berpegang teguh tafsiran ulama muktabar

Oleh itu, berpegang teguhlah dengan tafsiran al-Quran ulama dan ahli tafsir muktabar seperti Imam al-Suyuti, Imam al-Razi, Imam Ibn Kathir, Imam al-Qurtubi dan lain-lain supaya al-Quran kekal menjadi kitab hidayah dan petunjuk kepada sekalian manusia serta tidak berubah menjadi fitnah boleh menggugat keharmonian hidup manusia sejagat.

Ulama dan ahli tafsir kontemporari juga tidak kurang hebatnya seperti Sheikh Wahbah al-Zuhayli, Sheikh Said Hawwa, Sheikh al-Shaarawi, Sheikh Ali al-Sabuni dan lain-lain yang perlu dijadikan rujukan umat Islam dalam memahami kalam Allah dengan tafsiran benar dan semasa.

Sebagai Muslim, kita perlu sentiasa memohon kepada Allah supaya menjadikan kita dalam kalangan ahli al-Quran dan Allah mengurniakan kemampuan kepada kita memahami agama dengan jalan yang benar serta menjadikan kita sebagai punca diberi hidayah kepada orang lain serta menetapkan kita di atas jalan-Nya yang lurus.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kelantan

Ketagihan video lucah buat hati jadi gelap, runtuhkan akhlak


Oleh Zuhaimi Abdul Rahim

Di akhir zaman ini, masyarakat didedahkan dengan pelbagai bentuk kandungan dalam media sosial termasuklah video berunsurkan lucah. Pendedahan video lucah kepada masyarakat ini mencetuskan kebimbangan terutama dalam kalangan umat Islam kerana ia boleh meruntuhkan akhlak umat khasnya generasi muda.

Baru-baru ini viral segelintir individu dilihat tidak menghiraukan soal dosa dan pahala sehingga tergamak beraksi lucah di media sosial demi memuaskan nafsu semata-mata. Perbuatan ini tidak wajar bahkan satu perkara sangat keji di sisi Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra' ayat 32 bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan keji dan satu jalan jahat (membawa kerosakan)".

Berdasarkan ayat al-Quran ini, maksud 'jangan mendekati' dalam al-Quran menunjukkan semua sarana membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan patut dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa kecil.

Selain itu, Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan Allah SWT melarang hamba-Nya daripada melakukan zina dan perkara membawa dekat kepada zina seperti sebab dan seruannya.

Maka, amat jelas perbuatan lucah menjalinkan hubungan seks sama ada melalui panggilan video dan audio, rakaman suara dan video antara dua individu adalah diharamkan dalam Islam dan wajib ditinggalkan.

Sebagaimana ditetapkan, hukum melihat aurat orang lain adalah haram apatah lagi menonton video lucah atau porno yang sudah terang lagi bersuluh adalah haram hukumnya kerana ia melanggar apa yang termaktub dalam ajaran Islam.

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur, ayat 30 bermaksud, "Katakanlah (Muhammad) kepada orang lelaki beriman; Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa mereka lakukan".

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Pandangan mata itu adalah panah daripada panah syaitan. Sesiapa menahan pandangannya kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menggantinya dengan kebahagiaan akan selalu dia rasakan dalam hatinya." (HR Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Hakim) Melihat kepada ayat al-Quran dan hadis di atas, ia mengandungi maksud kecaman dan cercaan terhadap orang gemar memerhatikan perkara haram. Apabila penglihatan secara tidak sengaja jatuh pada sesuatu diharamkan, seseorang harus segera beralih dan menundukkan pandangan.

Ini bagi mengelakkan diri terjerumus serta terdorong melakukan perbuatan lucah atau aktiviti pornografi.

Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya Allah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakan". (HR Bukhari dan Muslim).

Perbuatan membuat atau menonton video lucah adalah satu perkara sangat keji di sisi Allah SWT kerana boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan seseorang serta menyebabkan seseorang itu mengalami ketagihan seks.

Kesan pengaruh maksiat

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Al-Taubah Ilallah menukilkan tulisan Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa al-Syafi berkenaan kesan dan pengaruh maksiat.

Antaranya ialah segala urusan menjadi sukar dan sulit, hati menjadi 'gelap', melemahkan rangsangan ketaatan, melemahkan akal fikiran serta berasakan kehidupan seolah-olah menjadi sempit.

Berdasarkan kesan dinyatakan di atas, maka hal ini sangat bertepatan seperti dijelaskan Allah SWT dalam Surah Taha ayat ke-124 bermaksud: "Sesiapa berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Susulan daripada isu sedang hangat tersebar sekarang, sebagai ibu bapa serta penjaga seharusnya berusaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi daripada perspektif agama bermula keluarga sendiri. Nilai moral sangat perlu ditekankan kepada setiap ahli keluarga.

Keluarga adalah unit terpenting dalam masyarakat memiliki banyak fungsi dan di antara fungsinya sangat strategik adalah pendidikan dan agama. Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga hanya bersifat pelengkap kepada nilai ditanamkan dalam sesebuah keluarga.

Perlu ditegaskan di sini, pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak sejak awal adalah pendidikan agama mengajarkan nilai kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia bertanggungjawab dan berguna. Ia selari dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah paling berguna bagi sesama mereka".

Kesimpulannya, budaya video lucah ini wajib dibendung dengan segera demi menjamin masa depan baik terutama generasi muda dan demi mengelakkan berlakunya keruntuhan akhlak umat Islam. Sesungguhnya setiap daripada kita pasti tidak terlepas sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan walaupun kecil.

Namun indahnya Islam diwahyukan Allah ini, Dia amat menyukai dan mencintai hamba-Nya bertaubat. Sabda Rasulullah SAW, "Kesemua anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang melakukan kesilapan ialah mereka bertaubat".

Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia berakhlak mulia serta diberkati Allah SWT dalam kehidupannya. Salah satu penunjuk utama daripada akhlak mulia adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku keji serta kotor termasuklah bahan pornografi.

Bahkan, antara ciri-ciri orang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti dinyatakan dalam Surah al-Mukmin ayat 5 bermaksud: "Dan mereka menjaga kehormatannya". Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin lebih penting daripada pengurusan hati.

Penulis adalah Pengarah Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia

 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER