Headlines News :
Showing posts with label Penulis Tamu. Show all posts
Showing posts with label Penulis Tamu. Show all posts

22 Tips Mudah Bagaimana Saya Menghafal Al-Quran Dalam Masa 4 Bulan

Oleh Fadhil Azman 

“Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah atas segala rezeki dan rahmat yang diberi. Aku bermohon pada Allah agar selalu permudahkan urusanku dalam mengulang al-Quran & berikan aku petunjuk untuk berkongsi dan memberi inspirasi pada orang lain.” 

Saya ingin berkongsi bahawa saya telah menghafal lebih kurang 9 juzu’ semasa di sekolah rendah, sekolah menengah dan matrikulasi.

Jadi, sebenarnya saya cuma menghafal lebih kurang 20 juzu’ yang baru dan hanya mengulang 9 juzu’ lama sahaja dalam masa 4 bulan.

Saya juga tidak mempunyai komitmen lain selain dari berbuat baik kepada ibu bapa. Tetapi, bagi sesiapa yang berkehendak menghafal ayat al-Quran kerana Allah, Insya Allah, Allah akan permudahkan.

Ini adalah pengalaman saya dan semoga ia dapat memberikan inspirasi pada yang lain.

Berikut adalah tips yang saya amalkan;

1. Betulkan niat 

Ini adalah poin yang paling penting yang perlu dititik beratkan, lakukannya ikhlas kerana Allah, mengharapkan rahmat-Nya, keredhaan-Nya & untuk memperoleh syurga. Bukan sebab kawan, keluarga atau untuk menunjuk-nunjuk. Ya Allah lindungilah kami darinya.

Semoga Allah tetapkan hati kita untuk melakukannya semata-mata kerana Allah.

2. Mulakan sekarang. 

Jangan tangguh-tangguh. Kalau niat sudah ada, itu sudah bagus. Jangan ingat kalau bertangguh, ia jadi lebih baik.

Usah berikan alasan tidak cukup masa. Cari masa untuk diri sendiri dan dalam menghafal Al-Quran. Saya kenal beberapa orang, yang mempunyai niat, tetapi tidak mempunyai motivasi.

Pada saya, untuk mencari motivasi, fikirkan tentang betapa besar faedah yang kita akan dapat.

Percayalah, anda akan dapat banyak sangat kebaikan. Pahala juga dikira hanya dengan membaca satu huruf. Juga ada banyak kisah yang menarik dalam Al-Quran yang akan anda temui.

Cuba baca Al-Quran selepas solat. Insya Allah, anda akan dapat momentum dari situ.

3. Gunakan mushaf yang sama. 

Saya telah menggunakan mushaf yang sama sejak berumur 14 tahun. Inilah perkara yang selalu diingatkan oleh asatizah (guru-guru). Sebabnya ialah, apabila anda menggunakan mushaf yang sama, mata anda telah terbiasa dengan cara penulisan, warna dan hiasan dalamnya. Ini membuatkan minda anda terbiasa dengannya Insya Allah.

4. Mendengar pembacaan ayat al-Quran 

Perkara ini mungkin susah, tetapi Allah boleh mempermudahkannya untuk anda: tinggalkan lagu-lagu anda, muzik pop dan rock. Dua benda yang bertentangan tidak dapat wujud dalam masa yang sama. Tetapi, sudah tentu terdapat beberapa pendapat mengenai hal ini. Adakah anda lebih suka mendengar muzik dari mendengar ayat al-Quran yang dikatakan menenangkan hati seseorang?

Saya suka mendengar bacaan surah dalam Quran yang saya sedang hafal atau surah seterusnya yang akan dihafal kemudian, saya akan ulang surah yang sama sambil melakukan kerja lain.

Perkataan tersebut akan masuk ke dalam minda kita tanpa disedari. Anda akan dapati menghafal surah menjadi lebih mudah. Saya juga akan membuka mushaf sambil mendengar bacaan Quran untuk membiasakan dengan mukasurat tersebut. Kemudian saya akan mulakan hafalan.

5. Pengulangan dan pembahagian halaman adalah asas untuk menghafal

Baca keseluruhan halaman beberapa kali, anda boleh memilih untuk membahagikan halaman kepada tiga atau dua bahagian. Ini bergantung kepada berapa mudah untuk menghafal halaman tersebut. Hafal bahagian pertama sebelum meneruskan ke bahagian seterusnya. Elakkan pergi ke muka hadapan sebelum anda dapati hafalan tersebut tersimpan utuh dalam ingatan.

6. Pemahaman adalah kunci penting dalam menghafal 

Adalah sangat menyeronokkan jika anda memahami apa yang disampaikan oleh-Nya. Demi Allah, saya dapati al-Quran sangat cantik, ia boleh membawa anda ke titik terendah dan membuka anda kepada perubahan yang lebih besar.

Fokus pada apa yang anda baca untuk memahami ayat tersebut. Jangan memikirkan hal lain ketika membacanya.

Muat turun aplikasi terjemahan / tafsir al-Quran dalam telefon anda. Atau boleh juga menggunakan mushaf yang mempunyai terjemahan di bahagian tepi. Ustazah saya (semoga Allah anugerahkan kebaikan kepadanya) sentiasa menasihati kita bahawa kefahaman telah menjawab sebahagian dari soalan. Jadi, dalam konteks ini, pemahaman adalah sebahagian penghafalan ayat tersebut, Insya Allah.

7. Mulakan dengan perlahan-lahan 

Ambil selangkah demi selangkah, Insya Allah anda akan dapati menghafal dengan konsisten lebih mudah.

8. Jangan putus asa 

Tidak bermakna jika hari ini terasa susah, esok juga akan terasa susah. Bacalah doa sebelum memulakan hafalan. Ingatlah di mana jua anda sekarang (dalam menghafal) adalah satu langkah untuk menamatkan penghafalan seuruh al-Quran. Yang penting, jangan berhenti.

9. Berkawan dengan mereka yang turut menghafal 

Dengan mempunyai rakan yang turut menghafal, ia boleh membuatkan anda lebih bermotivasi untuk menghafal dan mengulang.

10. Merancanglah 

Secara asasnya, saya menghafal lebih kurang 4-6 halaman setiap hari. Untuk menghafal satu halaman, saya mengambil masa lebih kurang 30 min, bergantung pada tahap kesukaran halaman tersebut. Ada halaman yang mengambil masa 20 min untuk dihafal.

Alhamdulillah, Allah permudahkan bagi saya. Manakala bagi halaman yang lebih susah, saya mengambil masa 45 minit.

11. Masa yang terbaik 

Untuk menghafal al-Quran adalah selepas subuh atau fajar, iaitu ketika minda masih segar. Ketenangan fajar akan memasuki minda anda. Ustaz saya selalu menasihatkan kami untuk lebih produktif pada waktu pagi.

Selain itu, waktu selepas solat adalah masa yang sesuai untuk menghafal selain dari waktu antara Maghrib dan Isya’.

12. Jadilah produktif 

Bacalah al-Quran dalam perjalanan ke sekolah atau tempat kerja. Secara peribadi, saya lebih suka menaiki kereta api berbanding memandu kerana masa perjalanan tersebut saya boleh isi dengan menghafal atau mengulang.

13. Bawalah mushaf anda ke mana jua anda pergi 

Ia akan menjadi peringatan untuk anda membacanya Insya Allah.

14. Jagalah mata anda 

Dari memandang atau melihat aurat berlainan jantina. Telinga anda dari mendengar gossip. Mulut anda dari berkata belakang, mengumpat dan dari semua perbuatan yang dilarang. Ustazah saya sering kali mengingatkan dan meminta kami untuk menghafal puisi Imam Syafi’ie sebagai peringatan.
Aku mengadu kepada Wakii’ (Imam Syafi’ie) mengenai ingatanku yang lemah.

Dia menasihatku untuk meninggalkan dosa

Dan dia memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya

Dan cahaya Allah tidak akan sampai pada pendosa

15. Bertaubatlah 

Bertaubatlah selalu, kadang kalau kita melakukan dosa tanpa menyedarinya. Apabila seseorang membuat dosa, dia perlulah segera bertaubat kepada Allah. Allah menerima taubat orang yang ikhlas, Insya Allah.

16. Minta seseorang mendengar bacaan anda ; tasmii’. 

Carilah seorang kawan, ahli keluarga atau guru untuk tasmii’ anda. Dia mestilah seorang yang tahu membaca al-Quran dengan betul, jadi apabila berlaku kesalahan kecil, dia dapat membetulkannya.

17. Muraja’ah (ulang) apa yang anda telah hafal. 

Carilah seseorang untuk mendengar anda mengulang bacaan. Seseorang itu perlulah memperkukuhkan hafalannya dengan selalu mengulang.

18. Makan kismis & madu 

Saya tidak pasti dengan mendalam mengenai hal ini, tetapi saya diajar bahawa memakan kismis & madu dapat mengukuhkan ingatan Insya Allah.

19. Tunaikanlah solat malam 

Buatlah sekurang-kuranya dua rakaat, kemudian berdoalah. Ia amat membantu Insya Allah.
“Doa semasa tahajjud diibaratkan seperti busar panah yang tidak pernah tersasar dari sasarannya” – Imam Syafi’ie

20. Berdoalah selalu dan harapkan pertolongan Allah 

“Jangan memandang rendah kuasa doa. Ketahuilah bahawa tiada yang lebih disukai Allah lebih dari hambanya berdoa kepada-Nya.” (Tirmidhi)

Berdoalah kepada Allah agar memudahkan minda dan hati anda untuk menghafal dan tidak melupakan hafalan tersebut. Mohon padaNya agar dikuatkan ingatan dan mohonlah agar Allah singkirkan sifat malas dalam diri.

21. Doakanlah kebaikan untuk orang lain 

Semasa anda berdoa untuk diri sendiri, selitkan sekali doa untuk orang lain yang mungkin amat memerlukan rahmat Allah.

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya (muslim lainnya) yang tidak berada di hadapannya akan dikabulkan oleh Allah. Di atas kepala orang muslim yang berdoa tersebut terdapat seorang malaikat yang ditugasi menjaganya. Setiap kali orang Muslim itu mendoakan kebaikan bagi saudaranya, niscaya malaikat yang menjaganya berkata, “Aamiin (semoga Allah mengabulkan) dan bagimu hal yang serupa.” (Muslim)

22. Minta ibu bapa anda mendoakan anda 

Apabila saya mula menghafal al-Quran, saya memberitahu ibu saya akan niat tersebut & meminta ibu bapa saya mendoakan saya. Ia sangat membantu.

Itu sahaja, saya harap perkongsian ini bermanfaat dalam apa sudut sekali pun meskipun sedikit. Semoga Allah permudahkan bagi anda untuk menghafal dan mengulang al-Quran dan semoga Allah permudahkan segala urusan kita.

Umat Islam memiliki kekuatan alat perisikan di dunia

Oleh ABU AL-MA’ALI FAEQ AHMED 


SETIAP negara daripada negara negara di dunia, memiliki peralatan yang mampu mengumpul data dan maklumat, sama ada maklumat yang baik ataupun yang buruk, kesemua itu adalah bertujuan untuk kerja-kerja mempastikan keamanan negara.

Dan sesebuah negara sama ada dikira kuat ataupun lemah berdasarkan alat perisikan yang dimilikinya, peralatan yang lemah tidak mampu menghasilkan laporan yang baik, malah terdedah kepada kehancuran sesebuah negara.

Dan mungkin juga peralatan yang canggih bertujuan untuk melemahkan negara lain, seperti apa yang berlaku kepada peralatan perisikan Amerika yang dapat mengesan pelbagai maklumat tentang Iraq, Afghanistan, Kashmir, Bosnia dan lain-lain boleh disifatkan sebagai ancaman yang membahayakan ketika ini.

Tetapi bukanlah itu maksud penulis berhubung dengan peralatan perisikan canggih ataupun tidak canggih, apa yang dimaksudkan di sini ialah kepentingan sesebuah alat itu bagi menyingkap atau membongkar maklumat berhubung musuh Islam, khususnya puak Zionisme Yahudi.

Umum mengetahui bahawa maklumat perisikan membebankan belanjawan sesebuah negara dan kita dapati tidak ada satu alat perisikan yang mampu mendedahkan kegiatan jahat mereka (Yahudi) secara menyeluruh. Adapun segala peristiwa yang kita saksikan dengan mata dan telinga kita, berhubung operasi kejahatan mereka adalah satu petanda daripada Allah yang akan memenangkan dengan kemenangan yang hampir kepada pembela-pembela Islam.

Sebagai contoh, satu kejadian masa dulu peristiwa pengeboman hotel “Paradise” di bandar Mombasa pada 2002, Kenya yang dimiliki seorang warga Yahudi serta pelancaran peluru berpandu terhadap pesawat Yahudi, ini menandakan alat perisikan Zionis Yahudi dan sekutunya Amerika gagal mengesan dari siapa dan dari mana punca pelancaran peluru berpandu itu dilakukan.

Sehingga kini masih belum berjaya memastikan angkara siapa yang melakukan, tapi sebagai orang Islam, apa yang penting jika masih lagi terdapat hamba Allah di dunia Islam yang bangun di waktu malam untuk bersolat tahajjud menghadap Tuhan yang Maha Berkuasa mengharapkan dari-Nya membantu menggagalkan perancangan Yahudi, insya- Allah ia akan terkabul.

Sesungguhnya perancangan Yahudi dan sekutunya digagalkan oleh Allah yang Maha Berkuasa dalam setiap tindakannya yang dapat disaksikan menerusi media massa arus perdana sesebuah negara.
Tetapi persoalannya di sini berdasarkan iman kita, kenapa kita memiliki kekuatan alat perisikan untuk membongkar kerjakerja Yahudi di seluruh dunia? Di negara manakah boleh didapati alat tersebut selain yang kita miliki?

Berapakah anggaran peratusnya pula laporan yang tidak tepat? Sejauh manakah kebenaran alat itu?
Semua persoalan di atas dan mungkin yang lain-lain juga, amat perlu dilontarkan oleh insan yang bernama Islam, tidak kira di mana mereka berada, iaitu persoalan berdasarkan peristiwa menyayat hati dan sebagainya yang disaksikan oleh kedua matanya.

Kecanggihan peralatan perisikan ciptaan manusia tidak mampu menjangkau lebih dari yang sedia ada di tangannya, ini dapat dilihat kegagalan peralatan tersebut untuk mengesan detik-detik peristiwa 11 September 2001.

Apa yang penulis ingin beritahu sidang pembaca sekelian, alat perisikan yang penulis maksudkan itu sebenarnya terdapat di dalam setiap rumah orang Islam di seluruh dunia, ia merupakan alat yang paling tepat, berkesan dan memiliki kebenaran 100%.

Tahukah saudara apakah kekuatan alat perisikan yang mampu menyingkap, mengesan dan membongkar perancangan jahat Yahudi dan sekutunya, tidak lain itulah “al-Quran al-Karim” yang ada di setiap rumah pencinta Islam.

Kemampuan al-Quran bukan sahaja menghimpun berita berhubung Yahudi, malah menceritakan dengan terperinci telatah, gelagat dan watak mereka, kerana ia adalah berita yang diberitahu oleh Tuhan yang Mencipta bangsa Yahudi itu.

Mari kita bersama menyingkap apa yang diketengahkan oleh al- Quran berhubung dengan bangsa Yahudi, kita sedia maklum, bahawa al-Quran bukan sekadar menceritakan asal-usul sesuatu bangsa seperti Bani Israil.
Malah menceritakan juga kegiatan jahat mereka dengan segala pembohongan dan kerjakerja jijik yang tidak dilakukan oleh bangsa lain selain mereka seperti membunuh mereka yang bukan dari kalangan mereka dan banyak lagi dibongkar oleh al-Quran.

Inilah yang dapat kita saksikan hari ini telatah Zionis/Yahudi dan Amerika kononnya menyerang negara-negara yang menyanggah dasarnya atas dasar hak asasi manusia.

Mereka gunakan segala wasilah bagi memastikan negara-negara yang menentang mereka berada dalam tertekan dan akhirnya tunduk dan menyerah diri dan bersedia dihukum dengan hukuman yang tidak diguna pakai oleh undang-undang antarabangsa.

Al-Quran sebenarnya telah mendedahkan pengkhianatan dan pembelotan mereka terhadap Nabi-nabi yang diutus kepada mereka.

Mereka cuba mengikis sejarah kejahatan dan pembohongan mereka, agar tidak dapat dikesan dan diketahui secara umum oleh generasi umat Islam akan datang yang sebenarnya tidak dapat ditutup kerana paparan al-Quran adalah satu kebenaran.

Yahudi adalah satu bangsa yang selalu melakukan pelbagai pengkhianatan, sesungguhnya Allah SWT telah menyelamatkan mereka daripada kejahatan Fir’aun yang telah menyembelih anak-anak mereka dan mencabuli kehormatan isteri-isteri mereka, akan tetapi mereka membalas segala kebaikan yang Allah berikan pada mereka dengan penentangan dan kebiadaban.

Hal ini telah disebut oleh Allah menerusi ayat 47 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Hai Bani Israil, ingatlah akan nikmatku yang telah Aku anugerahkan kepada kamu dan ingatlah bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat.”

Tok Guru Nik Aziz yang luar biasa, penuh tawaduk

Oleh Hazlan Zakaria


Sebagai seorang wartawan separa-veteran, amat jarang saya mengkagumi seorang politikus. Benar, ramai yang saya hormat dan ada juga yang dipandang tinggi, namun secara umum saya tidaklah terlalu ambil pusing tentang mereka.

Namun ada sebilangan kecil, dan khususnya seorang sosok yang telah menegaskan kepercayaan saya terhadap mereka, golongan yang memerlukan undi kita untuk dipilih mentadbir dan memimpin, kalau pun tidak sebenar-benarnya berkhidmat kepada rakyat.

Walaupun belum sampai sedekad saya menjadi wartawan, hampir sepanjang tempoh itu telah didedikasikan untuk membuat liputan dan laporan tentang politik Malaysia.
Sudah banyak perkara yang saya lihat dan alami. Saya menjadi penat dan bosan, sudah terlalu biasa dengan kekecewaan, ketidakjujuran, cakap kosong dan buruk-memburuk daripada watak-watak politik yang kita kenal.

Saya mungkin menjadi mangsa kepada penyakit yang biasa dihadapi mereka yang cukup dekat untuk melihat sendiri kesilapan-kesilapan kecil di tembok kekuasaan, yang menjadikan seseorang itu sebagai sinis yang pesimistik.

Namun ada seorang insan di kalangan ramai dalam dunia politik yang tegap berdiri di tengah-tengah kancahnya, yang mengembalikan kepercayaan saya terhadap politikus, walau pun tidak semua.
Insan itu adalah Datuk Nik Aziz Nik Mat, seorang daripada sebilangan tokoh yang setakat ini gagal memenuhi jangkaan sinikal saya tentang politikus. Beliau adalah Mursyidul Am PAS, bekas Menteri Besar Kelantan dan masih sebagai Adun Chempaka.

Seperti kata-kata editor saya, beliau adalah politikus Melayu yang sukar lagi untuk dilihat pada masa ini, benar-benar luar biasa dan tiada duanya.

Tidaklah sehingga mencetuskan sentimen “Politikus Melayu hebat terakhir”, namun mungkin tidak terlalu jauh daripadanya.
Ada sesuatu dalam gayanya yang membawa kita ke zaman dahulu. Di saat yang telah dilupakan dan malah mungkin sehigga saat sahabat Nabi Muhammad SAW dan gambaran kepimpinan yang dicetuskan mereka.

Satu zaman…
Di saat pemimpin tidak terlalu bongkak dan beromong kosong.
Di saat pemimpin berkata-kata dengan lembut dan baik.
Di saat pemimpin melangkaui permainan politik murahan yang biasa.
Di saat hidup mereka bukan sahaja didedikasikan kepada rakyat terbanyak, tetapi memang dilihat begitu.
Di saat politikus lain hidup jauh lebih selesa selepas mendaki tangga politik, Nik Aziz terus dengan gaya hidup sederhana.

Beliau bahagia di rumah kampung, walaupun ketika berjawatan besar dan mendapat kediaman rasmi. Memandu kereta lama, walaupun beliau boleh mendapat kereta mewah hanya dengan menyatakannya.

Ketika politikus lain memiliki gambar mereka yang penuh gaya di dalam dan luar negara, diiringi pengiring rasmi dan polis walaupun ketika urusan peribadi, Nik Aziz menjalani hidup dengan tawaduk.
Gambar dirinya yang diambil rakyat dan dimuat naik di internet langsung tidak menunjukkan gaya seorang politikus yang memegang kuasa.

Tiada gambarnya bercuti di pusat beli belah dan taman tema luar negara, bermain golf dengan Presiden negara luar atau menganjurkan majlis mahal di tempat yang juga mahal.

Yang ada hanya gambar beliau bersolat, berehat atau pun tidur di masjid, atau berjalan kaki ke masjid berhampiran rumahnya. Juga ketika membeli makanan dan minuman di warung tepi jalan, atau membacakan doa kepada bayi yang baru lahir apabila ibubapa datang berjumpa dengan beliau.

Gambar-gambar yang ada hanya menunjukkan seorang lelaki berumur yang hidup biasa, kecuali pakain rasminya ketika di pejabat. Malah, itu pun tidak cukup gah seperti yang sering dilihat.



Ketika mengundi sewaktu pilihan raya, beliau beratur menunggu giliran seperti orang lain.

Cukup banyak kisah tentang kehidupan dan gaya rendah dirinya di alam maya, serta yang tersebar dari mulut ke mulut oleh mereka yang pernah bertemu mata dengannya.
Satu kisah yang menjadi viral berhubung seorang individu yang berhadapan masalah apabila keretanya rosak di Kelantan. Beliau kemudian dibantu seorang lelaki berumur yang memandu kereta lama. Lelaki berumur itu menghubungi mekanik dan, menurut kisah itu, turut meminjamkan keretanya.

Hanya selepas diberitahu mekanik yang baru tiba, individu itu mengetahui bahawa lelaki berumur yang membantunya adalah Nik Aziz, Menteri Besar negeri itu.

Walaupun ada kisah serupa melibatkan politikus lain, serta gambar mereka yang penuh rendah diri dan berkhidmat kepada rakyat, saya sering menemui unsur jenaka di dalamnya.

Namun dengan Nik Aziz, deria jenaka saya tidak pernah terjentik, dan mata saya yang mampu mengesan helah politikus tidak mendapati apa-apa niat tersembunyi.

Sememangnya gaya penuh teladan itu telah menjadikannya seorang insan yang sering dipandang tinggi bukan sahaja oleh orang Islam, tetapi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Ada yang harus diperkatakan tentang bagaimana tingginya penghormatan kepada beliau. Gelaran “Tok Guru”-nya – satu gelaran yang membawa penghormatan yang tidak dimiliki ramai.
Mungkin salah satu sebab adalah cara hidupnya, tidak seperti kebanyakan politikus dan pemimpin yang sering berkata-kata tentang perjuangan namun tidak menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.

Jika saya tidak mencapai apa-apa dalam kehidupan, saya hanya berharap mampu mengikut jejak langkahnya untuk berpegang kepada prinsip saya, seperti mana beliau berpegang kepada prinsipnya.

Terutama dalam kerjaya yang memerlukan saya berhujah tentang baik dan buruk, benar dan salah pihak lain. Memang mudah untuk memuntahkan retorik dengan penuh api namun pada masa sama tidak jujur dan serius tentang apa yang dikatakan…atau mengamalnya sendiri.

Kepada Tok Guru yang paling dihormati, saya berdoa kepada Allah SWT agar beliau yang kini dalam keadaan lemah kembali sembuh dengan segera. Malaysia perlukan Tok Guru, dan tidak akan ada lagi tokoh seperti Nik Aziz Nik Mat.

Tahniah buat Tuan Guru Presiden PAS

OLEH MOHD NASAIE ISMAIL

Gembira bercampur lega dengan pelantikan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai salah seorang Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipimpin oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Beliau dilantik bersama Mufti Oman. Manakala Tuan Guru Abdul Hadi sendiri ulama yang terjun dalam politik kepartian di Malaysia menggambarkan keterbukaan Sheikh Yusuf Al-Qardhawi dan ulama-ulama Islam seluruh dunia yang menyertai muktamar kesatuan tersebut.

Ia berlaku di tengah dunia Islam berada di persimpangan dan sebahagian umat Islam tercari cari identiti. Ketika dunia hampir melupakan fobia Taliban, muncul pula gerakan ISIS@ISIL yang mengundang fitnah baru kepada dunia Islam. Ketika dunia Arab baru menikmati kebebasan demokrasi pasca Arab Spring, penggulingan Mursi di Mesir melahirkan kekecewaan terhadap demokrasi tersebut. Maka muncullah gerakan gerakan persenjataan yang diminati oleh sebahagian anak muda Islam yang kecewa dengan pendekatan demokrasi yang damai tersebut.

Tuan Guru Abdul Hadi mempertahankan pendekatan damai dalam menyelesaikan sebarang konflik dunia khususnya di Syria dan Mesir kini. Namun kadang kala ijtihad beliau dilihat bersendirian, hatta sebahagian kita di Malaysia pun ramai menolak ijtihad beliau dalam hal tersebut tanpa melihat lebih dalam.

Apabila berlaku peperangan, di luarnya dilihat mudah, tetali untuk jangka masa yang panjang kemusnahan akan berlaku dan sukar dibangunkan.

Kemudian suasana perang mudah dimanipulasi oleh kuasa kuasa besar untuk mencatur sesuatu yang akhirnya merugikan dunia Islam. Itulah yang berlaku di Afghanistan dan Iraq serta berpotensi berlaku di Syria.

Kejayaan Tuan Guru merintis perdamaian di Aceh Indonesia setelah berpuluh tahun hidup dalam peperangan adalah satu contoh yang baik untuk diteladani.

Alhamdulillah, anak-anak Aceh hari ini menikmati suasana damai dan fokus mereka membangunkan ummah dan negeri mereka dengan baik.

Cara fikir Tuan Guru ini dikongsi bersama guru beliau Dr Najmuddin Erbakan, anak muridnya juga Erdogan, Dr Kamal Halbawi dan beberapa tokoh lain daripada pelbagai negara dan mazhab.

Namun pasca pemergian Erbakan pada tahun 2011, dilihat ijtihad jalan damai Tuan Guru seolah-olah bersendirian dan terpencil.

Kita bukan bimbang ijtihad ditolak, tetapi bimbangkan dunia Islam terjerumus secara besar ke kancah peperangan dan extremism semakin berleluasa yang menyebabkan mudah kita menjadi bidak catur kuasa kuasa barat.

Namun cadangan Sheikh Yusuf Al Qardhawi dan penerimaan sebulat suara ahli muktamar yang terdiri daripada ulama-ulama Islam seluruh dunia terhadap pencalonan beliau sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia memberi satu siar harapan yang cerah.

Sebagaimana Allah memanjangkan usia Dr Yusuf Al Qardhawi sehingga 87 tahun hari ini, begitu juga harapannya agar Allah panjangkan usia Tuan Guru Abdul Hadi yang kini berusia 67 tahun untuk memimpin dan membimbing dunia Islam ke tahap menjadi ummat lebih bermaruah, bukan dipijak dan dihina sebagimana di Palestin dan lain lain wilayah Islam.

Sebagaimana kerajaan Qatar yang menjadikan negaranya sebagai pengkalan dan pejabat kepada Sheikh Qardhawi, begitulah selayaknya kerajaan Malaysia perlu menyediakan sebuah institusi dan pejabat untuk pergerakan Sheikh Abdul Hadi Awang sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Apabila Zul tergila-gilakan Che Man

Oleh MUHAMAD MAT YAKIM 

PERNAH dengar cerita lelaki tergila-gilakan lelaki? Yang saya dengar pada pagi minggu lepas

Pengakuan yang kata orang putih, 'straight from the horse's mouth' ataupun terus dari mulut yang empunya cerita, bukan daripada pihak ketiga.

Mendengar cerita Zul, 40-an, memang buat saya teruja. Kopi O panas yang tadinya tidak sabar-sabar hendak saya hirup, akhirnya tidak berusik. Langsung saya terlupa pada kopi O itu kerana tumpuan saya, dan seorang lagi kawan, Mazli, seratus peratus adalah kepada Zul yang begitu galak bercerita mengenai kisahnya, tergila-gilakan seorang lelaki bernama Che Man.

"Saya masa itu, kalau tak tengok Che Man dalam sehari, tak boleh duduk. Asal teringat, saya akan lalu depan rumah dia. Kalau dapat tengok dia, Alhamdulillah. Kalau tak dapat, tengok kelibat pun jadilah. Paling tidak, dapat tengok rumah, atau bumbung rumah, terubatlah sikit rindu," katanya tanpa segan silu.

"Sakan hang ni Zul, macam orang kena senyonyong...," kata saya.

"Ya, macam itulah. Kadang-kadang kalau sudah teringat sangat, saya sampai tak boleh tidur. Tengah malam pun saya lalu di depan rumah dia.

Ada pernah pukul dua, tiga pagi pun saya lalu, semata-mata dengan harapan nak tengok dia," katanya lagi.

Itulah cerita Zul yang buat kami berdua, saya dan Mazli terpempan, antara percaya dengan tidak pagi itu.

Akan tetapi melihat pada kesungguhan Zul bercerita, saya yakin dia berkata benar. Zul kawan kami. Hampir setiap pagi kami minum bersama di warung kopi itu.

Ok, saya akan kembalikan anda kepada cerita yang lebih awal, mengapa Zul jadi begitu? Mengapa dia begitu 'admire', tergila-gilakan Che Man yang 10 tahun lebih tua daripadanya?

Apakah kerana dia jadi mangsa tersalah sasaran minyak senyonyong Che Man?

Tidak mungkin. Malah mustahil. Che Man orang masjid, dan sudah lebih setengah abad usianya, mana mungkin Che Man masih 'main' minyak senyonyong yang syirik itu.

Atau apa mungkin Zul pengamal cinta songsang?

Ya, saya percaya inilah kemungkinan yang anda semua sedang fikirkan.

Sebenarnya tidak. Baik Zul, mahupun Che Man, mereka berdua orang baik-baik. Cuma peliknya apa yang sudah berlaku kepada Zul hingga dia jadi begitu. Tidak boleh tak tengok Che Man.

Betullah Zul orangnya baik. Tetapi bukan mustahil pula terutama bagi orang yang pertama kali jumpa untuk berasa curiga terhadapnya. Apa lagi dengan Che Man. Kata Zul, dalam keadaan dia tergila-gilakan Che Man hingga sering sahaja dicari ruang atau peluang untuk berjumpa dan duduk bersama dengan lelaki itu, akhirnya Che Man sendiri terperasan.

"Suatu hari Che Man tanya saya ketika kami terserempak di pekan. Dia ajak saya ke kedai mamak. Saya punyalah seronok, tak payah nak sorok-sorok. Rupa-rupanya tujuan Che Man ajak saya minum, semata-mata kerana dia nak tanya, mengapa saya selalu ikut (ekori) dia.

Kata dia, selama ini, dia sedar saya selalu ikut dia, lalu depan rumah dia malah yang pada waktu tengah malam itu pun dia terperasan.

"Kata Che Man, pernah sekali dua, waktu saya lalu, dia sedang ambil angin di luar rumah, dia nampak saya datang naik motor, tapi saya yang tak perasan dia." Akhirnya, apabila Che Man sudah bertanya begitu, Zul sedar masa yang paling sesuai sudah sampai untuk dia berterus terang kepada Che Man.

"Saya keluarkan dompet, dari dompet itu saya keluarkan sekeping gambar. Gambar itu saya serahkan kepada Che Man. Berubah terus muka dia. Saya tanya Che Man, sama atau tidak? Che Man angguk, kemudian saya kata, ini abang saya. Abdul Rahman namanya. Saya terlalu sayangkan, terlalu rindukan abang saya. Abang saya ini sudah dekat setahun meninggal.

"Kebetulan wajah Che Man saling tak tumpah dengan dia. Sebab itulah, saya selalu cari jalan untuk tengok Che Man. Walaupun Che Man bukanlah abang saya yang sebenar tetapi sekurang-kurangnya reda sikit, terubat sikit rindu saya kepada dia. Percayalah Che Man, saya bukan ada niat tak baik pada Che Man atau keluarga Che Man, saya hanya nak tumpang wajah Che Man yang sama macam abang saya. Itu saja," kata Zul mengimbas.

Zul kemudian mengeluarkan dompetnya, dan ditunjukkan pada kami gambar abangnya. Ya, memang 'sejibik' kata orang wajah abangnya, Abdul Rahman dengan Che Man.

Saya kemudian bertanya kepada Zul, berapa lama dia jadi begitu, 'tergila'gilakan' Che Man?

Jawab Zul, "dekat setahunlah juga!"

Akhirnya terserlah, apa yang mendorongnya jadi begitu adalah kerana kasih sayang yang begitu mendalam seorang adik kepada abangnya.

Setelah si abang meninggal dunia, si adik jadi gila bayang, terindu-rindu akan abangnya setiap masa. Demikian kasih sayang sesama saudara yang sangat dituntut.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER